Tetap Istiqamah dalam Kebenaran walau Bertentangan dengan Kebanyakan Orang
Oleh: Ustaz Arief B Iskandar
Baharuddin Lopa menyatakan: “Ramai yang tersilap langkah tetapi merasa tenang kerana mempunyai ramai teman yang sama-sama salah. Beranilah untuk menjadi benar walaupun seorang diri.”
Hakikatnya, hal ini selari dengan nilai-nilai Islam. Dalam pandangan Islam, kebenaran tidak diukur melalui banyaknya pengikut, tetapi berdasarkan kesesuaiannya dengan wahyu Allah SWT, iaitu Al-Quran dan as-Sunnah.
Allah SWT mengingatkan:
وَإِن تُطِعْ أَكْثَرَ مَن فِي الْأَرْضِ يُضِلُّوكَ عَن سَبِيلِ اللَّهِ ۚ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا الظَّنَّ وَإِنْ هُمْ إِلَّا يَخْرُصُونَ
“Dan jika kamu mengikuti kebanyakan orang di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu daripada jalan Allah. Yang mereka ikuti hanya sangkaan semata-mata, dan mereka hanyalah melakukan pembohongan.” [TMQ al-An’aām (6): 116]
Ayat ini menegaskan bahawa majoriti tidak semestinya membawa erti kebenaran. Malah, banyaknya pengikut boleh membawa kepada kesesatan jika apa yang diikuti itu adalah kebatilan. Kerana itu, sistem demokrasi — yang menjadikan suara majoriti sebagai ukuran kebenaran — jelas bertentangan dengan Islam. Hal ini kerana, ukuran kebenaran dalam Islam adalah syariah (wahyu Allah SWT), bukan akal manusia walaupun ia merupakan suara majoriti.
Selain itu Rasulullah ﷺ juga bersabda:
لَا تَكُنْ إِمَّعَةً، تَقُولُ: إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَحْسَنْتُ، وَإِنْ ظَلَمُوا ظَلَمْتُ، وَلَكِنْ وَطِّنُوا أَنْفُسَكُمْ: إِنْ أَحْسَنَ النَّاسُ أَنْ تُحْسِنُوا، وَإِنْ أَسَاءُوا فَلَا تَظْلِمُوا
“Janganlah kalian menjadi seorang yang tidak mempunyai pendirian (imma‘ah), yang berkata: ‘Jika manusia berbuat baik, aku turut berbuat baik. Jika mereka berbuat zalim, aku turut berbuat zalim.’ Namun, biasakanlah diri kamu: Jika manusia berbuat baik, kamu ikut berbuat baik; tetapi jika mereka berbuat jahat, janganlah kamu turut berbuat zalim.” (HR. at-Tirmidzi)
Hadis ini menegaskan pentingnya keberanian untuk tetap berpegang pada kebenaran, walaupun terpaksa berbeza dengan kebanyakan orang.
Rasulullah ﷺ dan para sahabat adalah teladan nyata tentang keberanian menjadi minoriti yang konsisten dengan kebenaran. Di tengah masyarakat jahiliah yang majoritinya tenggelam dalam kesyirikan, mereka memilih jalan tauhid, walaupun pada awalnya hanya segelintir dan menghadapi tekanan besar.
Kerana itu, Islam mengajarkan bahawa keberanian untuk bersendirian di atas kebenaran adalah kemuliaan. Sebaliknya, beramai-ramai di atas kesalahan hanyalah tanda kelemahan.
Rasulullah ﷺ bersabda:
بَدَأَ الْإِسْلَامُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
“Islam bermula dalam keadaan asing, dan ia akan kembali asing sebagaimana ia bermula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing itu.” (HR.Muslim)
Kesimpulannya, marilah kita tetap istiqamah berpegang teguh di atas kebenaran (Islam), walaupun perlu berbeza pendapat dan sikap dengan kebanyakan orang.
#nafsiyah #keteguhan #ketakwaan #kebenaran #istiqamah