[Mafahim Islamiyyah] Hari-Hari Pemisah dalam Kehidupan Manusia (Bahagian 2/3)
Penulis: Muhammad Husain Abdullah
(Sambungan dari Bahagian 1/3)
Dalam suasana yang diselimuti mendung ketakutan dan keputusasaan, tipu daya orang-orang musyrik, dan berbagai konspirasi orang Yahudi ini, Rasulullah SAW mengisytiharkan berdirinya negara. Kaum muslim lalu berpindah dari tahapan perjuangan politik dan pergolakan pemikiran dalam mengemban dakwah menuju tahapan (marhalah) pengambilan kekuasaan dan pergolakan berdarah.
Sesungguhnya, hari-hari itu pada Rabiulawal sejak 14 abad lalu, telah menyaksikan titik perubahan dalam kehidupan di Madinah al-Munawwarah, juga dalam kehidupan semua manusia. Jejak-jejak serta pengaruhnya tidak henti-hentinya terbayang dan terkenang hingga kini.
Hari-hari itu sangat layak untuk diteliti dan dipelajari, dibahas dengan cermat, difahami, dan dikaji dengan teliti. Ini kerana sesungguhnya manusia pada hari ini sangat memerlukan suasana dan keadaan seperti itu, apalagi kaum muslim.
Demikianlah, hari-hari hijrah kenabian dengan berdirinya negara, sesungguhnya Allah SWT mengajarkan kita tentang sesuatu yang wajib menjadi pedoman bagi para pengemban dakwah ketika tertimpa berbagai ujian dan cubaan, serta dikelilingi berbagai bahaya dan konspirasi.
Seorang pemimpin wajib sentiasa berwaspada apabila ada perkara yang menuntut untuk dirahsiakan daripada mata-mata yang memerhati. Pemimpin juga perlu bersikap bijaksana dan teliti dalam merancang strategi, kreatif dalam menggunakan pelbagai sarana dan kaedah yang disusun, serta menjauhkan diri daripada segala syubhat yang boleh memberi ruang kepada musuh untuk menyerang melalui syubhat itu. Sesungguhnya, pada diri Rasulullah SAW terdapat teladan yang terbaik bagi kita.
Baginda SAW telah menimbulkan prasangka pada kaum Quraisy bahawa Baginda masih berada di tempat tidurnya. Sedangkan pada hakikatnya, Baginda bersembunyi bersama Abu Bakar di dalam Gua Tsur untuk menunggu seorang penunjuk jalan yang mahir, yang akan membawa keduanya melalui jalan-jalan yang tidak dikenali manusia menuju Madinah al-Munawwarah.
Nabi SAW telah mengambil sebab-sebab yang biasanya boleh mendatangkan kepada kejayaan dalam beraktiviti. Sebelum hijrah, beliau sangat berkeinginan untuk mengembalikan barang-barang titipan yang ada padanya kepada para pemiliknya walaupun dalam situasi berbahaya. Sesungguhnya keterikatan kepemimpinan dengan hukum-hukum ideologi yang didakwahkannya bagaimanapun situasi dan hasil-hasilnya akan menjadikannya benar-benar layak menjadi pemimpin dan tempat kepercayaan, tidak hanya di hadapan para pengikutnya saja, tetapi juga di hadapan semua manusia.
Adapun para sahabat yang mulia, mereka benar-benar bercita-cita tinggi terhadap keselamatan pemimpin yang merupakan utusan Allah. Mereka taat kepadanya dan menyerahkan sepenuhnya apa sahaja yang keluar daripadanya. Mereka melaksanakan perintah-perintahnya tanpa memandang kepada bahaya yang akan mereka temui.
Ali bin Abi Thalib, beliau mengenakan selimut burdah Rasulullah SAW lalu tidur di tempat tidur Baginda pada malam hijrah. Beliau menghadapkan dirinya kepada kematian untuk menebus junjungannya.
Sedangkan Abu Bakar ash-Shiddiq, beliau benar-benar telah membawa semua wang logamnya bersama Nabi SAW, menjaga Baginda SAW dengan tubuhnya daripada lubang-lubang ular berbisa di dalam gua, dan melindungi Baginda SAW sepanjang perjalanan. Beliau berkata kepada orang yang menanyakan tentangnya: ‘Dia adalah seorang lelaki yang menunjukkan jalan kepadaku,’ demi menjaga keselamatan Baginda. Beliau menyembunyikan berita Nabi daripada Ummu Ma‘bad sehingga Ummu Ma‘bad menamakan Baginda dengan gelaran ‘lelaki pembawa berkat’ kerana kambingnya dapat mengeluarkan susu dengan deras.
Adapun Asma’ dan Abdullah, kedua-duanya anak dari Abu Bakar, kedua-duanya benar-benar telah memikul ujian berupa gangguan dan bahaya dalam menyampaikan bekal makanan dan berita. Sedangkan orang-orang muslim di Madinah menunggu-menunggu kedatangannya setiap hari di luar Madinah. Mereka memiliki perbezaan tanah kelahiran, suku-suku, warna kulit, tetapi berfikir dan berperasaan atas dasar yang satu, iaitu akidah Islam. Islam telah menjadikan mereka laksana satu tubuh dalam hal berkasih sayang dan berlemah lembut. Mereka sangat merindukan untuk melihat Rasulullah SAW dalam keadaan selamat.
Rasulullah SAW telah memilih tinggal di Quba, iaitu di kediaman orang-orang bujang agar tidak membebankan keluarga mereka. Juga agar beliau daapt melakukan pertemuan dan perkumpulan dengan jumlah yang lebih banyak dari kalangan para pemuda sahabat Muhajirin dan Ansar tanpa memberatkan mereka. Beliau tinggal di rumah itu selama empat hari. Di sana, beliau mendengarkan informasi-informasi tentang Madinah al-Munawwarah, penduduknya, dan berbagai situasinya.
Sebelum detik-detik mengisytiharkan berdirinya negara, Rasulullah SAW berjalan melewati beberapa perkampungan. Sahabat Ansar memberi hormat kepada beliau. Setiap perkampungan menawarkan kepada beliau untuk tinggal di antara mereka dalam sejumlah pendukung, perlengkapan, dan kekuatan.
Kemudian Allah SWT memilihkan untuk beliau rumah-rumah Bani Najjar dari suku Khazraj. Mereka adalah kelompok yang terbanyak ikut Baiat Aqabah II yang mewakili kaum muslim di Madinah. Mushab bin Umair tinggal di rumah pemimpin mereka, iaitu As’ad bin Zaroroh. Dalam rumah-rumah mereka, Rasulullah SAW mengsiytiharkan berdirinya negara Islam. Beliau SAW telah membeli sebidang tanah dari mereka, lalu membangun masjid dan rumah-rumah di atasnya untuk menjadi tempat kepemimpinan negara dan untuk mengatur urusan-urusannya.
Selanjutnya, Nabi SAW memulakan aktiviti-aktivitinya sebagaimana layaknya seorang pemimpin negara. Beliau mengikat tali persaudaraan di antara sahabat Muhajirin dan Ansar. Sahabat Ansar memberikan harta kepada sahabat Muhajirin. Mereka saling berkerjasama dalam berbagai keperluan dunia. Masyarakat Islam yang baru ini berdiri di atas asas yang kukuh dari akidah Islam yang disatukan oleh pemikiran-pemikiran, perasaan-perasaan, dan sistem.
Kemudian Nabi SAW menulis surat perjanjian komprehensif yang disebut dengan Piagam Madinah. Perjanjian ini antara kaum muslim dan orang-orang Yahudi serta musyrik Madinah. Dalam surat itu, beliau SAW membuat perjanjian bagi kaum muslim dan orang musyrik Madinah terkait hak dan kewajipan mereka masing-masing. Beliau SAW juga mengatur interaksi-interaksi untuk memelihara negara yang masih muda dengan susunan yang terperinci agar kaum muslim bebas leluasa dalam menghadapi musuh-musuh Islam dan mengemban dakwah Islam di luar Madinah.
Kemudian bertiuplah badai yang panas dan mematikan, serta angin yang dingin dan membawa hujan atas negara yang baru lahir ini, seperti adanya perang Ahzab, Badar, Uhud, dan Hunain. Akan tetapi negara ini tetap kukuh seperti kukuhnya gunung-gunung yang tinggi sehingga berjaya merangkul majoriti jazirah Arab sebelum wafatnya Rasulullah. Juga bersiap-siap menggempur dua negara adidaya pada waktu itu, iaitu negara Romawi dan Parsi untuk menduduki pusat negara pertama di dunia yang popular pada masa itu.
Sumber: Muhammad Husain Abdullah, Mafahim Islamiyyah.