Keluarga Muslim, Keluarga Dakwah
Oleh: Hanifatus Suhro (Forum Muslimah Prihatin Generasi dan Peradaban)
Keluarga ialah unit kecil dari masyarakat, persekitaran pertama dan utama dalam pembangunan dan pembentukan personaliti individu. Keadaan keluarga dalam masyarakat akan mempengaruhi keadaan sesebuah kaum, bangsa dan negara.
Dalam perspektif Islam, perkahwinan bukan sahaja untuk memenuhi keperluan gharizah nau’ (naluri seksual) dan mewujudkan keluarga yang harmoni. Lebih daripada itu, bagi muslim, motivasi untuk berkeluarga mestilah berlandaskan motivasi untuk mencapai keredhaan Allah, iaitu dengan beribadah kepada Allah, menjaga kesucian diri, dan merealisasikan amal bahawa berkeluarga adalah sebahagian daripada gerakan menegakkan hukum-hukum Allah di muka bumi-Nya. Keluarga muslim sejatinya menjadi pusat dakwah Islam. Setiap ahli keluarga yang telah aqil baliqh menjadi pendakwah dan pendukung dakwah sehingga mampu menyumbang kepada pembinaan tamadun yang agung iaitu tamadun Islam yang gemilang.
Untuk membentuk keluarga dakwah maka setiap ahli keluarga perlu memahami dan menjalankan peranan dan tugas masing-masing, seperti suami sebagai pendidik kepada isteri dan anak-anaknya. Manakala ibu sebagai madrasah pertama bagi anak-anaknya. Kemudian suami isteri perlu menyatukan misi perkahwinan mereka iaitu membentuk keluarga dakwah, mempunyai kesedaran bahawa mereka dilahirkan sebagai umat yang terbaik, pejuang Islam yang mempunyai kewajipan menyeru kepada yang makruf dan mencegah kemungkaran. Ini seperti dalam firman Allah ”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf (kebaikan) dan mencegah daripada segala perkara yang mungkar (buruk dan keji), dan beriman kepada Allah.” [TMQ Ali Imran (3): 110].
Membentuk keluarga dakwah adalah manifestasi iman kepada perintah Allah sebagaimana firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 104, “Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar. Mereka itulah orang-orang yang beruntung.”
Keluarga pengemban dakwah juga merupakan bentuk kesedaran terhadap keprihatinan umat. Mereka melihat keadaan umat yang jauh daripada Islam, umat terpengaruh dengan usaha gerakan sekularisme, liberalisme dan pluralisme yang dilakukan oleh musuh Islam. Gerakan itu berusaha keras untuk merosakkan Islam dan menjauhkan umatnya dari ajaran yang benar, mereka membuat penganutnya berasa fobia terhadap ajarannya, enggan mempelajari apatah lagi memperjuangkannya.
Bukan sahaja masalah dan serangan dari luar, dalam kalangan umat Islam juga berlaku perpecahan. Dalam keadaan seperti ini, umat Islam tidak boleh berdiam diam. Dakwah adalah salah satu jalan yang mesti ditempuh. Oleh itu, setiap ahli keluarga muslim sepatutnya mempunyai semangat dakwah yang tinggi, sesuai dengan profesion utama setiap muslim iaitu sebagai seorang da’i.
Adapun dalam membentuk keluarga dakwah, keluarga Rasulullah dan para sahabat adalah teladan bagi kita. Rasulullah dan para sahabat merupakan pejuang dakwah yang sangat tangguh, mereka mengalami pelbagai kesulitan bahkan penderitaan yang amat berat. Namun begitu, Rasulullah dan para sahabat sanggup mengharungi dan menempuh pelbagai rintangan yang menghalang dakwah kerana di sisi mereka terdapat isteri tercinta yang menjadi pasangan, yang menyokong dan menguatkan mereka. Seperti Khadijah RA, isteri Rasulullah yang selalu setia dan memberikan dorongan dan bantuan di jalan dakwah. Khadijah RA mengorbankan hartanya demi dakwah Rasulullah dan menenangkan Rasulullah ketika mengalami kesulitan di medan dakwah. Begitu juga Fatimah RA yang sanggup tangannya menjadi kasar kerana melakukan tugas rumah tangga bagi melicinkan langkah dakwah suaminya, Ali RA.
Di jalan dakwah, ada kalanya pengemban dakwah mengalami semangat dan kualiti dakwah yang meningkat, ada kalanya mereka juga mengalami futur dalam dakwah kerana beberapa sebab. Boleh jadi penyebab futur dalam dakwah kerana sibuk dengan urusan pekerjaan baik di luar rumah (suami) mahupun di dalam rumah (isteri), jadi jangan sesekali redha melihat pasangan futur dalam berdakwah. Nasihati pasangan dengan cara yang makruf.
Bagi suami pengemban dakwah, adakalanya isteri keletihan dengan aktiviti di rumah sehingga memberi kesan kepada berkurangnya aktiviti dakwah. Dalam keadaan demikian, maka bantulah meringankan tugas rumah tangganya dengan mengupah pembantu dan/atau membantu isterinya melakukan kerja-kerja rumah sebagaimana Rasulullah juga membantu isteri-isteri baginda.
Satu lagi penyebab futur dalam dakwah mungkin kerana keadaan rakan seperjuangannya yang tidak kondusif, maka hiburkan dirinya dan ingatkan dia bahawa seperti itulah dinamika berjemaah. Beri motivasi untuk terus bersabar di jalan dakwah jemaah. Ingatkan bahawa, berdakwah itu kerana Allah, bukan kerana sesiapa.
Penyebab lain adalah kerana kemaksiatan, maka ajaklah dia untuk bermuhasabah, ajaklah dia untuk bersama-sama memohon ampun kepada Allah agar suami atau isteri dan anak-anak tidak terjerumus ke jalan kemaksiatan, malah terus maju dalam ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.
Oleh sebab itu, keluarga hendaklah selalu menyiapkan keadaan atau suasana keluarga dengan prasarana dalam dakwah, mendorong dan saling mengingatkan antara satu sama lain untuk terus konsisten dan bersemangat dalam melaksanakan kewajipan mulia umat ini, iaitu kewajipan berdakwah apapun keadaannya.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat