Ustazah Hafsa: Siapkan Bahtera Keluarga!
Oleh: Aliya Ab Aziz
Dalam segmen Tadabbur Ayat Pilihan sempena Kempen Keluarga Muslim Ideal, Ustazah Hafsa (Aktivis Muslimah) mengajak keluarga Muslim agar meneladani Nabi Nuh AS dengan membina ‘bahtera keluarga’ sebagai perlindungan keimanan dalam menghadapi ujian kehidupan.
“Daripada perintah Allah SWT lah bahtera ini menyelamatkan orang beriman kan. Bukannya Nabi Nuh ni buat bahtera, panggil krew, nak melancong dari satu pulau ke pulau – tidak! Tetapi perumpamaan bahtera adalah satu perlindungan. Perlindungan keimanan. Hanya orang beriman sahaja yang naik bahtera tersebut yang selamat. So, mesti dipersiapkan bahtera keluarga supaya apa jua badai, ombak, angin taufan yang datang menimpa kita dan anak-anak, ujian-ujian kehidupan, kita tak karam. Kita tak terkeluar daripada bahtera tersebut,” ujarnya ketika mentadabbur surah Hud ayat 42-43 dalam Siri Tadabbur bertajuk Bahtera Keluarga Beriman di laman Facebook Muslimah HTM, pada Sabtu (27/9/2025).
Beliau menegaskan bahawa tanggungjawab membina bahtera itu terletak di bahu ketua keluarga, khususnya ayah. Ia bukan simbolik, tetapi sebuah amanah.
Katanya, “Sebagai ketua keluarga, dah siap ke belum bahteranya? Ataupun pandai-pandai anaklah nak melayari kehidupannya? Anak ini amanah. Kelak, bila kata amanah, dia akan dipersoalkan oleh Allah SWT.”
Menurut beliau, bahtera keluarga yang ingin dibina mestilah kukuh dan selamat untuk seluruh isi rumah.
“Bahtera yang kita buat jangan rompong-rompong, jangan bocor-bocor, jangan macam rakit sahaja. Tetapi bahtera yang kita buat perlu kukuh, selamat untuk semua penumpang. Suaminya, isterinya, anak-anaknya, cucu cicitnya,” beliau mengingatkan.
Sambungnya lagi, kehidupan manusia sentiasa diiringi ujian, ibarat badai yang menguji kekuatan iman dan persediaan keluarga.
“Badai-badai kehidupan ini sentiasa ada ujian daripada satu per satu, satu per satu, satu per satu. Apakah pula persiapan untuk menghadapi badai-badai kehidupan besar ini?” soalnya.
Seterusnya beliau turut mencontohkan situasi cabaran yang biasa dihadapi anak-anak dalam keluarga Muslim hari ini.
“Badai tadi ada hiburan. Ada macam-macam anak kita hadapi akan datang. Silibus sekolah yang suruh rai pelbagai jenis perayaan yang tak kena dengan akidah kaum Muslimin. Bagaimana anak kita meminta untuk berpakaian seperti bukan pakaian orang Islam. Itu antara ujian-ujian. Bagaimana nanti anak kita meminta untuk berkawan dengan yang lawan jenis. Apakah persiapan kita supaya kita dan anak-anak ini dapat menghadapi ujian-ujian tersebut. Dah kahwin nanti lain pula kisahnya,” ujarnya mengajak berfikir.
Ustazah Hafsa turut menekankan tiga elemen utama dalam membina bahtera yang selamat iaitu, akidah, syariat dan akhlak Islam. Ketiga-tiga elemen ini perlu diterapkan sejak kecil.
Nasihatnya, “Kena didik akidah, kena didik syariat, kena ajar akhlak-akhlak Islam yang benar. Mesti buat (semua ni), tak ada pilihan. Mulakan dengan semudah-mudah menyebut nama Allah ketika kecil. What is the first word anak-anak awak mesti sebut? Allah. What is the first word yang anak kita dengar? Azan. Ikram daripada bapanya. Apakah zikir yang selalu didengar tatkala dibuai? La illah ila allah.”
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan iman adalah kunci untuk mengatasi setiap cabaran hidup, kerana panduan Allah SWT dan Rasul SAW sudah lengkap. Pilihannya ada di tangan kita.
Katanya, “Kalau iman telah dibina, insyaAllah badai-badai tadi dapat diselesaikan, dapat dihadapi dengan panduan daripada syariat, dan hukum-hukum syarak yang telah diajarkan.”
“Semua masalah, semua badai-badai dalam kehidupan, semuanya (jalan solusinya) telah sempurna ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW. Tinggal nak cari atau pun tak cari je. Atau pun nak ikut cara orang putih, nak cara orang barat. Tepuk dada tanya selera,” tambahnya.
Bercermin daripada kisah anak Nabi Nuh, beliau menegaskan bahawa usaha membina keimanan keluarga, khususnya dalam diri anak-anak, menuntut kesabaran yang mendalam serta keikhlasan yang tidak pernah putus.
“Lihatlah apa yang terjadi kepada anak Nabi Nuh. Dan sepanjang bertahun-tahun kita mendidik anak ini, `Eh belum jadi lagi dia ni seperti yang aku nak. Belum jadi lagi ni aku pergi hantar sekolah tahfiz, eh asyik nak keluar je ni, asyik nak nangis je ni, belum jadi lagi ni’. Jangan putus asa ibu ayah, jangan putus asa. Nabi Nuh tak pernah berputus asa, beratus-ratus tahun,” ujarnya memotivasikan para penonton.
Ustazah Hafsa menutup majlis dengan dorongan agar setiap ibu bapa terus berusaha mempersiapkan keluarga dengan iman dan amal yang berterusan.
“Jangan putus asa dalam membuat persiapan ini, jangan berputus asa dalam membina keimanan keluarga,” pesannya.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#KeluargaAlQuran #KeluargaNabiNuh
#BahteraKeluargaBeriman