Buli: Rumah Membentuk Diri Anak
Oleh: Aliya Ab Aziz
Ketika berkomentar tentang isu buli yang semakin meluas, Aktivis Muslimah, Aishah Sazali berpendapat bahawa rumah adalah faktor utama yang membentuk keperibadian anak-anak pada masa depan.
“Realitinya kita tahu, kebanyakan masa anak-anak adalah di rumah sebelum dia keluar pergi belajar di sekolah atau universiti. Jadi suasana di rumahlah yang akan membentuk dirinya pada masa depan. Sama ada akan menjadi pembuli, atau dibuli, ataupun dia akan menjadi seorang pejuang,” ujarnya dalam Siri Cakna Umat bertajuk Buli dan Penyelesaian dalam Islam, Ahad (17/8/2025).
Menurut Aishah, dalam konteks buli di rumah, ramai tidak menyedari bahawa tindakan tertentu sebenarnya termasuk dalam kategori buli.
“Ramai yang tak perasan, terutamanya ibu bapa, dia tak perasan yang dia buat pada anak itulah buli,” katanya.
Beliau menambah, anak-anak adalah ahli keluarga yang paling rentan menjadi mangsa buli di rumah.
Menurutnya, “Ibu bapa tampar anak-anak tanpa sebab yang jelas, melepaskan stress pada anak-anak sebab anak-anaklah yang paling vulnerable. Paling tak berani melawan, susah nak melawan ibu bapa.”
Buli verbal katanya, walaupun sering disedari sebagai perbuatan yang salah, namun kerap berlaku di rumah.
“Panggil anak bodoh, gemuk, tak guna. Kadang-kadang ibu bapa sedar benda tu salah tapi terlepas perkataan tu keluar,” katanya.
Tambahnya lagi, buli yang dianggap kecil di rumah sebenarnya boleh membentuk peribadi anak sama ada menjadi pembuli atau terus menjadi mangsa buli.
Katanya, “Buli yang kecil-kecil yang kita anggap gurauan sebenarnya menyebabkan mangsa rasa dihina dan rendah diri. Jadi jenis-jenis buli yang ada dalam rumah ni sebenarnya menjadi permulaan kepada pelbagai jenis buli di luar, sama ada buli di sekolah atau di tempat kerja tanpa sedar.”
Aishah menegaskan Islam melihat buli sebagai satu bentuk kezaliman dan penghinaan terhadap maruah manusia.
Menurutnya, “Buli ini adalah perbuatan zalim yang sangat ditegah dalam Islam. Ia melibatkan penghinaan, penyalahgunaan kuasa dan menimbulkan ketidakadilan terhadap individu lain.”
Beliau memetik ayat 11 daripada surah al-Hujurat yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah sesuatu kaum itu memperolok-olokkan kaum yang lain kerana boleh jadi mereka yang diperolokkan itu lebih baik daripada mereka yang memperolok-olok.”
Katanya, ayat ini menjadi bukti jelas bahawa Islam menolak sama sekali segala bentuk penghinaan dan ejekan terhadap orang lain.
“Dalam al-Quran sendiri dah ada larangan tentang buli dan berbuat zalim,” ujarnya memperingatkan.
Seterusnya beliau membacakan peringatan daripada Rasulullah SAW, “Takutlah kamu akan kezaliman, kerana kezaliman itu adalah kegelapan pada hari kiamat.” (HR Muslim)
Peranan Ibu Bapa Membentuk Fitrah Anak
Aishah menjelaskan bahawa ramai yang memahami konsep fitrah anak yang diibaratkan seperti ‘kain putih’ boleh diwarnai mengikut acuan ibu bapa, namun pandangan ini sebenarnya perlu difahami dengan lebih mendalam. Beliau merujuk kepada penjelasan oleh Ustaz Harry Santosa yang membawa pendekatan berbeza terhadap makna fitrah.
Jelasnya, “Kita selalu faham kain putih fitrah ni umpama kertas kosong, yang ibu bapalah mencorakkannya. Tapi Ustaz Harry Santosa bawa fahaman bahawa anak-anak dilahirkan umpama kain putih fitrah tu, bukan umpama kertas kosong, tapi diumpamakan seperti handphone.”
Beliau menerangkan bahawa perumpamaan ‘handphone’ menggambarkan bahawa setiap anak sudah memiliki kemampuan dan kecenderungan tersendiri sejak lahir.
“Handphone kan kita tahu, ia banyak aplikasi dalam tu yang kita boleh download… Jadi anak-anak diumpamakan macam tu. Setiap anak tu dah ada pembawaannya. Tinggal ibu bapa nak mengeluarkan potensi yang ada dalam diri anak-anak,” hurainya.
Aishah menegaskan bahawa apabila potensi ini gagal dikembangkan, anak-anak boleh tersasar daripada landasan Islam.
“Bila potensi yang ada dalam diri anak-anak itu tak dapat dikeluarkan sepenuhnya, menjadilah Yahudi, Nasrani atau Majusi,” terang beliau.
Tambahnya lagi, “Anak-anak tu sendiri memang lahir waktu kecil, waktu bayi tu, sebenarnya dia dah bawa Islam dalam diri dia. Tinggal ibu bapa mengeluarkan potensi Islam yang ada dalam diri dia.”
Oleh itu, katanya, proses mendidik anak dalam Islam bukanlah sekadar mengawal, tetapi memahami potensi yang telah Allah tanamkan dalam diri mereka.
Katanya, “Tak boleh tidak, memang kena belajar, fitrah apa sebenarnya yang Allah dah tetapkan dalam diri anak-anak yang menyebabkan dia bertumbuh menjadi pejuang. Dia boleh bertumbuh menjadi pejuang Islam yang kuat, melawan kezaliman. Sepatutnya sampai (tahap) yang macam tu bila dikeluarkan potensi yang ada dalam diri anak.”
Aishah menambah bahawa peranan ibu bapa bukan sekadar menjaga, tetapi membentuk sikap dan emosi anak agar stabil dan berkualiti.
“Tinggal nak melahirkan generasi yang berkualiti, generasi yang ada keperibadian Islam yang tangguh, maksudnya yang hebatlah boleh kata,” nasihatnya.
Selain itu, beliau menegaskan bahawa keluarga adalah institusi pembentukan nilai yang saling mendidik antara satu sama lain.
“Bila suami isteri dah berkahwin dan ada anak, bukan semata-mata ibu ayah perlu mendidik anak-anak, tapi sebenarnya anak-anak pun boleh mendidik ibu ayah,” ujarnya membetulkan persepsi kebiasaan dalam keluarga.
Seterusnya beliau kembali menekankan pentingnya peranan ibu bapa untuk mempersiapkan anak-anak dengan nilai-nilai Islami sebelum mereka terjun ke kancah kehidupan bersama masyarakat.
“Peranan ibu ayah juga untuk membentuk sikap dan perilaku anak dengan baik sehingga boleh masuk ke dalam masyarakat. Maksudnya dia tak hidup sendiri-sendiri tapi, sebaliknya dia faham dia sedar tanggungjawab dia hidup di dunia ni adalah untuk dia memberi manfaat juga kepada orang lain,” tegas beliau.