Parental Burnout: Di Mana Jalan Keluar Buat Masa Depan Keluarga Muslim?
Penulis: Hamimah Karmidi
Tekanan hidup yang semakin mencengkam, kurangnya sokongan persekitaran dan ditambah dengan beban kerja yang semakin berat, telah mendorong ramai ibu bapa kini mengalami fenomena parental burnout iaitu keadaan keletihan emosi, fizikal dan mental yang kronik. Fenomena ini berlaku apabila ibu bapa hilang motivasi, mudah marah, menjauhkan diri daripada anak-anak, dan akhirnya dilanda rasa bersalah yang berpanjangan.
Anak-anak Menjadi Mangsa
Menurut kajian psikologi keluarga, semakin ramai ibu bapa masa kini berasa tertekan, cepat marah, malah hilang minat terhadap tanggungjawab keibubapaan. Data ini selari dengan laporan kajian bertajuk Parental Burnout around the Globe: a 42-Country Study (2021) diterbitkan oleh National Library of Medicine yang menunjukkan bahawa tekanan berterusan dalam menguruskan keluarga memberi kesan langsung terhadap kesihatan mental ibu bapa dan akhirnya membawa kepada kegagalan mengawal emosi, menjadikan kualiti hubungan dengan anak menjadi semakin renggang, dan akhirnya kecenderungan untuk bertindak negatif dalam mendidik.
Kesan terbesar daripada parental burnout ini bukan hanya dirasai oleh ibu bapa, tetapi lebih berat lagi ditanggung oleh anak-anak. Mereka membesar dalam suasana kurang kasih sayang, komunikasi yang hambar, dan persekitaran emosi yang tidak stabil.
Anak-anak yang kurang mendapat bimbingan dan perhatian daripada ibu bapa pula lebih cenderung menjadi pasif, agresif atau sukar diurus. Dalam jangka masa panjang, kesan ini boleh diwariskan kepada generasi seterusnya di mana anak-anak yang tidak stabil emosinya membesar dan mengulangi kitaran yang sama apabila bergelar ibu atau bapa kelak.
Faktor Yang Mendorong Parental Burnout
Dalam konteks keluarga Muslim, parental burnout sebenarnya bukan sekadar masalah individu, tetapi petanda kegagalan sistem kehidupan hari ini dalam menyediakan persekitaran yang aman dan sejahtera untuk keluarga. Antara petanda tersebut atau pun faktor yang mendorong parental burnout adalah:
- Tekanan hidup dan beban ekonomi
Kenaikan kos sara hidup yang semakin tinggi termasuk tempat tinggal, pendidikan dan keperluan asas lain telah memaksa ibu bapa bekerja lebih masa. Akibatnya, fokus keibubapaan beralih kepada kerjaya dan mencari nafkah sehingga masa bersama keluarga semakin terhad dan sering terganggu.
- Ketiadaan sokongan komuniti
Dalam masyarakat Muslim yang sebenar, membesarkan anak bukan hanya tanggungjawab eksklusif ibu bapa sahaja. Kaum kerabat dan komuniti di sekitar mereka turut berperanan sebagai “jaringan sokongan” melalui budaya ziarah, gotong-royong, dan saling membantu. Rasulullah SAW bersabda,
“Mukmin terhadap mukmin yang lain seperti bangunan yang saling menguatkan.” [HR al-Bukhari dan Muslim]
Namun, gaya hidup individualistik hari ini menghakis semangat ini. Ramai ibu bapa berjuang sendirian tanpa bantuan jiran atau saudara mara walaupun sekadar sokongan moral.
- Pengaruh media sosial
Platform digital mencipta ilusi bahawa setiap ibu bapa harus bersaing untuk menjadi sempurna di mana anak-anak perlu cemerlang dalam akademik, rumah mesti sentiasa kemas, malah perlu menikmati percutian mewah setiap bulan. Hakikatnya, imej ini hanyalah “suntingan” daripada kehidupan sebenar.
Budaya “fear of missing out” (FOMO) membuat ibu bapa letih mengejar gaya hidup yang tidak perlu sehingga mengabaikan keperluan sebenar sesebuah keluarga. Tambahan pula, terlalu banyak nasihat keibubapaan (parenting) di media sosial bercampur-baur dan tidak semuanya selari dengan syariat Islam.
Sistem Islam Adalah Jalan Keluar
Banyak usaha boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk mengatasi masalah ini secara individu. Contohnya, mengurus masa dengan lebih baik, mengawal penggunaan media sosial, mempraktikkan hidup sederhana (qana’ah), atau mencari sokongan daripada ahli keluarga terdekat.
Namun, apa yang dapat kita perhatikan adalah punca masalah ini bukan semata-mata kerana kawalan diri individu. Ia melibatkan pengaruh persekitaran dan tekanan daripada sistem hidup yang kita jalani. Maka, untuk keluar daripada masalah ini, tidak cukup hanya dengan perubahan kawalan diri. Ia menuntut perubahan suasana dan sistem kehidupan yang mengatur masyarakat.
Sudah tentu, sistem kehidupan Islam satu-satunya sistem yang menjamin kesejahteraan individu dan keluarga. Dalam buku an-Nizham al-Ijtima’i, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan bahawa sistem Islam ini akan dapat menjamin rasa tenteram dan ketenangan jiwa dalam kehidupan khusus. Sistem Islam juga mampu memenuhi kebahagiaan dan kesejahteraan yang diperlukan oleh masyarakat Islam dalam kehidupan umumnya.
Oleh itu, kesejahteraan keluarga perlu dibina di atas tiga tonggak utama berikut:
- Pembahagian Peranan yang Jelas
Dalam sebuah keluarga setiap ahli anggota memainkan peranan. Tugas dan peranan seorang suami atau ayah sebagai qawwam iaitu pemimpin keluarga, pencari nafkah, dan pelindung. Manakala peranan isteri atau ibu sebagai ummu wa rabbatul bait iaitu pendidik anak, pengurus rumah, dan pendamping suami. Sementara itu, anak-anak sejak daripada kecil perlu dididik dengan akidah yang benar dan diterapkan akhlak mulia supaya mereka menjadi generasi pejuang Islam kelak.
Sirah hidup Rasulullah SAW memberi gambaran jelas bagaimana seorang pemimpin agung tetap menjadi seorang bapa dan datuk yang penyayang dengan memberikan perhatian penuh terhadap anak-anak dan cucu-cucunya. Baginda SAW tidak pernah menjadikan kesibukan sebagai alasan untuk tidak melayan atau mendidik mereka. Baginda sering mencium cucu-cucunya, bermain dengan mereka, malah menggendong mereka ketika solat.
- Sokongan Komuniti
Dalam Islam, sokongan komuniti menjadi asas penting dalam membina keharmonian dan kesejahteraan umat. Setiap individu digalakkan untuk mewujudkan suasana tolong-menolong, saling peduli, dan menguatkan ukhuwah sesama Muslim. Budaya murni seperti ziarah menziarahi, gotong-royong, serta saling menegur dalam perkara kebaikan perlu dihidupkan semula agar hubungan antara anggota komuniti kekal erat dan penuh keberkatan.
Negara turut memainkan peranan utama dengan memudahkan usaha ini melalui institusi seperti masjid sebagai pusat aktiviti, majlis umat sebagai wadah musyawarah, serta Baitul Mal sebagai pusat pengurusan harta umat demi kesejahteraan bersama.
- Jaminan Keperluan Asas oleh Negara
Dalam Islam, negara memikul tanggungjawab penuh untuk menjamin keperluan asas rakyat seperti pendidikan, kesihatan, dan keselamatan tanpa membebankan mereka dengan kos yang tinggi. Dengan adanya jaminan ini, beban ekonomi keluarga dapat dikurangkan sehingga membolehkan ibu bapa terutama para ibu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas sebagai pengurus rumah tangga. Kemudahan pendidikan yang berkualiti, rawatan kesihatan percuma, dan perlindungan keselamatan yang menyeluruh dapat memastikan setiap anggota masyarakat dapat hidup dengan tenang dan sejahtera.
Khatimah
Parental burnout bukan sekadar isu keletihan emosi atau fizikal, tetapi isyarat jelas bahawa setiap keluarga Muslim perlu kembali kepada tanggungjawab berlandaskan syariat Islam. Penyelesaian tuntas hanyalah dengan penerapan Islam secara keseluruhan yang memerlukan perubahan menyeluruh, bukan hanya pada tahap individu, tetapi juga pada tahap sistem yang mengatur kehidupan. Dengan itu, ibu bapa akan lebih berdaya dalam mendidik anak-anak di dunia dengan penuh kasih sayang, kesabaran, dan kefahaman Islam yang sebenar. Kemudian mereka akan kembali berhimpun di syurga Allah SWT kelak. Firman Allah SWT,
“Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga)…” [TMQ at-Tur (52): 21].
Rujukan:
- https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC7970748/?utm_source
- an-Nizham al-Ijtima’i, Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani (2007)