Pentingnya Saling Memberi Nasihat di Antara Pasangan Suami Isteri
Penulis: Najmah Saiidah
Perkara penting yang perlu ditanamkan dalam diri setiap pasangan suami isteri adalah bahawa diri kita dan pasangan kita bukanlah insan yang sempurna, tanpa kekurangan atau kelemahan. Para suami seharusnya menyedari, isteri yang dikahwini itu hanyalah seorang wanita biasa yang mempunyai banyak kelemahan dan kekurangan.
Oleh sebab itulah Allah SWT mengurniakan seorang wanita sebagai isteri kepada lelaki untuk melengkapi kekurangannya dan memperbaiki kelemahannya. Begitu juga sebaliknya, seorang isteri juga seharusnya menyedari hakikat ini.
Setiap pasangan suami isteri pastinya memahami bahawa sikap saling menerima dan saling menasihati merupakan antara perkara yang dapat menambah kebahagiaan dalam rumah tangga. Di samping itu, keimanan serta pemahaman terhadap syariat Islam juga menjadi kunci utama kepada kebahagiaan sesebuah rumah tangga. Semua ini menjadi dambaan setiap pasangan suami isteri dalam usaha membina rumah tangga yang berlandaskan ajaran Islam.
Namun begitu, hakikatnya tidak semua perkara berjalan sebaik yang diharapkan. Ada kalanya, dalam perjalanan kehidupan berumah tangga, berlaku salah faham antara pasangan suami isteri terhadap sesuatu isu yang sebenarnya berpunca daripada perbezaan pandangan atau pemahaman terhadap syariat Islam.
Di sinilah perlunya sikap saling mengingatkan antara kedua-dua pihak tanpa mengutamakan ego masing-masing. Setiap individu pasti menyedari bahawa tidak semestinya suami lebih memahami agama Islam, dan begitu juga sebaliknya, tidak semestinya isteri lebih memahami. Justeru, pentingnya amalan saling menasihati antara pasangan suami isteri, dan menjadi tanggungjawab kedua-duanya untuk terus belajar dan mendalami ajaran Islam tanpa henti.
Rasulullah SAW Contoh Terbaik
Rasulullah SAW merupakan seorang sahabat kepada isteri-isterinya, bukan seorang pemimpin yang bersifat autoritarian, meskipun baginda adalah seorang ketua negara, malah seorang Nabi. Sebagai seorang suami, baginda sememangnya sering menasihati isteri-isterinya.
Masih segar dalam ingatan kita ketika Rasulullah SAW menasihati Aisyah RA apabila beliau mengulas tentang Shafiyyah. Daripada Aisyah RA, beliau berkata, “Aku pernah berkata sesuatu kepada Rasulullah SAW tentang Shafiyyah. Lalu baginda menegurku, ‘Engkau telah mengucapkan satu kalimah yang luar biasa, sekiranya ia dilemparkan ke laut, nescaya ia akan mengubah (rasa) air laut tersebut.’”
Sepanjang hayat baginda, Rasulullah SAW sering berbincang dan saling bertukar pandangan dengan isteri-isterinya. Malah, baginda juga menerima nasihat dan cadangan daripada mereka. Ada kalanya, baginda membincangkan pelbagai persoalan penting bersama mereka. Dalam beberapa peristiwa, sesungguhnya Rasulullah SAW ingin memberikan pengajaran kepada umat Islam tentang kedudukan penting yang dimiliki oleh kaum wanita.
Salah satu peristiwa besar yang sentiasa kita ingati ialah Perjanjian Hudaibiyah. Perintah Allah SWT yang datang melalui wahyu itu, meskipun tidak dapat dinafikan kebenarannya, tetap terasa berat bagi Rasulullah SAW, dan juga menjadi satu tamparan hebat kepada para sahabat, sehingga mereka tidak segera menyambut perintah Rasulullah SAW.
Apabila melihat para sahabat enggan melaksanakan perintahnya, Rasulullah SAW pun masuk ke dalam khemah baginda dan meminta pandangan daripada Ummul Mukminin, Ummu Salamah RA. Lalu Ummu Salamah RA menyampaikan pendapatnya dengan penuh hormat, “Wahai Nabi Allah, sebaiknya engkau keluar dan jangan berbicara dengan sesiapa pun. Sebaliknya, teruslah menyembelih haiwan korbanmu. Setelah itu, panggillah orang yang biasa mencukur rambut, lalu bercukurlah.”
Rasulullah SAW pun melaksanakan saranan tersebut. Tidak lama kemudian, para sahabat yang melihat tindakan baginda segera bangkit untuk menyembelih haiwan korban mereka dan saling mencukur rambut. Akhirnya, para sahabat menyedari bahawa peristiwa ini merupakan wahyu daripada Allah SWT.
Dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim dijelaskan tentang keadaan Nabi Muhammad SAW ketika baru menerima wahyu pertama di Gua Hira’. Baginda pulang menemui isterinya Khadijah dalam keadaan tubuh dan hati yang menggigil.
Baginda masuk ke rumah lalu berkata, “Selimutkan aku, selimutkan aku…”
Apabila baginda mulai tenang, baginda berkata, “Wahai Khadijah, aku bimbang diriku akan ditimpa musibah, aku benar-benar bimbang akan ditimpa musibah.”
Khadijah berkata bagi menenangkan dan mententeramkan suaminya, “Bergembiralah. Demi Allah, Allah tidak akan sekali-kali merendahkanmu. Sesungguhnya engkau benar-benar jujur dalam tutur kata, menjaga silaturahim, menanggung beban orang lain, memuliakan tetamu, dan membantu mereka yang berada dalam kesusahan.”
Kata-kata yang terluah itu hadir dengan penuh keikhlasan, bukan sekadar kata-kata manis. Ia menyejukkan hati yang sedang gundah, menenangkan jiwa yang gementar, dan mengukuhkan keyakinan terhadap pertolongan Allah SWT.
Demikianlah betapa luar biasa teladan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada kita, agar pasangan suami isteri dapat bergaul secara makruf, berbincang tanpa bertengkar, serta saling menasihati.
Lalu, bagaimanakah sebenarnya panduan dalam Islam agar amalan saling menasihati antara suami isteri dapat mengukuhkan lagi ikatan pernikahan dan mendatangkan keberkatan?
Tuntutan Islam
Membina hubungan yang baik sesama muslim adalah sesuatu yang terpuji. Lebih-lebih lagi dalam sebuah perkahwina, ia merupakan sesuatu yang mesti diperjuangkan dengan sebaik-baiknya. Kita telah memilih pasangan hidup kita kerana Allah SWT, dan kita mengikat janji serta tekad yang kukuh dengan pasangan kita dalam akad nikah juga kerana Allah SWT.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita dan pasangan untuk berusaha bersungguh-sungguh memelihara perkahwinan agar kekal utuh dan harmoni. Saling menasihati antara suami isteri merupakan salah satu usaha yang penting dalam menjaga keharmonian tersebut.
Maka, bagaimana sebenarnya Islam membimbing kita dalam hal ini?
- Sentiasa Muhasabah Diri (Introspeksi Diri)
Kadangkala kita tidak menyedari bahawa apa yang telah kita lakukan boleh menyebabkan pasangan kita berasa kurang senang, atau bahkan mungkin telah menyakitinya. Mungkin kita merasa sudah cukup memberikan perhatian, atau yakin telah menunaikan hak-hak pasangan dengan baik, namun realitinya masih ada yang terabai tanpa kita sedari.
Apabila suami atau isteri memberi teguran, menyuarakan rasa tidak puas hati, atau menasihati dengan baik, maka perkara yang perlu dilakukan adalah bermuhasabah terhadap apa yang telah dilakukan. Sekiranya ternyata kita khilaf, maka mohonlah maaf dan berusahalah memperbaiki diri. Agar keadaan itu akan berubah menjadi lebih baik.
Allah SWT berfirman:
مَآ اَصَابَكَ مِنْ حَسَنَةٍ فَمِنَ اللّٰهِ ۖ وَمَآ اَصَابَكَ مِنْ سَيِّئَةٍ فَمِنْ نَّفْسِكَ ۗ وَاَرْسَلْنٰكَ لِلنَّاسِ رَسُوْلًا ۗ وَكَفٰى بِاللّٰهِ شَهِيْدًا
“Apa jua kebaikan (nikmat kesenangan) yang engkau dapati maka ia adalah dari Allah; dan apa jua bencana yang menimpamu maka ia adalah dari (kesalahan) dirimu sendiri. Dan Kami telah mengutus engkau (wahai Muhammad) kepada seluruh umat manusia sebagai seorang Rasul (yang membawa rahmat). Dan cukuplah Allah menjadi saksi (yang membuktikan kebenaran hakikat ini).” [TMQ An-Nisaa (4):79]
Imam Qatadah—semoga Allah merahmatinya—mengatakan, “Sebagai hukuman bagimu wahai anak Adam, disebabkan kerana dosamu.” [Tafsir Ibnu Katsir]
- Menerima Pasangan Seadanya
Kita semua maklum bahawa perkahwinan merupakan penyatuan dua individu yang berasal daripada latar belakang berbeza, serta dua keluarga yang berbeza. Oleh itu, suami isteri perlu saling memahami kelebihan dan kekurangan masing-masing, serta menerimanya dengan hati yang terbuka tanpa ada penyesalan yang berpanjangan. Tiada manusia yang sempurna, setiap insan pasti memiliki kekurangan dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan.
Persahabatan antara suami isteri akan menjadikan kedua-duanya tidak mahu melihat pasangannya terus berada dalam keadaan yang buruk atau membiarkan kekurangannya, padahal sebenarnya boleh diperbaiki dengan usaha. Di sinilah pentingnya sikap saling menasihati dan sentiasa memberi dorongan agar pasangan terus berusaha memperbaiki diri ke arah yang lebih baik.
Hal ini merupakan wujudnya suatu hubungan yang saling mencintai kerana Allah SWT. Ini kerana tujuannya adalah dalam rangka menjaga ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhkan pasangannya dari melakukan perkara-perkara yang mungkar, lebih-lebih lagi kemaksiatan kepadaNya.
Nasihat dan motivasi yang disertai dengan komunikasi pada waktu yang tepat, lemah lembut, dan tidak menjustifikasi kekurangan akan menjadikan pasangan yang dinasihati berasa sejuk hati serta tenteram dalam menerima teguran. Malah, ia akan membangkitkan semangat untuk berubah menjadi insan yang lebih baik.
- Sentiasa Memahami Keadaan Pasangan
Sikap saling memahami akan menjadikan suami isteri berempati terhadap pasangannya sehingga tidak mudah untuk saling berburuk sangka, tetapi tidak bererti patut bertolak ansur terhadap kesalahan dan kelemahan yang dapat merugikan pasangannya. Sikap saling memahami akan memudahkan pasangan suami isteri untuk berfikir secara waras sebelum memberikan pandangan, menasihati, atau menilai pasangan.
Namun begitu, memahami keadaan pasangan tidak bererti kita membiarkan kekurangan atau kesilapan pasangan berlarutan tanpa tindakan. Sebaliknya, kita hendaklah sentiasa memberi dorongan dan galakan kepada pasangan untuk terus belajar dan memperbaiki diri. Terutamanya kepada suami yang merupakan pemimpin dalam sesebuah keluarga. Dengan demikian akan mewujudkan kepercayaan dirinya dalam memimpin keluarga.
- Menghadiri Majlis Ilmu Bersama Pasangan
Dalam apa jua keadaan, menuntut ilmu adalah kewajipan bagi setiap muslim, baik mempelajari buku-buku keislaman ataupun mengikuti dan menghadiri majlis-majlis ilmu. Tambahan pula, pasangan suami isteri hendaklah sentiasa memperbaiki diri dengan memperkayakan tsaqafah (kefahaman tentang syariat islam) dan mendalami hukum-hukum Islam.
Memperbanyakkan membaca buku, menghafal ayat Al-Quran dan hadis, atau berguru untuk mempelajari tsaqafah Islam dengan menghadiri majlis-majlis ilmu, adalah sebahagian daripada aktiviti-aktiviti yang boleh dilakukan untuk meningkatkan pemahaman Islam bagi pasangan suami isteri.
Dengan demikian, pasangan suami isteri akan semakin mengenali hukum-hukum Allah SWT, memahaminya, dan mengamalkannya. Di sinilah pentingnya membina diri dengan tsaqafah Islam sehingga boleh membezakan halal atau haram sebagai standard kehidupan.
Sebagai pemimpin keluarga, seorang suami atau ayah memiliki kewajipan untuk mendidik isteri dan anak-anaknya sehingga seluruh anggota keluarga terhindar dari api neraka [TMQ At-Tahriim (66):6]. Demikian juga seorang isteri dan ibu, dia berperanan sebagai pendamping suami dan juga menjadi pengasuh dan pendidik utama bagi anak-anaknya.
Tambahan pula, jika aktiviti-aktiviti ini dilakukan bersama keluarga, tentu akan lebih menyeronokkan dan bermakna. Selain memperoleh kefahaman yang lebih mendalam, kita juga boleh berdiskusi dengan ahli keluarga yang lain sehingga mendapat pemahaman yang mendalam.
Pada masa ini, pasangan suami isteri akan memiliki persefahaman yang sama. Tambahan lagi, sebagai ibu bapa akan lebih mudah untuk mengukuhkan pemahaman kepada anak-anak.
Malah mengikuti kajian, rutin bersama boleh menjadi wadah pembinaan dan menjalin hubungan yang lebih erat di antara ahli keluarga. Dengan demikian, jika timbul perbezaan semasa dalam proses implementasi terhadap apa yang dikaji, akan lebih mudah dalam memperbaiki atau menasihati.
- Sentiasa mendoakan Pasangan
Sudah menjadi kewajipan bagi kita untuk selalu mendoakan pasangan kita di setiap kesempatan, terutamanya pada waktu-waktu mustajabnya doa. Terutamanya ketika ditimpa kesulitan dan musibah, kegundahan dan kegelisahan. Kita memohon agar Allah SWT menghilangkan semua kesedihannya, kegundahannya, dan memberikan segala yang terbaik untuk pasangan hidup kita dan juga keluarga kita.
Kepada siapa lagi kita perlu memohon, kecuali hanya kepada Allah SWT semata. Suami kita sesungguhnya adalah milik Allah SWT, Allah SWT yang menggenggam hati suami kita. Dia juga yang Maha Kuasa untuk mengubah dan memperbaiki mereka, tentu saja dengan kita tetap perlu berusaha.
Hanya kepada Allah SWT kita meminta pertolongan. Semoga Allah SWT selalu menjadikan kita dan pasangan kita orang yang selalu taat kepadaNya serta bertanggung jawab terhadap keluarga.
Semoga Allah SWT sentiasa menjaga dan melindungi suami kita dan memberikan kemudahan serta penyelesaian yang terbaik untuk setiap kesulitan yang dihadapi. Amin, Yaa Mujiib as-Saailiin.
Dengan doa yang tulus, agar Allah SWT memberi keselamatan kepada keluarga kita dan kelapangan rezeki bagi keluarga kita, sekurang-kurangnya hal ini akan memberikan ketenangan kepada kedua-dua belah pihak. Kekuatan doa daripada isteri merupakan senjata terbesar dan paling ampuh dalam setiap langkah dan usaha suami.
Rasulullah SAW bersabda,
“Sesungguhnya doa yang segera dimakbulkan adalah doa seorang isteri kepada suaminya yang tidak berada di tempat yang sama atau saling berjauhan.” [HR Tirmidzi]
Penutup
Pasangan suami isteri sememangnya perlu bekerjasama dalam memelihara keutuhan dan keharmonian rumah tangga. Sikap saling menghargai, menyayangi, saling memahami, memaafkan, serta kesediaan untuk terus belajar antara satu sama lain mesti dimiliki oleh kedua-duanya. Hal ini akan akan dapat dicapai melalui komunikasi yang ma’ruf (baik) dan saling menasihati di antara satu sama lain.
Alangkah indahnya ucapan Abu Darda RA pada isterinya, “Jika aku marah, maka buatlah aku redha padamu, dan jika engkau marah, aku pun akan membuat dirimu redha padaku. Kalau tidak demikian, tidaklah kita bersahabat.” Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat
#Nasihat