Jangan Mengabaikan Aspek Sababiyah dalam Isu Kemalangan
Oleh: Aliya Ab Aziz
Menyikapi isu meluasnya kemalangan maut tahun ini, Aktivis Muslimah Ustazah Sakinah, memperingatkan supaya tidak mengabaikan aspek sababiyah dan uqubat dalam menilai isu kemalangan.
“Amat penting untuk kita melihat isu kemalangan ini dari perspektif yang betul yakni dengan memahami serta membezakan antara persoalan takdir dan sababiyah. Kemalangan tidak boleh dilihat semata sebagai musibah semata-mata tanpa mengaitkan dengan tanggungjawab dan uqubat yang benar,” katanya dalam siri Cakna Umat bertajuk `Kemalangan Jalan Raya: Musibah atau Takdir?’ pada Rabu (24/9/2025).
Beliau menjelaskan bahawa setiap kejadian kemalangan sememangnya berlaku dengan izin Allah, namun Islam menuntut umatnya memahami hukum sababiyah, iaitu hubungan antara sebab dan akibat.
“Kita kena beriman dan menerima takdir dengan redha. Namun ini tidak bermaksud kita boleh mengenepikan aspek sababiyah dalam setiap kemalangan, kematian dan kecederaan yang berlaku akibat tangan-tangan manusia,” ujarnya.
Menurut Ustazah Sakinah, Islam melihat jalan raya sebagai kemudahan awam (muraafiq ‘ammah) yang wajib diselenggara bagi menjamin keselamatan rakyat.
“Dalam Islam, pemerintah bertanggungjawab memastikan jalan raya selamat. Umar begitu takut walaupun seekor keldai yang jatuh, terperosok ke dalam jalan berlubang, apa lagi kalau itu nyawa manusia,” katanya, merujuk kepada kisah pentadbiran semasa era Khalifah Umar al-Khattab.
Beliau menegaskan bahawa dalam sistem pemerintahan Islam, penguasa bukan sekadar pembuat dasar, tetapi juga penjaga rakyat (ra’in). Oleh itu, penguasa sendiri bertanggungjawab memastikan kemudahan awam, termasuk jalan raya, sentiasa berada dalam keadaan baik dan tidak membahayakan pengguna, bukan sekadar mengharapkan pihak konsesi semata.
“Jalan raya tidak boleh diswastakan sesuka hati. Islam ni sangat menjaga nyawa manusia. Jadi jalan tu adalah hak umum yang perlu diselenggarakan dengan baik dan bila berlaku kemalangan memang dia (pemimpin) kena kaji, apa sebabnya kemalangan dekat situ,” terangnya.
Kemudian, beliau menerangkan bahawa pelanggaran peraturan jalan raya juga dikategorikan sebagai mukhalafat, iaitu kesalahan yang memberi kuasa kepada Khalifah untuk menentukan pihak yang bersalah serta menetapkan bentuk hukuman yang sesuai apabila berlaku sesuatu kemalangan.
Jelasnya, “Bila khalifah yang menentukan, dia akan tengok punca berlakunya kemalangan. Sama ada human error, ataupun kenderaan error, ataupun disebabkan kecuaian Kerajaan (dalam pembinaan).”
“Setiap kemalangan yang berlaku akibat tangan manusia, maka tangan yang melakukan kerosakan mesti dipertanggungjawabkan berdasarkan hukum Islam”, sambungnya.
Ustazah Sakinah turut mengkritik keadaan jalan raya di Malaysia ketika ini yang didakwanya menjadi antara punca utama berlakunya banyak kemalangan maut, termasuk insiden tragis baru-baru ini yang meragut nyawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam kemalangan bas.
Sebagai imbuhan, beliau turut memberikan cadangan menambahbaik keadaan jalan hari ini bagi mengurangkan kadar kemalangan dahsyat yang berlaku di Malaysia.
Antaranya, “Contohnya, membina penghadang roller barrier system terutamanya di selekoh. Dan dah kita tahu penghadang-penghadang yang ada sekarang tidak boleh menyelamatkan ataupun mengurangkan kadar kemalangan.”
Beliau turut menegur kebiasaan dalam masyarakat yang perlu diperbetulkan, iaitu ungkapan`kemalangan tersebut tidak akan berlaku jika pemandunya tidak cuai’ dan seumpamanya. Ucapan sebegini, katanya, wajar dielakkan kerana boleh membawa kepada penafian terhadap takdir Allah. Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa Islam tetap menegaskan tanggungjawab manusia terhadap setiap perbuatannya yang akan berkonsekuensi pada pengakhiran hidup.
“Umat Islam memahami ketentuan takdir, ketentuan yang telah Allah tentukan ke atas kita. Sebab ajal maut tu ia datang tidak cepat dan tidak lambat walaupun sesaat . Memang Allah dah tetapkan. Cuma cara kematian tu yang kita kena usahakan supaya kita mati dalam keadaan husnul khatimah,” pesannya.
#kemalangan #sababiyah