Keyakinan Akan Pertolongan Allah
Oleh: Ustaz Yuana Ryan Tresna
Jabal Malaikat (Gunung Para Malaikat) adalah sebuah bukit kecil yang terletak di sekitar medan Perang Badar. Bukit ini dikatakan sebagai tempat turunnya para malaikat yang diutus Allah untuk membantu kaum muslim dalam menghadapi pasukan Quraisy dalam Perang Badar.
Dalam al-Quran, Allah berfirman:
إِذْ تَسْتَغِيثُونَ رَبَّكُمْ فَاسْتَجَابَ لَكُمْ أَنِّي مُمِدُّكُم بِأَلْفٍ مِّنَ الْمَلَائِكَةِ مُرْدِفِينَ
“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu Dia mengabulkan(nya) bagimu (seraya berfirman), “Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepadamu berupa seribu malaikat yang datang berturut-turut.” [TMQ Al-Anfal (8): 9]
Maknanya, ketika kaum muslimin memohon pertolongan, Allah mengirim 1000 malaikat secara bergelombang untuk membantu mereka.
Jabal Malaikat menjadi simbol spiritual pertolongan Allah dan salah satu bukti bahawa kemenangan dalam Perang Badar bukan kerana kekuatan fizikal semata, tetapi kerana iman dan pertolongan daripada Allah. Bukit ini hingga kini menjadi bahagian dari kawasan bersejarah yang sering dikunjungi di area Badar.
Salah satu keunikan Jabal Malaikat yang sering disebut oleh para pengunjung dan penduduk setempat adalah permukaannya terdiri daripada pasir atau debu halus, namun tidak berterbangan walaupun terkena hembusan angin kencang.
Fenomena ini dianggap luar biasa, kerana pada umumnya pasir halus akan mudah terangkat oleh angin, tetapi di Jabal Malaikat, pasirnya tetap tenang dan melekat pada tempatnya.
Keyakinan atas pertolongan Allah adalah asas penting dalam iman seorang muslim. Ia mengajarkan bahawa dalam setiap kesulitan, ujian, atau perjuangan, seorang hamba tidak pernah sendiri — kerana Allah sentiasa bersama hamba-Nya yang bertawakal dan berdoa.
Dalam sejarah Islam, seperti Perang Badar, kaum muslim yang jumlahnya sedikit tetap yakin akan pertolongan Allah, dan benar-benar ditolong dengan diturunkannya malaikat.
Keyakinan ini menumbuhkan ketenangan, kekuatan batin, dan keberanian, serta menjauhkan dari rasa putus asa. Allah berfirman: “Bukankah Allah cukup bagi hamba-Nya?” [TMQ Az-Zumar (39): 36]
Jabal Malaikat,
3 Oktober 2025
Yuana Ryan Tresna
#keyakinan #pertolongan #tawakal #AllahMahaKuasa