[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga ala Nabi SAW]
Siri 1 – Bersikap Mesra dan Bersenda Gurau
Rasulullah hidup bersama isteri-isterinya yang suci dengan bahagia dan damai, sebab kehidupan baginda merupakan penerapan murni sepertimana firman Allah SWT, “…Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.” [TMQ An-Nisā’ (4): 19].
Tidak hairan jika kita lihat Rasulullah mengungkapkan kehidupannya bersama isteri-isterinya dengan sabdanya, “Aku adalah orang yang paling baik di antara kalian bagi keluargaku.”
Walaubagaimana pun, terkadang timbul juga masalah di rumah-rumah mulia Nabi SAW, masalah yang sebenarnya sangat jarang berlaku. Masalah-masalah itu tidak pernah disebutkan jika bukan kerana kaum Muslimin perlu menceritakan kehidupan baginda secara terperinci, baik yang bersifat khusus mahupun yang umum.
Rasulullah mengatasi semua masalah berdasarkan hikmah, logik, rahmat, dan keadilan yang beliau miliki. Ada banyak cara yang digunakan oleh Rasulullah. Berdasarkan kajian penulis, terdapat 10 cara bagaimana Rasulullah SAW mengatasi permasalahan dalam rumah tangga beliau.
Senyum dan bergurau adalah salah satu cara yang digunakan Rasulullah untuk menyelesaikan perselisihan rumah tangganya. Banyak kes yang tidak boleh diselesaikan dengan amarah atau kekerasan. Kerana itu, kebanyakan masalah baginda hadapi dengan senyum manis atau gurauan akrab yang dapat mengubah situasi secara drastik.
Banyak sekali sunnah dan hadis Rasulullah yang mengisahkan bagaimana baginda menghadapi masalah hanya dengan tersenyum.
Diriwayatkan daripada Aisyah RA, katanya, “Pada suatu hari Rasulullah masuk ke tempatku. Aku terus bertanya kepada Baginda, ‘Dari mana saja anda seharian ini?’”
Baginda menjawab, “Humaira, aku ada di tempat Ummu Salamah.”
Aisyah pun marah dan berkata: “Apa yang anda dapatkan daripada Ummu Salamah?”
Baginda hanya tersenyum. Aisyah melanjutkan, “Rasulullah, bila anda singgah di dua lembah yang salah satunya lagi belum, di mana anda akan menggembalakan unta?”
Baginda menjawab, “Aku akan menggembalakan untaku di tempat yang belum pernah menjadi padang gembalaan.”
Aisyah menjawab, “Aku tidak seperti isteri-isterimu yang lain, setiap orang dari mereka sebelum ini adalah isteri orang lain.”
Aisyah menuturkan, “Rasulullah tersenyum mendengar hal itu.” [1]
Sikap Nabi SAW yang hanya tersenyum atas ketidakpuasan hati Aisyah saat mengetahui Nabi SAW seharian berada di rumah Ummu Salamah adalah kebijakan Nabi SAW agar kemarahan Aisyah tidak berlarutan.
Catatan kaki:
[1] Ibnu Sa’ad, ath-Thabaqat al-Kubra, vol. 8, hlm 55.
*Diterjemah dan diolah daripada sumber asal
Rujukan: Perkahwinan Idaman (Syaikh Mahmud al-Mashri)
#KeluargaMuslimIdeal #KeluargaTarbiyah #DakwahBermulaDiRumah #RumahTaatUmatKuat