[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga ala Nabi SAW]
Siri 3 – Melakukan Sesi Dialog dan Menjelaskan Keadaan
Cara lain yang digunakan Rasulullah SAW untuk menyelesaikan masalah adalah menggunakan kaedah dialog yang efektif, untuk meyakinkan isterinya agar mahu memperbaiki kesalahannya.
Kaedah ini memberi kesan yang signifikan dalam mewujudkan keharmonian kerana ia menciptakan suasana bebas berpendapat dengan cara bertukar fikiran dan berdialog dalam menghadapi permasalahan dalam rumah tangga.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, dia mengisahkan bahawa Shafiyah berkata, “Rasulullah pada mulanya adalah orang yang paling aku benci. Baginda telah membunuh suamiku, ayahku, dan kaumnya. Baginda terus memohon maaf daripadaku. Baginda berkata, ‘Shafiyah, ayahmu telah mempengaruhi orang-orang Arab untuk melakukan ini dan itu terhadapku…’..hingga hal itu terlontar daripada diriku sendiri.” [1]
Dalam hadis ini kita melihat contoh yang baik tentang cara meyakinkan seseorang melalui dialog. Contoh ini baginda terapkan pada isteri baginda yang suci, Ummul Mukminin Shafiyah binti Huyay ibn Akhtab an-Nadhariyah.
Shafiyah berasal dari keluarga Yahudi, kaum yang memperlakukan Rasulullah dengan sangat buruk dan keji. Permusuhan mereka terhadap Rasulullah begitu besar, bahkan peperangan di antara kedua pihak berlangsung sampai bertahun-tahun. Mereka bersekutu dengan musuh Rasulullah sehingga memaksa Rasulullah untuk melancarkan serangan dan mengisytiharkan peperangan melawan mereka, misalnya Perang Bani Nadhir, Perang Bani Quraizhah, Perang Khaibar. Peperangan jugalah yang mengakibatkan kematian Huyay ibn Akhthab, ayah Shafiyah, yakni Perang Bani Quraizhah, serta kematian suaminya, Kinanah ibn Rabi ibn Abi al-Huqaiq, yakni Perang Khaibar. Peperangan juga banyak menewaskan kaumnya.
Oleh sebab itulah Rasulullah pada awalnya menjadi orang yang paling dibenci oleh Shafiyah. Namun, segalanya berubah dengan cepat. Baginda berubah menjadi orang yang paling dicintai oleh Shafiyah.
Begitulah kebijakan Rasulullah SAW menghadapi situasi antara baginda dan Shafiyah saat itu. Rasulullah SAW menjelaskan perbuatannya membunuh suami dan ayahnya kepada Shafiyah supaya dia mengetahui sebab-sebabnya seterusnya memahami akan tindakannya tersebut. Akhirnya perasaan benci Shafiyah terhadap Rasulullah SAW berubah menjadi sayang dan cinta.
📌 Catatan kaki:
[1] Riwayat Abu asy-Syaikh dalam Akhlâq an-Nabiyy, hlm.66.
*Diterjemah dan diolah
Rujukan: Perkahwinan Idaman (Syaikh Mahmud al-Mashri)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat