Kritikan Syeikh Abdul Qadir al-Jailani terhadap Penguasa
Syeikh Abdul Qadir al-Jailani ialah seorang ulama sufi besar yang aktif dalam melaksanakan amar makruf nahi mungkar. Beliau secara khusus mengarahkan kritikannya kepada para penguasa, serta memberi peringatan kepada masyarakat agar tidak tunduk kepada mereka dalam perkara yang bertentangan dengan syariat. Dalam salah satu majlisnya, beliau berkata:
“Ramai orang telah menjadikan raja-raja seperti tuhan-tuhan. Begitu juga dunia, harta, kesihatan, kekuatan dan kemampuan telah dijadikan sebagai tuhan. Kalian menjadikan cabang seolah-olah akar, yang diberi rezeki seolah-olah pemberi rezeki, yang dimiliki seolah-olah pemilik, yang miskin seolah-olah kaya, yang lemah seolah-olah kuat, yang mati seolah-olah hidup… Jika kalian mengagungkan para penguasa zalim, para Firaun dunia, raja-raja dan orang-orang kaya, lalu kalian melupakan Allah ﷻ dan tidak mengagungkan-Nya, maka kalian sama seperti orang yang menyembah berhala! Orang yang kalian agungkan itulah berhala kalian!”
Kritikan Syeikh Abdul Qadir terhadap penguasa tidak terhenti pada nasihat bersifat umum semata-mata, tetapi turut ditujukan kepada peristiwa-peristiwa tertentu yang menunjukkan penyimpangan dan kezaliman. Pada tahun 541 H / 1146 M, Khalifah al-Muqtafi telah melantik Yahya bin Sa‘id sebagai hakim. Namun, hakim tersebut bertindak zalim terhadap rakyat, merampas harta dan menerima rasuah.
Syeikh Abdul Qadir mengambil kesempatan ketika khalifah itu hadir di masjid. Dari atas mimbar, beliau berkata, “Engkau telah melantik atas kaum Muslimin orang yang paling zalim antara para penzalim. Apa jawapanmu kelak di hadapan Tuhan semesta alam?” Mendengar ucapan itu, khalifah segera memecat hakim tersebut daripada jawatannya.
Peristiwa seperti ini berulang terhadap para pegawai tinggi dan penjaga istana. Mereka sedia mendengar nasihat Syeikh Abdul Qadir kerana kesolehannya, keikhlasan tujuannya, dan karamah yang dimilikinya. Syeikh Abdul Qadir amat menjaga dirinya agar tetap jauh daripada perkara-perkara yang menimbulkan syubhat atau sebarang bentuk keakraban dengan para penguasa. Diceritakan bahawa beliau tidak pernah sekalipun mendatangi pintu istana penguasa, dan tidak pernah mengambil apa-apa pemberian daripada mereka.
Sumber: “Ad-Daulah az-Zankiyyah” – Prof. Dr. Ali Muhammad ash-Shallabi
#amarmakruf #nahimunkar #ulamasebenar #ulamamulia #inspirasi #teladan