Kejahatan (al-Jarîmah) dalam Pandangan Islam
Kejahatan (al-jarîmah) adalah setiap perbuatan yang tercela. Manakala yang dimaksudkan dengan tercela (al-qabîh) adalah sesuatu yang dianggap tercela oleh syariat. Kerana itu, sesuatu perbuatan hanya dianggap sebagai kejahatan apabila syariat Islam menetapkannya sebagai perbuatan yang tercela. Suatu perbuatan dinilai sebagai kejahatan tanpa mengambil kira kadar keburukannya sama ada besar ataupun kecil. Syariat telah menetapkan bahawa setiap perbuatan yang tercela merupakan dosa yang wajib dikenakan hukuman. Maka, hakikatnya, dosa itu sendiri adalah bentuk kejahatan.
Kejahatan bukanlah sesuatu yang wujud secara fitrah dalam diri manusia, bukan pula suatu kebiasaan yang diperoleh daripada luar (muktasabah) atau hasil pembelajaran manusia, dan bukan juga penyakit yang menimpa manusia. Sebaliknya, kejahatan merupakan penyimpangan terhadap peraturan yang mengatur tingkah laku manusia, sama ada dalam hubungannya dengan Tuhannya, dengan dirinya sendiri, mahupun dengan sesama manusia.
Hal ini demikian kerana manusia diciptakan oleh Allah ﷻ dengan memiliki naluri dan keperluan jasmani, sebagai potensi kehidupan yang mendorongnya untuk memenuhi kedua-duanya. Maka, manusia akan melakukan pelbagai perbuatan bagi memenuhi dorongan tersebut. Namun, sekiranya pemenuhan terhadap naluri dan keperluan jasmani ini dibiarkan tanpa peraturan, ia akan menimbulkan kekacauan, ketidakseimbangan, serta boleh membawa kepada pemenuhan yang salah (khâthi’) atau menyimpang (syâdz).
Allah ﷻ telah menetapkan peraturan bagi pemenuhan naluri dan keperluan jasmani ini melalui hukum-hukum syariat. Syariat Islam menjelaskan hukum bagi setiap perbuatan manusia, menetapkan mana yang halal dan mana yang haram. Justeru, syariat datang dengan membawa perintah dan larangan, serta mewajibkan manusia untuk melaksanakan perintah dan menjauhi larangan tersebut. Jika manusia melanggar peraturan ini, maka dia telah melakukan perbuatan yang tercela iaitu melakukan kejahatan. Oleh itu, hukuman wajib dijatuhkan terhadap kejahatan tersebut agar manusia patuh melaksanakan perintah Allah ﷻ dan meninggalkan larangan-Nya. Jika tiada hukuman terhadap pelanggaran, maka perintah dan larangan itu menjadi tidak bermakna.
Sumber: “Nizham al-‘Uqūbāt” karya Abdurrahman al-Maliki
#perbuatan #naluri #syariat #hukumperbuatan #TerapHukumSyarak