Menjalani Kehidupan Perkahwinan Memerlukan Hati Seluas Samudera
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Siapa pun yang menjalani kehidupan perkahwinan tentu akan merasakan bahawa kehidupan perkahwinan adalah kehidupan yang penuh warna, suka, dan duka. Hubungan suami isteri dalam perkahwinan memang merupakan hubungan yang dinamik. Meskipun tidak selalu harmonis, tetapi juga tidak selalu berada dalam keadaan krisis. Perkahwinan bagaikan bahtera yang sedang mengharungi lautan luas. Kadang-kadang air laut yang tenang membawa bahtera laju, tetapi kadang-kadang bergelombang, bahkan badai menerpa sehingga membuat bahtera kita goyah. Akan tetapi, kita dan pasangan mesti selalu berusaha mengendalikannya agar kembali tenang. Juga mesti selalu yakin bahawa suatu saat badai pasti akan berlalu.
Hampir Tidak Ada Perkahwinan Tanpa Goncangan
Ingatlah bahawa tidak ada manusia sempurna di muka bumi ini, termasuk kita dan pasangan. Sebaliknya, hanya Allah SWT Yang Maha Sempurna. Setiap pasangan suami isteri hendaklah menyedari bahawa pasangannya adalah perempuan atau lelaki biasa yang pasti memiliki kekurangan dan kelebihan.
Allah SWT yang Maha Bijaksana dan Maha Adil menciptakan manusia berpasang-pasangan. Dia mengirim seorang lelaki untuk mendampingi seorang perempuan dalam sebuah ikatan pernikahan agar semakin sempurna kebaikannya dan semakin berkurang kelemahannya. Oleh kerana itu, pasangan suami isteri tidak semestinya menjadi sempurna untuk boleh bahagia, juga tidak memerlukan pasangan yang sempurna untuk boleh bahagia. Sudah menjadi ketetapanNya bahawa seorang manusia tidak terlepas dari kesalahan dan dosa. Rasulullah SAW menegaskan, “Setiap anak Adam pasti berbuat salah dan sebaik-baik orang yang berbuat kesalahan adalah yang bertaubat.” [HR Tirmidzi].
Wajar jika dalam kehidupan perkahwinan terutama pada awal pernikahan, setiap pasangan suami isteri akan menghadapi pelbagai ujian yang boleh jadi datang dari pasangannya. Ini semua merupakan ujian yang mesti dihadapi pasangan suami isteri dengan hati yang lapang, fikiran yang jernih, dan selalu berprasangka baik terhadap pasangan. Tidak salah jika dikatakan bahawa kehidupan perkahwinan itu mesti dihadapi dengan hati seluas samudera. Memerlukan keikhlasan yang luar biasa untuk menjalaninya. Di sinilah Islam hadir memberi petunjuk dan tuntunan untuk kita semua.
Mengelola Hati
Berikut merupakan beberapa usaha yang boleh dilakukan untuk mengelola hati agar tenang dalam berkeluarga:
1. Menjadikan syariat Islam sebagai asas.
Menjadi suatu kemestian bagi pasangan suami isteri dan setiap keluarga muslim untuk menjadikan Islam dan syariatnya sebagai panduan dan solusi terhadap seluruh permasalahan yang terjadi dalam kehidupan berkeluarga. Kita fahami bersama bahawa hukum syarak datang dari Allah SWT, bersifat tetap, sesuai dengan fitrah manusia, dan memuaskan akal sehingga akan membawa kepada ketenteraman. Oleh kerana itu, syariat Islam mesti dijadikan rujukan agar keluarga muslim memiliki penanda aras yang jelas dan tegas dalam menilai segala sesuatu.
Ketika syariat Islam dijadikan penanda aras berkeluarga, maka akan mudah bagi pasangan suami isteri untuk menyelesaikan masalah bersama, lebih-lebih lagi dalam hal-hal yang bersifat prinsip dan asas. Ketika ada perselisihan, kekecewaan, atau perbezaan pendapat tentang sesuatu, jadikan syariat Islam sebagai rujukan untuk memperolehi jawapan. Dengan demikian, ketenangan dan keikhlasan akan meliputi jiwa pasangan suami isteri. Di sinilah pentingnya pasangan suami isteri untuk menguatkan pemahaman Islam bagi anggota keluarganya.
2. Mencintai pasangan kerana Allah SWT
Mencintai pasangan kerana Allah SWT merupakan asas bagi berkekalannya sebuah ikatan perkahwinan. Pasangan suami isteri yang saling mencintai kerana Allah tidak mungkin menyakiti pasangannya dengan ucapan atau perbuatannya. Mereka akan selalu menjaga kemuliaan dan kehormatan pasangannya, serta melindungi rahsia rumah tangganya. Mereka akan senantiasa mengikatkan hati, lisan dan perbuatannya dengan aturan Allah SWT. Mereka tidak akan berani membantah firman Allah dan sabda NabiNya kerana takut berdosa.
Kecintaan kepada pasangan kerana Allah SWT menjadikan mereka tidak rela jika diri dan pasangannya melanggar ketetapan dan aturan Allah SWT. Mereka akan menjaga pasangannya dengan ikhlas sepenuh hati dan jiwa agar selalu berada dalam batas Islam. Ketika pasangannya mengajak kepada kebaikan, mereka dengan senang hati untuk bekerjasama. Namun jika sebaliknya, maka mereka tidak malu untuk menasihati atau memberi pendapat. Sangat diperlukan jiwa yang besar untuk melakukan semuanya lillaahi ta’ala.
3. Menerima keadaan pasangan sebagai ketetapan dari Allah SWT
Setelah akad nikah berlangsung, kita meyakini sepenuhnya bahawa pasangan kita adalah orang yang Allah pilihkan sebagai pendamping hidup kita, lengkap dengan kelebihan dan kekurangannya. Berlapang dada menerima keadaan pasangan menjadi faktor penting yang berperanan menjaga berkekalannya perkahwinan kita. Fokuslah pada kelebihan pasangan agar mereka selesa dan tidak merasa terasing disebabkan kekurangannya. Jangan sampai sikap kita justeru menyebabkan rasa selesa itu pergi.
Jika ada sikap atau perilaku pasangan yang tidak senang di hati, alangkah baiknya kita redha terhadap akhlak lain pasangan sambil terus saling menasihati. Ingatlah bahawa tidak ada model manusia yang sempurna. Pasangan memang memiliki kekurangan dan keburukan, tetapi dia juga pasti memiliki banyak kebaikan. Ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW, “Janganlah seorang mukmin membenci wanita mukminah. Jika dia membenci salah satu perangainya, nescaya dia akan redha dengan perangainya yang lain.” [HR Muslim].
Hadis ini mengajarkan kita agar bersikap dewasa menghadapi perilaku pasangan. Jangan sampai satu kekurangannya menyeksa batin kita, padahal dia juga memiliki banyak akhlak positif yang lain. Kita mesti boleh bersikap redha terhadap perilaku pasangan.
Rahsia besarnya adalah menyedari keterbatasan kita sebagai manusia yang menyebabkan keputusan dan penilaian kita seringkali disertai kecenderungan hawa nafsu. Akibatnya, kita kadang-kadang salah menilai. Mengatakan hal yang baik sebagai hal buruk, atau sebaliknya hal buruk sebagai hal yang baik. Kita juga kadang-kadang membenci yang sewajarnya kita cintai, atau sebaliknya.
Oleh kerana itu, menyerahkan seluruh masalah sepenuhnya kepada Allah SWT adalah jalan terbaik. Termasuk takdir tentang pendamping hidup yang seringkali tidak sesuai bayangan ideal kita. Dengan demikian, kita tidak tergesa-gesa mengambil tindakan dan keputusan kerana hawa nafsu agar tidak menyesal kemudian.
4. Saling menasihati dan mengingatkan
Setiap manusia pasti tidak sunyi dari kesalahan. Persahabatan suami isteri akan membuat setiap orang tidak pernah rela jika pasangannya melakukan kesalahan, baik yang disengajakan mahupun yang tidak. Saling memberi nasihat merupakan wujud saling menyintai kerana Allah SWT. Ini kerana tujuan pernikahan adalah dalam rangka menjaga ketaatan kepada Allah SWT dan menjauhkan diri dari melakukan kemaksiatan kepadaNya.
Nasihat dan komunikasi pada waktu dan dengan cara yang tepat, iaitu secara berlemah lembut dan tidak menjustifikasi kesalahan, akan membuat pasangan yang dinasihati merasakan kenyamanan dan ketenteraman sehingga sedia menerima pendapat. Menasihati dengan makruf akan membuat kemuliaan pasangan terjaga kerana masalah tidak meluas ke luar, tetapi dicari penyelesaian bersama.
5. Menjalin komunikasi yang baik dengan pasangan.
Komunikasi sangat penting dalam kehidupan berkeluarga kerana akan meningkatkan sikap saling mencintai. Komunikasi juga akan menghindari terjadinya kesalahfahaman dengan pasangan. Komunikasi yang efektif menjadi faktor penting yang menentukan keberhasilan pasangan suami isteri dalam menyelesaikan persoalan rumah tangga.
Komunikasi juga akan membentuk kepercayaan kepada pasangan sehingga rasa curiga, fikiran negatif, dan kecemasan lainnya dapat dihilangkan. Sebaliknya, tanpa komunikasi yang baik, ketenteraman dalam keluarga akan sulit dicapai.
Pasangan suami isteri memang mesti bekerjasama menjaga keutuhan dan keharmonian rumah tangga. Sikap saling menghargai, menyayangi, mengerti, memaafkan, menjaga kemuliaan, serta mahu belajar mesti dimiliki pasangan suami isteri. Insyaallah ini akan boleh wujud, salah satunya dengan komunikasi yang makruf di antara kedua-duanya. Alangkah indahnya perkataan Abu Darda RA pada isterinya, “Jika aku marah, maka buatlah aku redha padamu dan jika engkau marah, aku pun akan membuat dirimu redha kepadaku. Kalau tidak demikian, tidaklah kita bersahabat.”
6. Mendoakan pasangan dengan doa terbaik.
Menjadi kemestian bagi kita untuk selalu mendoakan pasangan pada setiap kesempatan, terutama pada waktu-waktu mustajab. Lebih-lebih lagi ketika sedang ditimpa kesulitan, musibah, kegundahan, dan kegelisahan. Kita memohon agar Allah SWT menghilangkan semua itu dan menggantinya dengan hal terbaik bagi pasangan dan keluarga kita.
Tidak ada tempat untuk memohon dan meminta pertolongan, kecuali hanya kepada Allah SWT. Sesungguhnya, pasangan kita adalah milikNya. Allah SWT yang menggenggam hatinya serta berkuasa mengubah dan memperbaikinya. Tentu sahaja kita mesti tetap berusaha. Semoga Allah SWT selalu menjadikan pasangan kita sebagai orang yang taat kepadaNya dan bertanggung jawab terhadap keluarganya. Semoga Allah juga selalu menjaga, melindungi, dan memberikan penyelesaian terbaik terhadap pelbagai kesulitan yang kita hadapi.
Khatimah
Melakukan kewajipan dan memenuhi hak pasangan sesuai tuntunan syarak akan menjadi kunci berkekalannya sebuah perkahwinan. Oleh kerana itu, setiap pasangan suami isteri mesti senantiasa menambah pemahamannya tentang hukum-hukum syarak dan menguatkan keimanannya agar boleh berhusnuzan kepada Allah SWT, walaupun dalam keadaan paling sulit. Dengan demikian, kita boleh berlapang dada seluas samudera menjalani bahtera rumah tangga. Ini semua akan seiring dengan kualiti iman sehingga kita boleh melihat prioriti hidup dengan lebih jernih. Insya Allah.
Di sinilah kedewasaan sikap dan kesabaran kita sebagai pasangan suami isteri benar-benar teruji. Menerima pasangan apa adanya, berlapang dada, dan berpandangan jauh ke hadapan mesti kita lakukan agar kesalahan yang bersifat manusiawi tidak dibesar-besarkan. Dengan demikian, kita tidak merasa menderita kerana kecewa dengan pasangan. Bagaimanapun, pasangan kita adalah orang yang telah kita pilih dan juga bahawa ini adalah ketetapan Allah SWT.
Wallahu’alam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat I