[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW]
Siri 5 – Mengkritik dengan Tegas
Cara lain yang Rasulullah SAW tempuh untuk menyelesaikan masalah rumah tangganya adalah mengkritik dengan tegas. Ini dilakukan dalam sebuah situasi yang baginda tidak dapat sikapi dengan lembut lagi setelah masalah tersebut berulang kali terjadi. Contoh situasinya adalah seperti berikut,
Aisyah menuturkan, “Jika Nabi SAW menyebut nama Khadijah, baginda tak jemu-jemu memujinya dengan sebaik-baik pujian dan memohonkan ampunan untuknya.”
Aisyah melanjutkan, “Suatu hari aku tak dapat menahan cemburuku terhadapnya. Aku berkata, ‘Betapa sering engkau menyebut namanya hingga hujung bibirmu memerah. Padahal Allah telah memberi pengganti yang lebih baik untukmu!’”
Aku lihat Nabi SAW begitu marah hingga aku bergumam pada diriku sendiri, “Ya Allah, jika Engkau menghapuskan kemarahan Rasul-Mu kepadaku, aku tidak akan lagi menyebut-nyebut Khadijah dengan sesuatu yang buruk.”
Ketika Rasulullah mendengar apa yang aku ucapkan, baginda berkata, “Apa yang kau katakan? Demi Allah, Allah tidak menggantikannya untukku dengan yang lebih baik. Dia beriman kepadaku saat orang-orang kafir menentangku, dia mempercayaiku saat orang-orang mendustaiku, dia memberikan seluruh hartanya saat orang-orang menahannya dariku, dan Allah menganugerahiku anaknya saat wanita lain tidak memberiku keturunan!”[1] Rasulullah terus mengkritikku sehingga sebulan lamanya.
Dalam hadis ini kita lihat Nabi SAW sangat marah kepada Aisyah kerana dia telah menyinggung seorang wanita yang memiliki kedudukan tinggi dalam Islam dan menempati kedudukan yang mulia di hati Nabi SAW.
Selain itu, baginda tidak marah seketika itu saja kerana sebab-sebab di atas, tetapi lihatlah baginda terus-menerus mengkritik Aisyah atas sikapnya sehingga sebulan lamanya, sebagaimana dituturkan Aisyah. Hal ini agar Aisyah sedar bahawa kesalahannya tidak boleh dibiarkan begitu saja tanpa hukuman.
Terbukti bahawa cara ini betul-betul efektif dalam memberi pengajaran dan didikan buat seseorang yang telah melakukan kesalahan yang berat, seperti yang dituturkan Aisyah sendiri, “Aku bergumam, ‘Demi Zat yang mengutus Rasulullah dengan kebenaran, setelah peristiwa itu, aku tidak akan menyebut nama Khadijah kecuali dengan sesuatu yang baik’.” [2]
Daripada kisah ini, Aisyah RA benar-benar menginsafi sikap dan perbuatannya sehingga beliau berjanji tidak akan melakukannya lagi.
Catatan kaki:
[1] Musnad Aḥmad, vol. 6, hlm. 117, no. 24908; al-Haitsami, Majmū‘ az-Zawā’id, vol. 9, hlm.
[2] Riwayat Thabrani dalam al-Kabīr, vol. 23, hlm. 23, dengan isnād ḥasan.
*Diterjemah dan diolah daripada sumber asal
Rujukan: Perkahwinan Idaman (Syaikh Mahmud al-Mahsri)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat