[Cara Menyelesaikan Masalah Rumah Tangga Ala Nabi SAW]
Siri 7 – Memutuskan dengan Adil
Cara lain yang ditempuh Rasulullah SAW dalam berhadapan masalah rumah tangganya adalah dengan memberikan keputusan secara adil, seperti yang terjadi sewaktu Saidatina Aisyah memecahkan bejana milik Ummu Salamah. Saat itu baginda memutuskan, “Bejana dengan bejana, dan makanan dengan makanan.”[1] Maksudnya, bejana harus diganti dengan bejana atau makanan dengan makanan. Hal ini dilakukan apabila masalah rumah tangga itu terkait dengan pelanggaran terhadap hak orang lain.
Diriwayatkan daripada Anas ibn Malik, dia berkata, “Nabi SAW berada di rumah salah satu Ummul Mukminin (yakni Aisyah). Kemudian seorang Ummul Mukminin mengutus pembantunya untuk membawakan setalam makanan. Aisyah menuturkan, ‘Aku memukul talam itu sampai pecah menjadi dua.’ Rasulullah mengumpulkan pecahan talam tersebut dan meletakkan makanan yang masih ada di atasnya, lalu berkata kepada orang-orang, ‘Ibu kalian sedang cemburu. Makanlah kalian!’ Baginda tetap memegang talam yang pecah itu sampai mereka selesai makan. Baginda lalu memegang talam baru yang masih baik dan menyerahkannya kepada pembantu tersebut. ‘Talam yang pecah itu boleh simpan di rumahku’.”[2]
Di dalam hadis ini terkandung cara yang sangat mendidik daripada Rasulullah dalam menyelesaikan perselisihan di antara para isteri.
Pertama-tamanya Nabi SAW tidak terus menghukum. Baginda menjelaskan bahawa alasan seorang isteri melakukan hal seperti itu adalah kerana rasa cemburu. Dengarlah sabdanya, “Ibu kalian sedang cemburu…”
Ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW memahami situasi dan keadaan yang mendorong sikap Aisyah. Baginda terlebih dahulu memahami puncanya, alasan atau motif tindakan Aisyah RA agar dapat menafsirkan sebuah perbuatan.
Dalam kes ini, motif kedua isteri yang berseteru itu adalah kerana keduanya sama-sama mencintai Rasulullah SAW dan memperebutkan baginda. Kerana itu, cinta tak layak dijadikan sebab untuk menyakiti orang yang dicintai, dan kebaikan tak boleh dibalas dengan keburukan.
Ibnu Hajar menambah, “Di dalam hadis ini juga terkandung isyarat agar kita tidak menghukum orang yang sedang dilanda cemburu, sebab dalam keadaan itu akalnya tertutup oleh emosi yang timbul akibat rasa cemburu itu.”[3]
Demikianlah sikap dan akhlak yang baik daripada Rasulullah SAW, bagaimana keadilan dan kesabarannya dalam menyikapi masalah dalam rumah tangga. Dan ini adalah teladan tentang kebaikan Rasulullah SAW dalam memimpin rumah tangga. Bukankah Rasulullah telah bersabda, “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik bagi keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik di antara kalian bagi keluargaku”?[4] Di sini Rasulullah SAW tidak menggunakan pukulan atau cara kekerasan lainnya dalam menyikapi permasalahan. Selain itu, Rasulullah SAW juga tidak menunjukkan rasa marah atau baginda tidak memarahi Aisyah RA di hadapan tetamunya. Malah baginda menjelaskan sikap Aisyah RA yang didorong oleh rasa cemburu kepada tetamunya agar mereka juga dapat memahami sikap isterinya pada waktu itu.
Catatan kaki:
[1] Hadis sahih, riwayat Abu Daud, no. 3568; Nasa’i, no. 3957; Ahmad, no. 34629. Hadis ini dianggap sahih oleh al-‘Allāmah al-Albani raḥimahullāh dalam Shahīh al-Jāmi‘, no. 1449.
[2] Sahīh Bukhārī, Kitāb an-Nikāḥ, no. 5225.
[3] Fatḥ al-Bārī, vol. 11, hlm. 678.
[4] Hadis sahih, riwayat Abu Daud, no. 4899; Tirmidzi, no. 3895. Hadis ini dianggap sahih oleh al-‘Allāmah al-Albani raḥimahullāh dalam Shahīh al-Jāmi‘, no. 3314
*Diterjemah dan diolah daripada sumber asal
Rujukan: Perkahwinan Idaman (Syaikh Mahmud al-Mashri)
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat