Yang Sering Diabaikan, Renungan untuk Para Ayah
Penulis: Ummu Nashir N.S.
Figura seorang ayah dalam institusi keluarga sangatlah penting. Namun, terdapat situasi hari ini di mana kurangnya keterlibatan peranan ayah dalam pengasuhan anak yang boleh menyebabkan anak-anak menjadi “father-hungry” atau “mendambakan sosok ayah”. Ini merujuk kepada keadaan kerosakan psikologi yang dialami anak-anak kerana tidak mengenali ayahnya. Akibatnya, anak berpotensi untuk berkelakuan menyimpang. Keadaan ini tentu disebabkan kurangnya pemahaman para ayah tentang peranan utamanya sebagai ketua keluarga. Seorang ayah berkewajipan mencari nafkah untuk isteri dan anak-anaknya, serta bertanggungjawab terhadap keadaan mental mahupun fizikal anak-anaknya. Bukan sekadar makanan, perhatian dan kasih sayang seorang ayah juga diperlukan dan memberi sumbangan besar kepada proses tumbesaran anak sehingga dewasa kelak. Malah, sering kali anak mencontohi sosok ayah. Ayah juga memiliki tempat yang istimewa di hati anak-anaknya, sebagaimana halnya ibu.
Renungan untuk para Ayah
Seorang suami atau ayah adalah pemimpin keluarga. Dialah yang paling bertanggungjawab menjaga dan mengurus keluarganya. Rasulullah SAW bersabda, “Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan diminta untuk mempertanggungjawabkannya. Seorang imam adalah pemimpin dan akan diminta pertanggungjawabannya. Seorang lelaki adalah pemimpin atas keluarganya dan dia akan diminta pertanggungjawabannya.“ [HR Bukhari].
Allah SWT juga menegaskan hal ini di dalam firmanNya,
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا قُوْٓا اَنْفُسَكُمْ وَاَهْلِيْكُمْ نَارًا وَّقُوْدُهَا النَّاسُ وَالْحِجَارَةُ
“Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu daripada api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu.” [TMQ At-Tahrim (66): 6].
Dalam ayat ini, Allah SWT memerintahkan orang-orang beriman agar menjaga diri dan keluarganya daripada api neraka yang bahan bakarnya terdiri daripada manusia dan batu, iaitu dengan cara taat dan patuh melaksanakan perintah Allah. Sasaran ayat ini adalah setiap orang mukmin. Namun begitu, perintah ini juga ditujukan secara khusus kepada mereka yang paling bertanggungjawab terhadap keluarga, iaitu seorang ayah. Sebagai ketua keluarga, ayah wajib memastikan dirinya dan keluarganya terselamat daripada azab neraka. Hal ini menunjukkan bahawa orientasi penjagaan tersebut bukan hanya terhad kepada aspek duniawi, tetapi juga merangkumi aspek ukhrawi.
Meskipun seorang ibu merupakan madrasah pertama bagi anak-anaknya, seorang suami atau ayah tetaplah menjadi penanggungjawab terhadap pendidikan isteri dan anak-anaknya. Bukan hanya berkaitan dengan pembiayaan pendidikan, tetapi juga meliputi isi kandungan serta nilai yang terkandung dalam pendidikan tersebut. Dengan demikian, tidak benar jika urusan pendidikan anak hanya dibebankan kepada seorang ibu. Ayah juga mempunyai peranan yang besar dalam menentukan hala tuju pendidikan anak-anaknya, agar mereka membesar sebagai generasi yang teguh imannya, berkeperibadian Islam yang mantap, cerdas, serta bersedia berjuang untuk Islam.
Dalam melaksanakan peranannya, seorang ayah tidak boleh bersikap sambil lewa, keras, kaku, atau kasar terhadap keluarganya. Sebaliknya, dia hendaklah berakhlak mulia, penuh kelembutan, serta kasih sayang . Ibnu Qayyim rahimahullah menegaskan dalam kitab Tuhfatul Maudud bahawa penyebab utama kerosakan generasi pada hari ini adalah kerana ayah. Beliau mengatakan,
“Betapa ramai orang yang menyengsarakan anaknya, buah hatinya di dunia dan akhirat kerana dia tidak memberi perhatian, tidak mendidiknya, malah mengikuti hawa nafsu (keinginannya). Dia menyangka telah memuliakannya, padahal sebenarnya merendahkannya. Dia juga menyangka telah menyayanginya, padahal sebenarnya menzaliminya. Akhirnya, hilanglah bahagiannya terhadap anak itu di dunia dan di akhirat. Jika kamu perhatikan kerosakan pada anak-anak, penyebab utamanya adalah ayah.”
Imam Ibnu Qayyim sesungguhnya tidak bermaksud untuk menyalahkan para ayah. Sebaliknya, beliau mengingatkan kita semua, khususnya para ayah, agar sentiasa bermuhasabah diri. Sudahkah benar-benar memberi perhatian kepada anak? Sudahkah mendidik anak sesuai tuntunan Rasulullah SAW? Sudahkah memenuhi impian dan harapan anak terhadap ibu bapanya? Sering kali, ibu bapa justeru memaksakan kehendak mereka kepada anak-anak, jarang mendengar, apatah lagi bertanyakan harapan serta keinginan mereka.
Ayah Hendaklah Sentiasa Ada bagi Anaknya
Seorang anak sentiasa memerlukan kehadiran seorang ayah, bukan semata-mata berkaitan dengan keperluan material. Anak juga memerlukan perhatian, bimbingan, nasihat, senyuman, pelukan mesra penuh kasih sayang, atau sekadar didukung walaupun sebentar.
Rasulullah SAW mencontohkan untuk kita semua, daripada Abdullah bin Ja‘far RA berkata, “Apabila Rasulullah SAW pulang daripada suatu perjalanan, baginda biasanya disambut oleh anak-anak dan anggota keluarganya. Suatu hari, baginda pulang daripada perjalanan. Aku terlebih dahulu menyambut baginda, lalu aku didukungnya. Kemudian, seorang anak lagi, iaitu Fatimah RA, menyambutnya. Baginda pun mendukungnya di belakang. Maka kami bertiga pun memasuki kota Madinah di atas binatang tunggangan.” [HR Muslim].
Perkara seperti ini kadangkala dilupakan oleh seorang ayah. Sesungguhnya, ayah bersama ibu memainkan peranan penting dalam proses pendidikan anak sehingga lahir generasi yang mantap berkeperibadian Islam. Generasi inilah yang meletakkan kecintaan kepada Allah sebagai keutamaan di atas segala-galanya, serta menjadikan keredhaan Allah sebagai matlamat hidupnya. Maka, apakah yang mesti dilakukan oleh seorang ayah sehingga dia selalu ada untuk anak-anaknya?
1. Memahami bahawa anak adalah anugerah dan amanah daripada Allah SWT
Sebagai agama yang sempurna, Islam memposisikan anak sebagai anugerah dan amanah daripada Allah SWT yang wajib dipertanggungjawabkan oleh para ibu ayah. Anak sebagai anugerah mesti disyukuri kerana kita telah diberi kepercayaan oleh Allah untuk menjaganya. Oleh itu, ibu ayah berkewajipan menjaga tumbesaran anak dengan penuh kasih sayang dan kesabaran. Sejak anak dalam kandungan, ibu ayah wajib mempersiapkan diri untuk menjaganya, mendidiknya, dan melindunginya.
Dengan memahami bahawa anak adalah amanah daripada Allah, seorang ayah akan sedar bahawa kehadiran anak bukan hanya untuk kehidupan di dunia semata-mata, tetapi juga berkait rapat dengan kehidupan di akhirat. Dengan demikian, seorang ayah akan berusaha bersungguh-sungguh untuk berprilaku baik dan sentiasa ada untuk anak-anaknya. Ayah tentu berharap agar anaknya menjadi anak yang soleh atau solehah, berdikari, mampu mengharungi kehidupan dengan baik, serta bersedia memikul amanah dakwah dan memperjuangkan Islam.
2. Memenuhi hak anak
Sudah sepatutnya seorang ayah memahami bahawa dialah penanggungjawab utama dalam keluarga. Seorang ayah wajib memberi nafkah kepada isteri dan anak-anaknya. Rasulullah SAW bersabda, “Makanan yang kamu berikan untuk anakmu, dinilai sebagai sedekah. Begitu juga makanan yang kamu berikan bagi isterimu, bernilai sedekah untukmu. Termasuk makanan yang kamu beri untuk pembantumu, adalah juga sedekah.” [HR Ahmad].
Daripada Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Satu dinar yang engkau nafkahkan di jalan Allah, satu dinar yang engkau belanjakan untuk membebaskan budak, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada orang miskin, dan satu dinar yang engkau nafkahkan terhadap keluargamu, yang paling agung pahalanya adalah yang engkau nafkahkan terhadap keluargamu.” [HR Muslim].
Selain nafkah, ada kewajipan lain yang mesti dipenuhi seorang ayah, yang akan membawanya kepada pahala yang besar dan dapat meraih syurga. Ayah harus melindungi anak dengan akhlak mulia, penuh kelembutan, dan kasih sayang. Dalam menjalankan peranannya, seorang ayah tidak boleh bersikap sambil lewa, keras, kaku, dan kasar terhadap anak-anak dan isterinya. Rasulullah SAW bersabda, “Yang terbaik di antara kalian adalah orang yang paling baik perlakuannya kepada keluarganya. Aku adalah yang terbaik di antara kalian dalam memperlakukan keluargaku.” [HR At-Tirmizi]
3. Berkomunikasi intensif dan melakukan aktiviti bersama anak
Komunikasi yang baik dapat membangunkan hubungan yang baik, terutamanya apabila dilakukan secara langsung atau melalui komunikasi lisan. Hal ini akan membuatkan hubungan ayah dan anak makin erat dan baik kerana didasari rasa saling percaya, jujur, dan terbuka. Apa sahaja perkara yang ingin disampaikan atau ditanyakan kepada anak sebaiknya dilakukan secara langsung agar jelas maksud dan harapannya. Berbicara secara langsung juga dapat menguatkan ikatan, manakala tatapan mata serta sentuhan akan menambah keharmonian antara ibu ayah dan anak.
Saling berkomunikasi di antara anggota keluarga sangat diperlukan. Bahkan, hal ini dianjurkan oleh Islam dan dicontohkan oleh Rasulullah SAW. Islam memerintahkan kita bergaul secara makruf, saling menasihati, dan beramar makruf nahi mungkar sehingga kehidupan keluarga tenteram dan umpama sahabat.
Komunikasi intensif akan mempererat hubungan antara ayah dan anak, lebih-lebih lagi apabila dilakukan sambil melaksanakan aktiviti bersama, seperti makan, solat berjemaah, bertadarus al-Quran, berkebun, atau menghadiri majlis ilmu bersama. Keberkahan akan melimpah pada keluarga kita.
Sabda Rasulullah SAW daripada Wahsyi bin Harb daripada ayahnya daripada datuknya, “Sesungguhnya para sahabat Rasulullah SAW pernah mengadu, ‘Wahai Rasulullah, sesungguhnya kami makan, tetapi tidak merasa kenyang. Nabi bersabda, ‘Mungkin kalian makan sendiri-sendiri.’ “Betul,’ kata para sahabat. Nabi lantas bersabda, ‘Makanlah bersama-sama dan sebutlah nama Allah sebelumnya, tentu makanan tersebut akan diberkahi’”. [HR Abu Daud].
4. Menjadi teladan untuk anak.
Bagaimanapun anak-anak memerlukan teladan (qudwah) yang baik, bahkan sehingga mereka dewasa. Oleh itu, ayah dan ibu hendaklah sentiasa memberi contoh yang baik kepada anak. Dengan demikian, akan tertanam dalam jiwa mereka benih-benih kebaikan yang kukuh dan terbawa dalam setiap sikap dan perilaku mereka bahawa syariat Islam mesti diterapkan.
Ibu ayah mestilah memberi teladan bahawa Islam adalah rujukan dalam setiap aktiviti, termasuk dalam cara berfikir atau berdiskusi. Tanamkan rasa bangga menjadi seorang muslim dengan aturannya yang sempurna. Dengan demikian, anak akan bersemangat menjalankan dan menyebarkan syariatNya meskipun tidak mudah. Inilah yang akan mengukuhkan jiwa anak untuk menjadi pembela Islam yang dipercayai ketika syariat Islam dan umatnya direndahkan oleh musuh-musuh Islam. Anak akan menyampaikan kebenaran Islam di mana pun berada.
5. Mendoakan anak
Beberapa hadis Rasulullah SAW menjelaskan kepada kita, bahawa di antara doa yang mustajab adalah doa yang diucapkan oleh ibu ayah untuk anaknya, baik doa kebaikan mahupun doa keburukan. Daripada Anas bin Malik RA, Rasulullah SAW bersabda, “Ada tiga doa yang tidak tertolak, iaitu doa ibu ayah (kepada anaknya), doa orang yang berpuasa, dan doa orang yang sedang safar.” [HR Al Baihaqi].
Juga daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda, “Tiga doa yang mustajab yang tidak diragukan lagi, iaitu doa orang yang dizalimi, doa orang yang sedang dalam perjalanan (safar), dan doa baik dari ibu ayah pada anaknya.” [HR Ibnu Majah, Abu Daud].
Beberapa ulama meyampaikan pendapatnya tentang hadis-hadis yang menunjukkan mustajabnya doa ibu ayah kepada anaknya, baik doa ayah, mahupun doa ibu. Al Munawi rahimahullah menjelaskan, “Doa ibu ayah kepada anaknya dikabulkan kerana rasa sayang ibu ayah yang tulus kepada anaknya. Ibu ayah juga banyak mendahulukan anaknya daripada dirinya sendiri sehingga setiap doa yang disertai rasa sayang yang tulus mengakibatkan dikabulkannya doa.”
Khatimah
Demikianlah, betapa pentingnya kedudukan ayah untuk anak-anaknya. Bagaimanapun, anak-anak memerlukan peranan dan sosok ayah dalam kehidupannya, selain sosok ibu. Jangan sesekali perkara ini dianggap remeh, apatah lagi diabaikan. Islam telah mengajarkan kepada kita agar kelak lahir anak-anak soleh/solehah berkeperibadian Islam yang mantap. Akhirnya, mereka akan bahagia di dunia mahupun di akhirat, hasil bimbingan ayah dan ibunya. Wallahu a’lam bissawab.
#KeluargaMuslimIdeal #KeluargaTarbiyah #DakwahBermulaDiRumah #RumahTaatUmatKuat #doauntukanak #ayah #superdad #parenting #islamicparenting