Daripada Penindasan kepada Fesyen: Bagaimana Kita Kehilangan Makna Sebenar Hijab
Di banyak tempat di dunia, hijab telah melalui satu perjalanan yang panjang. Berubah daripada dilihat sebagai simbol penindasan, kepada diraikan sebagai pernyataan fesyen. Namun, dalam usaha mempertahankan hijab daripada stereotaip dan memulihkan maruahnya, ramai umat Islam tanpa sedar atau tidak sengaja telah mencairkan intipati Islam yang sebenar di sebalik kewajipan berhijab.
Artikel ini menelusuri evolusi persepsi terhadap hijab, daripada penolakan kepada komodifikasi, dan mengajak kita kembali kepada tujuan asalnya yakni ketaatan kepada Allah SWT.
Hijab sebagai Penindasan
Dalam imaginasi moden Barat, hijab sering dilihat melalui lensa sekular dan orientalis. Ia sering dilihat sebagai tidaks erasi dengan idea liberal dan kesamarataan gender.
Naratif media kerap menyamakan hijab dengan penindasan, memadam suara wanita Muslim yang memilihnya sebagai manifestasi keimanan.
Persepsi ini turut diperkuat oleh dasar-dasar negara di seluruh Eropah. Perancis, misalnya, mengharamkan simbol agama di sekolah awam pada tahun 2004, dan melarang pemakaian penutup muka pada tahun 2010 atas nama laïcité (sekularisme). Pada tahun 2024, Senat Perancis meluluskan undang-undang yang melarang hijab dalam semua pertandingan sukan.
Di Eropah dan Amerika Utara, ramai wanita Muslim melaporkan diskriminasi di tempat kerja, institusi pendidikan dan ruang awam, hanya kerana mereka memakai bentuk penzahiran keimanan mereka secara terbuka (merujuk kepada hijab).
Serangan verbal dan fizikal terhadap hijab bukan sahaja mengehadkan hak wanita Muslim, malah membentuk gambaran (framing) seolah-olah amalan agama mereka suatu masalah sosial. Akibatnya, hijab kini sering disalah tafsir, sama ada distigmakan atau semakin disalah erti.
Tujuan Al-Quran
Hijab akan kekal sebagai perintah yang jelas daripada Allah SWT. Inti patinyabukan pada politik atau estetika, tetapi pada spiritualiti.
Allah SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka;” [TMQ An-Nūr (24):31].
Dan lagi,
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [TMQ Al-Ahzāb (33):59].
Ayat-ayat ini menekankan kesopanan, kesucian, dan maruah diri di khalayak ramai. Hijab berperanan sebagai perlindungan dan identiti. Ia adalah tanda keimanan dan ketaatan, bukan fesyen atau pemberontakan.
Ketika ayat-ayat ini diturunkan, wanita Madinah segera mematuhinya. Aisyah (ra) meriwayatkan:
“Semoga Allah merahmati wanita-wanita Muhajirin yang pertama. Ketika Allah menurunkan ayat ‘dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dada mereka’, mereka segera mengoyakkan pakaian mereka dan menutup diri dengannya.” [Sahih al-Bukhari]
Kepatuhan mereka yang pantas mencerminkan keimanan dan ketundukan yang murni. Sebab itu, hijab bukanlah budaya atau trend sosial, tetapi manifestasi cinta dan ketaatan kepada Allah SWT.
Kebangkitan Fesyen Sopan (Modest Fashion)
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, persepsi global terhadap hijab berubah dengan ketara. Apa yang dahulu dicemuh kini menjadi pasaran.
Menurut Global Islamic Economy Report (2023), perbelanjaan pengguna Muslim untuk pakaian dan kasut mencecah AS$313 bilion, dengan industri fesyen sopan dianggarkan bernilai AS$91 bilion pada 2024, dan diunjurkan mencecah AS$146 bilion menjelang 2033 (Business Research Insights, 2024).
Jenama arus perdana seperti Nike, Adidas dan Uniqlo telah melancarkan koleksi sopan. Manakala jenama Muslim seperti Haute Hijab, Veiled Collection, dan Modanisa telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Fenomena ini tidak syak lagi telah membawa kesan positif, antaranya memudahkan akses kepada pakaian sopan bagi generasi muda Muslim. Namun, di sebalik itu wujud pergeseran halus, daripada kesopanan sebagai bentuk ketaatan, kepada kesopanan sebagai ekspresi diri.
Peralihan daripada Ibadah kepada Peragaan
Dalam kesibukan untuk menormalisasikan dan memperindah hijab, teras spiritualnya berisiko dibayangi. Hijab yang sepatutnya mengurangkan perhatian umum kini semakin digayakan untuk menarik pandangan. Fabrik menjadi lebih mendedahkan, potongan lebih mengikut bentuk badan, dan garis batas antara sopan dan bergaya semakin nipis.
Rasulullah SAW telah mengingatkan:
“Ada dua golongan dari penduduk neraka yang belum pernah aku lihat: [1] Suatu kaum yang memiliki cambuk seperti ekor sapi untuk memukul manusia dan [2] para wanita yang berpakaian tapi telanjang, berlenggak-lenggok, kepala mereka seperti punuk unta yang miring. Wanita seperti itu tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya, walaupun baunya tercium selama perjalanan sekian dan sekian.” [Sahih Muslim, 2128]
Walaupun hadis ini bukanlah larangan terhadap kecantikan atau penjagaan penampilan diri, namun ia adalah peringatan bahawa kesopanan tidak boleh dikompromi demi perhatian atau fesyen. Apabila hijab menjadi trend, maka tujuan asalnya iaitu kerendahan hati di hadapan Allah SWT, boleh berisiko hilang.
Komersialisasi Ibadah
Apabila fesyen sopan dijadikan industri, ibadah pun boleh berisiko berubah menjadi strategi pemasaran. Hijab tidak lagi diperkenalkan sebagai perintah Allah SWT, tetapi sebagai aksesori, produk gaya hidup, atau identiti jenama.
Budaya influencer memperkuat isu ini. Ramai pencipta kandungan (content creator), walaupun berniat baik, tanpa sedar telah mempromosikan versi kesopanan yang bersifat peragaan yang direka konsumsi media sosial. Akibatnya, hijab lebih dijadikan sebagai kandungan, untuk membantu “engagement” media sosial, berbanding dipakai untuk ketaatan.
Ini menuntut kita untuk merefleski diri dengan Ikhlas.
Apakah kita berhijab demi keredhaan Allah SWT, atau penerimaan masyarakat?
Apakah kita mengamalkan kesopanan, atau sekadar mempamerkannya atau memperagakannya?
Memusatkan Kembali Makna Hijab
Tujuan hijab bukanlah untuk menarik perhatian, tetapi untuk menyatakan ketundukan.
Allah SWT mengingatkan kita:
“Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu (bahan-bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, dan pakaian perhiasan; dan pakaian yang berupa taqwa itulah yang sebaik-baiknya…” [TMQ Al-A‘rāf (7):26]
Kesopanan sejati tidak diukur melalui fabrik atau pengikut di media sosial, tetapi melalui takwa. Hijab sepatutnya menumbuhkan kerendahan hati, bukan keangkuhan; keindahan rohani, bukan pujian duniawi.
Wanita Muslim tidak dihalang untuk berfesyen atau berketerampilan, kerana Islam menggalakkan kebersihan, maruah, dan rasa hormat diri. Namun, fesyen mestilah tunduk kepada iman (syariat), bukan sebaliknya.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Sumaya Bint Khayyat