Mempersenda Orang Hukumnya Haram
Allah ﷻ berfirman:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا يَسْخَرْ قَومٌ مِنْ قَوْمٍ
“Wahai orang-orang yang beriman janganlah ada suatu kaum yang mempermain-mainkan kaum yang lain…” [TMQ al-Hujurat (49): 11].
Seruan ayat ini ditujukan kepada kaum mukmin secara keseluruhan, iaitu agar mereka menjauhi tindakan as-sukhriyyah (bentuk mashdar dari kata yaskhar).
Menurut asy-Syaukani dan Ibnu ‘Athiyah, as-sukhriyyah bermakna al-istihzâ’ (mentertawakan). Makna itu dapat dijumpai dalam surah al-An’âm ayat 10 dan surah al-Anbiyâ’ ayat 41. Dalam kedua ayat itu, kata as-sukhriyyah dan al-istihzâ digunakan saling menggantikan. Sedangkan Ibnu Katsir memaknai al-ihtiqâr wa al-istihzâ’ (merendahkan dan mempersendakan). Selain itu, menurut al-Qurthubi as-sukhriyyah juga mengumumkan aib dan kekurangan orang lain dalam rangka untuk ditertawakan. Terkadang diceritakan dengan ucapan, perbuatan, atau isyarat. Boleh juga diumumkan atau ditertawakan dengan perkataan yang biasa digunakan untuk menghinakan.
Ditegaskan oleh Abu Hayyan al-andalusi, walaupun digunakan bentuk jamak (qawm dan nisâ’), namun kandungan ayat itu juga berlaku untuk tiap-tiap individu. Penggunaan bentuk jamak itu seolah-olah ada seseorang yang mengejek atau mempersenda pihak lain dalam suatu majlis, lalu orang-orang lain ikut tertawa dengan ucapannya; atau dia menyampaikan kepada banyak orang, lalu mereka turut tertawa. Tindakan tercela itu haram sepertimana dijelaskan dalam hadis.
Daripada Ibnu Mas’ud bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:
الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Kesombongan adalah menolak kebenaran dan meremehkan atau memandang rendah manusia.” (HR Muslim).
Sebagaimana dijelaskan Ibnu Katsir, ghamth an-nâs dalam hadis ini bermaksud ihtiqâruhum wa istighâruhum (merendahkan dan menghina mereka). Tindakan tersebut termasuk perbuatan yang haram. Ibnu Jarir ath-Thabari menegaskan, hukum itu mencakup semua tindakan yang termasuk dalam cakupan makna as-sukhriyyah. Maka tidak halal bagi seorang mukmin mempersenda mukmin lainnya, baik disebabkan oleh kemiskinan, dosa yang dilakukan, mahupun sebab-sebab lain.
“Tafsir Ayat Pilihan Al-Wa’ie” – KH. Rokhmat S. Labib
#nafsiyah #sikap #akhlak #LaranganMempersenda