Tanda Apa Lagi yang Kamu Cari?
إِنَّآ أَرۡسَلۡنَٰكَ بِٱلۡحَقِّ بَشِيرٗا وَنَذِيرٗاۖ وَلَا تُسَۡٔلُ عَنۡ أَصۡحَٰبِ ٱلۡجَحِيمِ
Allah ﷻ berfirman:
“Sesungguhnya Kami telah mengutusmu (wahai Muhammad) dengan kebenaran, (serta menjadi) sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Dan, engkau tidak akan diminta (pertanggungjawaban) tentang penghuni-penghuni neraka.” [TMQ Al-Baqarah (2): 119]
Allah ﷻ berfirman kepada Rasul-Nya ﷺ, menjelaskan bahawa Dia telah mengutus Baginda dengan al-Quran al-Karim sebagai mukjizat yang mencabar bangsa Arab untuk mendatangkan sesuatu yang seumpamanya. Ini merupakan bantahan terhadap kata-kata mereka, “Mengapa Allah tidak berbicara dengan kita atau datang tanda-tanda (kekuasaan-Nya) kepada kita?” [TMQ Al-Baqarah (2): 118]
Sekiranya mereka benar-benar menginginkan tanda untuk beriman, maka inilah tandanya: Kitab yang merupakan mukjizat ini. Hendaklah mereka renungi ayat-ayatnya. Jika mereka melakukannya, nescaya akan jelas bagi mereka bahawa al-Quran bukanlah perkataan manusia, tetapi Kalam Allah ﷻ. Maka, mereka pasti akan beriman jika benar permintaan mereka terhadap tanda itu adalah kerana keinginan untuk beriman.
Allah ﷻ kemudian memberitahu Rasul-Nya ﷺ bahawa Baginda diutus dengan al-Quran al-Karim sebagai pemberi khabar gembira kepada orang-orang beriman tentang keredhaan Allah ﷻ dan syurga, serta sebagai pemberi peringatan kepada orang-orang kafir tentang kemurkaan Allah ﷻ dan neraka.
Sesiapa yang tetap kufur selepas itu, maka kekufurannya tidak akan memberi mudarat sedikit pun kepada Allah ﷻ atau Rasul-Nya ﷺ. Rasul ﷺ juga tidak akan dipertanggungjawabkan atas kekufuran mereka, kerana tugas seorang rasul hanyalah menyampaikan risalah dan memberi peringatan.
Frasa “innā arsalnāka bil-ḥaqq” (Sesungguhnya Kami telah mengutuskan engkau (wahai Muhammad) dengan kebenaran), bermaksud dengan al-Quran. Sebagaimana firman-Nya:
بَلْ كَذَّبُوا بِالْحَقِّ لَمَّا جَاءهُمْ فَهُمْ فِي أَمْرٍ مَّرِيجٍ
“Bahkan mereka telah mendustakan kebenaran ketika (kebenaran itu) datang kepada mereka, maka mereka berada dalam keadaan kacau bilau.” [TMQ Qaāf (50): 5]
Sumber: “At-Taisir fi Ushul at-Tafsir” – Syaikh ‘Atha’ bin Khalil
#tafsirquran #UtusanAllah #RasulUtusanAllah #Mukjizat