Bismillah Al-Rahman Al-Raheem
Jawapan kepada Soalan: #Sudan Selepas Pasukan Sokongan Pantas (RSF) Menguasai El Fasher.
Soalan:
“Massad Boulos, penasihat kanan Presiden AS Donald Trump bagi hal ehwal Timur Tengah, mengesahkan bahawa tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) telah bersetuju dengan gencatan senjata selama tiga bulan, berdasarkan rancangan Kuartet yang merangkumi UAE, AS, Arab Saudi dan Mesir, yang diumumkan pada 12 September.” (Sky News Arabia, 3/11/2025).
Persetujuan pihak-pihak Sudan — rejim dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF)— terhadap rancangan Amerika ini datang selepas Pasukan Sokongan Pantas (RSF) merampas kawalan ke atas El Fasher di Sudan. Apakah yang berada di sebalik persetujuan terhadap rancangan Amerika ini? Selain itu, apa yang berlaku kepada tentera Sudan sehingga membolehkan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) menguasai El Fasher, ibu kota wilayah Darfur? Ia adalah sebuah kota yang sangat besar dan berkubu kuat, yang sebelum ini dipertahankan oleh tentera daripada serangan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) untuk tempoh yang lama. Bagaimana kota itu boleh tumbang? Dan apakah dimensinya serta implikasinya?
Jawapan:
Untuk menjelaskan jawapan kepada persoalan-persoalan ini, mari kita teliti perkara berikut:
Pertama: Al Jazeera melaporkan di laman webnya pada 28/10/2025:
“Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengumumkan pada pagi Ahad bahawa mereka telah menguasai El Fasher selepas pengepungan yang berlangsung lebih setahun. Ini bermaksud meluaskan pengaruh mereka ke atas kelima-lima negeri Darfur dan membahagikan negara ini kepada timur yang dikuasai tentera Sudan dan barat di bawah kawalan Pasukan Sokongan Pantas (RFS).”
Laporan ringkas daripada Al Jazeera ini menunjukkan bahawa penguasaan RSF terhadap El Fasher bukan sekadar kemenangan dalam pertempuran ke atas sebuah kota, tetapi satu pengambilalihan besar-besaran seluruh wilayah yang luar biasa! Walaupun RSF mengepung kota itu selama setahun, namun mereka tidak mempunyai senjata canggih yang sepatutnya diperlukan untuk menentang unit tentera Sudan yang mempertahankannya. Unit-unit tersebut telah mempertahankan kota tersebut dengan gagah berani selama setahun, tetapi tiba-tiba, kerajaan Burhan menyerahkannya kepada pemisah pemberontak Hamdan Dagalo (Hemedti), komander RSF. Penyerahan itu berlaku secara terang-terangan dan jelas:
- “Pengerusi Majlis Kedaulatan Sudan, Abdel Fattah al-Burhan, menyatakan bahawa rakyat dan angkatan bersenjata Sudan akan menang, sambil menegaskan bahawa penilaian kepimpinan di El Fasher (ibu kota Negeri Darfur Utara) adalah untuk mengosongkan kota tersebut disebabkan kemusnahan sistematik yang dialaminya.” (Al Jazeera Net, 27/10/2025). Dia kemudian meneruskan retorik kosong dalam ucapan yang disiarkan di televisyen: “Pasukan kami mampu mencapai kemenangan, mengubah keadaan dan merampas kembali tanah,” sambil menambah, “Kami bertekad untuk membalas dendam terhadap para syuhada kami”.
- “Sumber tentera Sudan memberitahu Al Jazeera bahawa tentera Sudan mengosongkan ibu pejabat sebuah divisyen di El Fasher atas ‘sebab-sebab taktikal’.” (Al Jazeera Net, 27/10/2025).
Kenyataan daripada Abdel Fattah al-Burhan dan sumber tenteranya ini jelas menunjukkan, bahawa tentera telah mengosongkan El Fasher, membiarkannya dijarah oleh RSF.
Kedua: Kerajaan Burhan dan kepimpinan tenteranya menahan diri daripada menyediakan sokongan ketenteraan atau logistik dari kawasan kawalan pusat mereka kepada pasukan mereka di El Fasher selama setahun. Akibatnya, pasukan ini terus dikepung dan berperang dengan apa sahaja sumber yang mereka ada dalam kota itu. Kepimpinan tentera Burhan, yang berbangga kononnya telah membersihkan #Khartoum, Omdurman dan Bahri daripada RSF, sebenarnya mampu menghantar bantuan kontinjen besarnya ke El Fasher, namun ia gagal berbuat demikian selama setahun. Maknanya, rancangan mereka adalah membiarkan pasukan tersebut runtuh.
Ketiga: Jika diteliti dengan lebih mendalam, penyerahan ini berlaku seiring dengan rundingan yang diusahakan oleh Amerika di Washington, antara kedua-dua pihak Sudan dengan tujuan mencapai gencatan senjata:
(“Selepas Majlis Kedaulatan Sudan menafikan kewujudan sebarang rundingan langsung atau tidak langsung dengan delegasi RSF di Washington, sumber diplomatik mendedahkan bahawa Menteri Luar Sudan, Mohi El-Din Salem, tiba di Amerika Syarikat dalam lawatan rasmi yang bertujuan untuk membincangkan usaha menghentikan perang yang telah berkecamuk di Sudan sejak lebih daripada dua tahun.” – Al-Arabiya, 24/10/2025)
Ini bermaksudkan satu perkara: Amerika telah mengumpulkan di Washington dua delegasi ejen Sudannya iaitu Burhan dan Hemedti. Dan penafian Majlis Kedaulatan Sudan mengenai rundingan dengan RSF di Washington adalah bukti tambahan. Pelaksanaan arahan Amerika kepada dua ejennya telah dijalankan secara terbuka, hanya dua atau tiga hari sebelum El Fasher diserahkan.
Menurut sumber yang sama sebelumnya (sumber memberitahu AL-Arabiyyah/Al-Hadath pada hari Jumaat Menteri Sudan akan mengadakan beberapa siri pertemuan di Washington dengan pegawai pentadbiran AS, termasuk Massad Boulos, penasihat kanan presiden AS mengenai Timur Tengah dan Hal Ehwal Afrika. Mereka menambah bahawa Salem juga akan bertemu dengan beberapa rakan sejawatnya dari Arab, dengan menyatakan bahawa lawatan itu datang atas jemputan rasmi pentadbiran AS untuk membincangkan beberapa isu kepentingan bersama. Seorang pegawai AS juga menjelaskan kepada Al-Arabiya/Al-Hadath bahawa Boulos akan mempengerusikan mesyuarat Kuartet mengenai krisis Sudan.)
Bukti lanjut mengenai perhimpunan delegasi dua ejen Amerika di Washington adalah seperti berikut:
[Seorang pegawai diplomatic mengesahkan semalam, Khamis, bahawa kuartet (AS, Arab Saudi, UAE dan Mesir) akan bertemu hari ini di Washington dengan wakil tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas (RFS) untuk mendorong kedua-dua pihak ke arah gencatan senjata kemanusiaan selama tiga bulan. Dia berkata matlamatnya adalah “untuk mengenakan tekanan bersatu bagi mengukuhkan gencatan senjata dan membenarkan bantuan kemanusiaan sampai kepada orang awam,” Al-Arabiya, 24/10/2025].
Ini bermakna bahawa, semasa RSF menyerang El Fasher dan pemindahan tentera Sudan berlaku, yang mana bertepatan dengan mesyuarat Washington, tidak menimbulkan keraguan bahawa keputusan untuk menyerahkan kota strategik itu kepada RSF dibuat di Washington dan kedua-dua pihak Sudan segera mula melaksanakannya di lapangan, iaitu dua hari kemudian, dengan hasilnya dicapai pada hari ketiga.
Keempat: Mesyuarat Washington ini merupakan langkah kedua selepas langkah pertama apabila Amerika mengumpulkan ejen-ejen dan pengikutnya di Rantau ini dengan apa yang dipanggil sebagai Kuartet (Arab Saudi, UAE, Mesir), dan mula melaksanakan kehendaknya untuk mengenakan gencatans enjata di Sudan. Al-Arabiya melaporkan pada 12/9/2025 bahawa kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyaurat itu: (Kenyataan bersama tersebut berbunyi: “Atas jemputan Amerika Syarikat, Menteri-menteri luar AS, Mesir, Arab Saudi dan UAE telah mengadakan rundingan mendalam mengenai konflik di Sudan, dengan mengingatkan bahawa ia telah menyebabkan krisis kemanusiaan terburuk di dunia dan menimbulkan risiko besar kepada keamanan dan keselamatan serantau. Para Menteri mengesahkan komitmen mereka terhadap satu set prinsip bersama untuk menamatkan konflik di Sudan.”)
Perkara keempat dalam kenyataan itu pula berbunyi: “Masa depan tadbir urus di Sudan akan ditentukan oleh rakyat Sudan melalui proses peralihan yang komprehensif dan telus yang tidak tertakluk kepada kawalan mana-mana pihak yang berperang.”
Ia juga menyatakan dalam salah satu perkaranya: “Semua usaha akan dilakukan untuk menyokong penyelesaian konflik yang dirundingkan dengan penyertaan berkesan Angkatan Tentera Sudan dan Pasukan Sokongan Pantas.”
Di satu sisi, Kuartet ini adalah formula yang dipilih oleh Amerika supaya penyelesaiannya di Sudan kelihatan mempunyai ciri serantau juga, iaitu, dengan kelulusan negara-negara utama di rantau ini. Walau bagaimanapun, negara-negara ini tidak akan bergerak melainkan Washington lah yang menggerakkan mereka, dan mereka tidak akan mengambil sebarang langkah tanpa Amerika. Sebaliknya, teks kenyataan tersebut menunjukkan pengiktirafan kedua-dua pihak dalam konflik di Sudan secara sama rata dan menyeru mereka untuk menyertai secara berkesan. Iaitu, kenyataan tersebut tidak merujuk kepada Pasukan Sokongan Pantas sebagai pasukan pemisah dan pemberontak, dan juga tidak menyeru mereka untuk menghentikan pemberontakan mereka, terutamanya kerana mereka membentuk kerajaan pemisah untuk memecahbelahkan Sudan.
Kelima: Setelah RSF menguasai El Fasher, sebuah kota strategik, kawalan mereka ke atasnya bermakna mengambil alih seluruh wilayah Darfur, dengan lima negerinya, yang kebanyakannya sudah berada di bawah kawalan de facto mereka. Oleh itu, bersetuju dengan gencatan senjata selama tiga bulan atau menuntutnya, itu merupakan pengiktirafan Amerika terhadap kawalan RSF serta keabsahan kehadiran mereka di wilayah Darfur dan kota terpenting di Rantau ini, yakni El Fasher.
Gencatan senjata ini, yang dicadangkan dan disamarkan oleh Amerika sebagai perjanjian “Kuartet”, diikuti dengan langkah rundingan selanjutnya antara kedua-dua pihak dalam konflik di Sudan, selepas rancangan Amerika membolehkan RSF mengawal seluruh Darfur, dan selepas ejen Amerika, Hamdan Dagalo (Hemedti), telah menubuhkan sebuah kerajaan pemisah, yangd iumumkannya pada akhir Februari 2015 di Nairobi, ibu kota Kenya, dengan dirinya sendiri sebagai ketua. Ia beroperasi dari Nyala, ibu kota Negeri Darfur Selatan, dan kini jalan sudah pastinya telah dibuka sepenuhnya untuk Kerajaan pemisah Hemedti berpindah ke ke El Fasher.
Keenam: Pendirian Amerika jelas dan tidak menunjukkan sedikit pun rasa tidak senang terhadap penguasaan RSF ke atas El Fasher. Sebaliknya, ia menyeru langkah seterusnya dalam rancangan Amerika untuk Sudan: gencatan senjata. Ini sekaligus akan menghalang tentera Sudan daripada mengambil semula EL Fasher dan memastikan kawalan Hemedti ke atasnya kukuh, tidak terganggu oleh sebarang pertempuran. Massad Boulus, penasihat Presiden AS Donald Trump mengenai hal ehwal Afrika, menyeru pihak-pihak yang berperang di Sudan untuk mempertimbangkan dan segera meluluskan cadangan gencatan senjata kemanusiaan. Dia menambah bahawa dia telah mengemukakan cadangan gencatan senjata kemanusiaan selama tiga bulan, yang dialu-alukan oleh kedua-dua pihak dalam konflik Sudan. Dia menggesa RFS untuk meneruskan bantuan kemanusiaan dan gencatan senjata. Boulos telah menyatakan pada hari sebelumnya bahawa dunia sedang memerhatikan dengan penuh kebimbangan tindakan Pasukan Sokongan Pantas (RFS) dan situasi di El Fasher, yang menyeru perlindungan orang awam.] (Al Jazeera Net, 27/10/2025).
Ini kemudiannya disahkan sekali lagi, seperti yang dilaporkan oleh Sky News pada 3/11/2025: [Massad Boulos, penasihat kanan kepada Presiden AS Donald Trump mengenai hal ehwal Timur Tengah, mengesahkan bahawa tentera Sudan dan RFS telah bersetuju dengan gencatan senjata selama tiga bulan, berdasarkan rancangan Kuartet, yang merangkumi UAE, AS, Arab Saudi, dan Mesir, yang diumumkan pada 12 September. Boulos menjelaskan, dalam kenyataan yang dibuatnya dari Kaherah pada hari Isnin, bahawa perbincangan teknikal dan logistik sedang dijalankan sebelum pemeteraian gencatan senjata terakhir, dengan menyatakan bahawa wakil kedua-dua pihak telah berada di Washington untuk beberapa waktu untuk membincangkan butirannya. Dia menambah bahawa cadangan gencatan senjata mewakili peluang sebenar untuk menamatkan krisis tersebut, menekankan bahawa tentera dan Pasukan Sokongan Pantas (RFS) sedang membincangkan kertas kerja yang dibentangkan oleh AS dengan sokongan Kuartet, yang bertujuan untuk mencapai keamanan. Dia menegaskan bahawa konflik di Sudan telah menjadi ancaman kepada rantau ini dan dunia, terutamanya kepada keselamatan Laut Merah.] (Sky News Arabia, 3/11/2025).
Ketujuh: Sementara Trump berbangga bahawa dia adalah pendamai dan penamat peperangan, Amerika jelas dan tanpa ragu-ragu meneruskan rancangannya, dan pada kadar yang dipercepatkan, untuk membahagikan Sudan dan memisahkan rantau Darfur, sama seperti ia memisahkan Sudan Selatan sebelum ini. Inilah amaran yang telah berulang kali kami berikan.
Dalam jawapan kepada soalan bertajuk “Serangan Dron dan Perkembangan dalam Perang di Sudan”, kami menyatakan perkara berikut pada 21/5/2025:
[(Jelas daripada semua ini bahawa serangan besar di timur Sudan, terutamanya ke atas kemudahan strategik kota pelabuhan Sudan, dikaitkan dengan perang di Darfur. Ia bertujuan untuk memaksa tentera agar menjauhkan diri daripada menyerang El Fasher dan menuju ke timur untuk mempertahankan pelabuhan Sudan) kami menambah: (Keempat: Sungguh menyakitkan bahawa penjajah kafir Amerika boleh menguruskan pertempuran yang meragut nyawa di Sudan dan memanfaatkan ejennya untuk melaksanakannya secara terbuka, bukan secara rahsia, dan secara terbuka, bukan tersembunyi. Burhan dan Hemedti berjuang dengan darah rakyat Sudan tanpa sebab lain melainkan demi melayani kepentingan Amerika, kerana ia mahu mengulangi pembahagian Sudan seperti yang dilakukannya dalam memisahkan selatan dari Sudan. Ia kini melakukan yang terbaik untuk memisahkan Darfur daripada apa yang tinggal di Sudan. Oleh itu, tentera menumpukan perhatiannya pada seluruh wilayah Sudan, dan RSF menumpukan perhatian mereka pada Darfur. Jika mereka yang ikhlas dalam tentera menjadi aktif dalam mendapatkan semula kawalan ke atas Darfur, RSF akan menggerakkan pertempuran ke wilayah lain di Sudan untuk mengalihkan perhatian tentera, jadi pasukannya berundur dari Darfur ke timur Sudan, di mana RSF sedang meningkatkan serangan mereka dengan dron. Ini adalah untuk membolehkan RSF mengambil alih kawalan sepenuhnya ke atas Darfur!
Sebelum itu, dalam jawapan kepada soalan bertajuk “Pecutan Operasi Ketenteraan di Sudan” bertarikh 6/2/2025, kami memberi amaran bahawa kepimpinan politik dan ketenteraan boneka di Sudan, yang menerima arahannya daripada pentadbiran Trump, mengarahkan tentera untuk membuka koridor untuk Pasukan Sokongan Pantas (RSF) dari wilayah tengah menuju Darfur. Kami menyatakan:
[Keenam: Sehubungan itu, kemungkinan besar pembangunan lapangan di Sudan diatur dan diuruskan oleh Trump dan ia bertujuan untuk mencapai perkara berikut:
– Mempercepatkan rancangan Amerika untuk menyediakan suasana dengan membahagikan negara antara ejen Amerika berdasarkan Darfur di bawah kawalan Pasukan Sokongan Pantas (RFS) dan pemerintahan Hemeti, manakala tentera yang diketuai oleh Burhan mengawal Sudan tengah dan timur, jadi dua entiti muncul di Sudan, dan perkara ini dikenakan berdasarkan kawalan Hemeti ke atas Darfur. Kami sebelum ini telah menyebut rancangan ini sebagai tindak balas kepada soalan bertarikh 19/12/2023, di mana kami menjelaskan pada masa itu “bahawa Amerika sedang menyediakan suasana untuk perpecahan… apabila kepentingan Amerika memerlukannya. Walaupun kepentingan Amerika memerlukan pemisahan lain selepas Sudan Selatan, ia akan melakukan pemisahan ini di Darfur… dan nampaknya masa untuk pemisahan ini belum tiba… tetapi menyediakan suasana untuknya adalah apa yang sedang berlaku.” Inilah yang kami katakan sebelum ini, dan nampaknya kepentingan Amerika hampir mempercepatkan pemisahan Darfur seperti yang dilakukannya di Sudan Selatan… dan ini sangat berbahaya jika Trump berjaya melaksanakannya… jadi umat mesti berdiri di hadapannya dan tidak berdiam diri seperti yang berdiam tatkala Sudan Selatan dipisahkan!]
Kelapan: Hizbut Tahrir telah memberi amaran sejak awal tahun ini, dan sememangnya sejak 2023 apabila Amerika mencetuskan perang antara dua ejennya pada 2023, bahawa rancangan Amerika untuk memecahbelahkan Sudan akan menjadi kenyataan. Dan sekarang, langkah-langkah ke arah perpecahan sedang berlaku di depan mata anda, dengan ramai rakyat Sudan terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai antara ejen Amerika ini untuk mencapai matlamat Amerika dan mengekalkan pengaruhnya di Sudan.
Hari ini, rancangan Amerika hampir merealisasikan perpecahan dan pemisahan wilayah Darfur dari Sudan, dan ini berlaku sementara anda berdiri dan menonton! Adakah terdapat seorang pemimpin yang bijak dan berkuasa dalam tentera yang akan duduk selama sejam dan memutuskan untuk ikhlas kepada Tuhannya, dan mengambil langkah yang perlu untuk menggagalkan rancangan Amerika dan menghapuskan ejennya yang telah membunuh puluhan ribu rakyat Sudan dan menyebabkan berjuta-juta orang kehilangan tempat tinggal, tanpa tujuan lain selain melaksanakan tuntutan Washington? Adakah terdapat seorang pemimpin yang bijak dan berkuasa dalam tentera yang akan meletakkan kuasa Sudan di tangan yang ikhlas, memberikan Nusrah kepada Hizbut Tahrir, yang telah lama berseru, memberi amaran, dan menyeru untuk penegakan Islam, supaya dari Sudan, Negara Islam Khilafah (Rasyidah) kedua mengikut manhaj Kenabian, dapat ditegakkan? Dan betapa hebatnya orang yang bijaksana dan kuat ini yang bertemu dengan Allah (swt), dan Allah telah menggunakannya untuk merealisasikan berita gembira Nabi-Nya yang mulia (saw) tentang kembalinya Khilafah Rasyidah (Khilafah yang Dipimpin dengan Benar) selepas pemerintahan yang zalim di mana kita hidup sekarang ini:
«…ثُمَّ تَكُونُ مُلْكاً جَبْرِيَّةً فَتَكُونُ مَا شَاءَ اللَّهُ أَنْ تَكُونَ، ثُمَّ يَرْفَعِظَا إن يَرْفَعَهَا، ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ ثُمَّ سَكَت»
“…Kemudian akan ada zaman kerajaan yang diktator (Mulkan Jabriyyan), ia ada selama Allah (SWT) menghendakinya ada. Kemudian Allah SWT mengangkatnya apabila Dia berkehendak untuk mengangkatnya. Kemudian akan kembali zaman Khilafah di atas jalan kenabian (Khilafah ala minhaj an-nubuwwah). Setelah itu, Baginda diam”. [Dipetik dari HR Ahmad].
12 Jumadil Awal 1447 Hijrah
3/11/2025 Masihi
النسخة العربية:
#أمير_حزب_التحرير
12 Jumada Al-Awwal 1447H
3/11/2025M
#sudan #krisissudan #sudancrisis #savesudan #sudanneedskhilafah