AL-FASYIR BERDARAH, DARFUR DIBELAH, AS PUNCA MASALAH
Oleh: Joko Prasetyo
Al-Fasyir, ibu kota Darfur Utara, menjadi saksi kepada salah satu pembantaian paling kejam dalam sejarah Sudan moden pada 26–27 Oktober 2025. Rapid Support Forces (RSF), pasukan separa tentera yang dipimpin Jeneral Muhammad “Hemedti” Hamdan Dagalo, menyerbu kota tersebut dan melaksanakan hukuman bunuh beramai-ramai di pelbagai lokasi awam, termasuk hospital serta kemudahan kesihatan. Salah satu insiden paling mengerikan berlaku di Hospital Materniti Saudi. Lebih 460 pesakit dan waris mereka terbunuh ketika RSF menduduki fasiliti tersebut.
Tragedi ini bukan sekadar pertembungan ketenteraan biasa. Dalam tempoh dua hari, lebih 2,500 penduduk yang majoritinya wanita, kanak-kanak dan warga emas tewas dibantai, manakala puluhan ribu lagi terpaksa melarikan diri. Analisis daripada Foreign Affairs Forum (FAF) menganggarkan angka korban sebenar mungkin jauh lebih tinggi sekiranya termasuk kes hukuman mati, pemindahan paksa dan pembersihan etnik.
Namun, di sebalik pertumpahan darah dan kemusnahan itu, tragedi Al-Fasyir bukan muncul secara tiba-tiba. Laporan Hizbut Tahrir dan beberapa penyelidik mendedahkan keterlibatan Amerika Syarikat dalam merangka gencatan senjata serta pengalihan kuasa di Darfur, yang akhirnya membuka jalan kepada dominasi RSF dan memudahkan agenda pemisahan wilayah. Dengan kata lain, pembantaian ini bukan sekadar isu perang dalaman Sudan, tetapi sebahagian daripada strategi geopolitik AS untuk memecah-belahkan negeri tersebut.
‘𝐒𝐞𝐫𝐚𝐡-𝐓𝐞𝐫𝐢𝐦𝐚’ 𝐀𝐥-𝐅𝐚𝐬𝐲𝐢𝐫
Setelah pengepungan selama 18 bulan, Al-Fasyir akhirnya jatuh ke tangan RSF pada 26 Oktober 2025. Penguasaan kota tersebut kelihatan seperti kemenangan ketenteraan. Namun menurut analisis Hizbut Tahrir, ia sebenarnya merupakan penyerahan yang diselaraskan oleh angkatan tentera Sudan (SAF) pimpinan al-Burhan. SAF mengosongkan markas komando dan menahan sokongan logistik dari pusat, menyebabkan pasukan di Al-Fasyir terus terkepung serta lemah dalam menghadapi serangan RSF.
Akibatnya, orang awam menjadi mangsa utama. Ribuan terbunuh atau cedera, dan lebih 62,000 penduduk terpaksa melarikan diri. Hospital serta kemudahan kesihatan turut menjadi sasaran, satu pelanggaran terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa. Doctors Without Borders (MSF) dan WHO mengecam keras serangan tersebut, menuntut perlindungan terhadap penduduk awam dan akses yang selamat ke fasiliti perubatan.
𝐆𝐞𝐧𝐜𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐒𝐞𝐧𝐣𝐚𝐭𝐚
Selepas kejatuhan Al-Fasyir, pihak yang bertelagah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata selama tiga bulan. Namun, Hizbut Tahrir berpendapat gencatan ini bukan sekadar usaha kemanusiaan. Keputusan besar, termasuk pengunduran SAF dan penguasaan RSF, dipercayai telah dirancang di Washington. Pada 24 Oktober 2025, AS menjemput kedua-dua pihak ke ibu kota negara tersebut untuk membincangkan gencatan senjata. Inisiatif ini mengukuhkan kedudukan RSF dan membuka jalan kepada pembentukan entiti berasingan di Darfur, serupa dengan pemisahan Sudan Selatan sebelum ini.
Melalui kuartet serantau (AS, Arab Saudi, UAE, Mesir), AS mempersembahkan dirinya sebagai pihak pendamai, namun hakikatnya agenda mereka adalah memecah-belahkan Sudan demi kepentingan strategik dan ekonomi, termasuk menguasai sumber emas di Darfur.
Peranan AS dan Negara Sekitar
Sejak Sudan mencapai kemerdekaan daripada British pada tahun 1956, Amerika Syarikat terus memperluaskan pengaruh politiknya. Pada 2003, AS menyokong Presiden Omar al-Basyir dalam usaha menumpaskan pemberontakan di Darfur, sekali gus membiarkan berlakunya genosid yang mengorbankan lebih 300,000 nyawa. Pada 2011, AS memfasilitasi pemisahan Sudan Selatan yang kaya dengan hasil minyak. Kini, konflik antara SAF dan RSF dilihat sebagai pertarungan antara dua pihak proksi AS, dengan tujuan mempercepat pemisahan Darfur sebagai wilayah di bawah dominasi RSF.
Negara-negara jiran turut terlibat. Pertama, Emiriah Arab Bersatu menyokong RSF dan membekalkan senjata kepada mereka. Kedua, Mesir dan Arab Saudi menyokong SAF bagi mengekalkan keseimbangan politik dan terus berada dalam lingkaran pengaruh AS. Ketiga, Iran membekalkan senjata kepada SAF, dengan kemungkinan membina pangkalan strategik di Laut Merah yang berkait dengan jaringan Houthi di Yaman.
𝐏𝐞𝐫𝐢𝐧𝐠𝐚𝐭𝐚𝐧
Tragedi Al-Fasyir menjadi peringatan pahit bahawa konflik dalaman Sudan kini tidak lagi terbatas pada politik domestik, tetapi turut melibatkan percaturan geopolitik besar dengan Amerika Syarikat sebagai punca utama, yang memanfaatkan konflik tempatan demi kepentingan strategik dan ekonominya. Kaum Muslim, waspadalah!
Hizbut Tahrir menilai bahawa rancangan pemisahan Darfur daripada Sudan semakin hampir menjadi kenyataan. Mereka menyeru para anggota ketenteraan agar menolak untuk menjadi alat kepentingan AS dan menyokong perjuangan Islam. Penyelesaian yang ditawarkan adalah penegakan Khilafah Islamiyah berdasarkan manhaj kenabian sebagai jalan keluar daripada dominasi kuasa asing dan perpecahan negara. Kaum Muslim, sambutlah!
Rujukan:
Soal-Jawab Hizbut Tahrir: 𝑆𝑢𝑑𝑎𝑛, 𝑆𝑒𝑡𝑒𝑙𝑎ℎ 𝑃𝑒𝑛𝑔𝑢𝑎𝑠𝑎𝑎𝑛 𝐷𝑢𝑘𝑢𝑛𝑔𝑎𝑛 𝐶𝑒𝑝𝑎𝑡 𝐴𝑡𝑎𝑠 𝑎𝑙-𝐹𝑎𝑠𝑦𝑖𝑟 (12 Jamadil Awal 1447 H / 3 November 2025 M) dan berbagai sumber lainnya.