Ironi Pemerintah Muslim: Sangat Lambat Membantu Rakyat, Sangat Cepat Menjadi Penyelamat Musuh Yang Terdesak
Oleh: Ustaz Arief B. Iskandar
Sejarah sering mencatat satu ironi pahit: musuh tidak selalu menang kerana kekuatannya sendiri, tetapi kerana ada tangan-tangan dalam diri umat yang menjadi penopangnya.
Apa yang terjadi hari ini bukan sekadar diplomasi. Ini adalah potret telanjang tentang bagaimana para penguasa negeri-negeri Muslim justeru tampil sebagai “penyelamat” bagi empayar yang mula goyah.
Ketika Amerika mula keletihan menghadapi tekanan geopolitik, juga ketika sekutunya terus terperangkap dalam krisis berpanjangan, tiba-tiba muncul “inisiatif damai” daripada para penguasa negeri-negeri Muslim. Di antaranya daripada rejim Pakistan. Bukan untuk menyelamatkan umat, tetapi untuk menyelamatkan musuh umat.
Diplomasi atau Pemindahan?
Ada permintaan penundaan perang. Ada ajakan membuka laluan strategik. Bahkan ada undangan perundingan. Semuanya kelihatan indah. Sedangkan realitinya pahit. Ini bukan diplomasi untuk menghentikan kezaliman. Ini adalah pemindahan terhormat bagi kekuatan besar yang mulai terdesak.
Sejarah Afghanistan telah membuktikan hal itu. Ketika Amerika gagal secara ketenteraan, siapa yang membantu mereka keluar dengan wajah terjaga? Siapa yang mengemas kekalahan menjadi “kesepakatan damai”? Jawapannya jelas: para penguasa Muslim sendiri. Hari ini, senario itu sedang diulang.
Pengkhianatan Sistemik
Ini bukan peristiwa yang berlaku secara tidak sengaja. Sebaliknya, ini adalah pola. Sejak keruntuhan institusi politik Islam global (Khilafah), umat ini tercerai-berai menjadi puluhan negara-bangsa yang lemah dan saling terikat kepentingan asing. Akibatnya, setiap negeri bergerak bukan atas dasar akidah, tetapi atas dasar tekanan geopolitik.
Potensi umat yang luar biasa—ketenteraan, ekonomi, sumber asli dan sebagainya—tidak pernah benar-benar digunakan untuk membela Islam dan kaum Muslim. Sebaliknya, potensi itu diharapkan untuk menjaga kestabilan sistem global yang didominasi oleh kekuatan kafir penjajah. Inilah tragedi terbesar umat hari ini: bukan ketiadaan kekuatan, tetapi ketiadaan kepimpinan yang menyatukan.
Yang lebih menyakitkan bukan hanya pengkhianatan, tetapi diamnya kekuatan yang sebenarnya mampu mengubah keadaan. Pakistan bukan negeri kecil. Ia memiliki kekuatan ketenteraan yang besar. Ia memiliki senjata strategik yang mampu mengubah peta konflik dalam sekelip mata. Akan tetapi, kekuatan itu justeru tidak pernah diarahkan untuk membela umat.
Di Palestin, kehormatan dipijak-pijak. Al-Aqsa dipasung berbulan-bulan, bahkan sepanjang bulan Ramadhan. Darah kaum Muslim mengalir tanpa henti. Akan tetapi, di mana kekuatan itu? Mengapa yang muncul sebaliknya adalah diplomasi untuk menyelamatkan Amerika, bukan langkah sebenar untuk menyelamatkan kaum Muslim Palestin?
Di sinilah kita menyaksikan paradoks terbesar. Kekuatan besar, tetapi kehendak lemah. Senjata dahsyat, tetapi keberpihakan lumpuh.
Jika demikian faktanya maka persoalan asasnya sederhana: para penguasa ini sebenarnya melindungi siapa? Adakah mereka berdiri di barisan umat? Atau mereka menjadi perisai bagi kepentingan asing?
Fakta berbicara dengan sangat terang. Yang mereka lindungi adalah kestabilan hegemoni Amerika. Yang mereka selamatkan adalah wajah empayar yang mula retak. Sebaliknya, umat—sebagaimana biasa—dibiarkan menanggung luka.
Allah SWT telah mengingatkan dengan sangat jelas:
ٱلْمُنَافِقُونَ وَٱلْمُنَافِقَٰتُ بَعْضُهُم مِّنۢ بَعْضٍۢ ۚ يَأْمُرُونَ بِٱلْمُنكَرِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ ٱلْمَعْرُوفِ وَيَقْبِضُونَ أَيْدِيَهُمْ ۚ نَسُوا۟ ٱللَّهَ فَنَسِيَهُمْ ۗ إِنَّ ٱلْمُنَافِقِينَ هُمُ ٱلْفَٰسِقُونَ
“Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyuruh dengan perbuatan yang jahat, dan melarang daripada perbuatan yang baik, dan mereka pula menggenggam tangannya (bakhil kedekut). Mereka telah melupakan (tidak menghiraukan perintah) Allah dan Allah juga melupakan (tidak menghiraukan) mereka. Sesungguhnya orang-orang munafik itu, merekalah orang-orang yang fasik.” [TMQ at-Taubah (9): 67]
Ini bukan sekadar ayat tentang masa lalu, tetapi cermin yang memantulkan realiti hari ini.
Harapan yang Tersisa
Akan tetapi, sejarah juga mengajarkan satu hal penting: kebangkitan tidak pernah lahir daripada penguasa yang tunduk, tetapi daripada umat yang sedar. Kekuatan umat Islam sejatinya bukan kecil. Ia tersebar di berbagai negeri, menguasai laluan-laluan strategik dunia dan memiliki potensi yang tidak dapat ditandingi.
Yang hilang bukan kekuatan, tetapi kesatuan arah. Bayangkan jika potensi itu bersatu. Bayangkan jika kekuatan ketenteraan, ekonomi dan politik umat berada di bawah satu kepimpinan yang mandiri. Saat itulah peta dunia akan berubah secara asas. Bukan lagi umat yang menjadi objek permainan kekuatan global, tetapi yang menjadi subjek yang menentukan arah sejarah.
Kerana itu kitaran lama perlu diputuskan. Selagi umat masih menyerahkan nasibnya kepada para penguasa yang terikat pada kepentingan asing, selama itu jugalah tragedi akan terus berulang. Sebaliknya, ketika umat mula menyedari hakikat ini—bahawa kemuliaan tidak akan pernah lahir daripada kebergantungan—maka itulah saatnya perubahan sejati akan bermula.
Allah SWT menegaskan:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
“Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (agama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.” [TMQ Muhammad (47): 7]
Ini bukan sekadar janji. Ini adalah hukum sejarah.
Akar Masalah: Hilangnya Kepimpinan Islam Global
Di sinilah letak persoalan mendasarnya. Umat Islam hari ini hidup tanpa perisai. Tanpa pelindung. Tanpa satu kepimpinan global dan tunggal yang menyatukan arah perjuangan mereka.
Sedangkan Rasulullah ﷺ telah menegaskan:
إِنَّمَا الإِمَامُ جُنَّةٌ، يُقَاتَلُ مِنْ وَرَائِهِ وَيُتَّقَى بِهِ
Sesungguhnya Imam (Khalifah) itu adalah perisai; kaum Muslim berperang di belakangnya dan berlindung kepada dirinya. (HR. al-Bukhari dan Muslim)
Tanpa “junnah” (perisai) itu, umat menjadi sasaran mudah. Mudah dipecah-belah. Mudah ditekan. Mudah dipermainkan. Inilah yang kita saksikan hari ini.
Selagi umat tetap terpecah dalam sekatan nasionalisme, selagi itu juga mereka tidak akan pernah menjadi kekuatan global. Sebaliknya, ketika umat sedunia disatukan di bawah satu kepimpinan tunggal—Khilafah—maka seluruh potensi akan disatukan. Kekuatan ketenteraan menjadi satu komando. Sumber asli dikelola untuk kemaslahatan umat. Polisi luar negeri berdiri sendiri, bukan tunduk. Dunia akan kembali melihat umat Islam sebagai kekuatan besar. Sejarah telah membuktikan hal itu sejak berabad-abad. Bukan kerana jumlah semata, tetapi kerana kesatuan kepimpinan. Dengan demikian umat Islam akan menjadi subjek: penentu arah politik global, penjaga kestabilan dunia, dan pelindung bagi seluruh manusia daripada kezaliman empayar.
Allah SWT berfirman:
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْضِ كَمَا اسْتَخْلَفَ الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ وَلَيُمَكِّنَنَّ لَهُمْ دِينَهُمُ الَّذِي ارْتَضَى لَهُمْ وَلَيُبَدِّلَنَّهُم مِّن بَعْدِ خَوْفِهِمْ أَمْنًا
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Ia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Ia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (daripada ancaman musuh)” [TMQ an-Nur (24): 55]
Ini adalah janji kekuasaan, janji keamanan dan janji kemuliaan yang bakal Allah SWT berikan kepada umat ini. Akan tetapi, semua itu terikat dengan satu syarat: iman dan amal soleh, termasuk menegakkan sistem kehidupan yang Allah redhai.
Penegasan Para Ulama
Para ulama sepanjang sejarah telah menegaskan kewajipan adanya kepimpinan global bagi kaum Muslim. Imam al-Mawardi berkata dalam Al-Ahkaam as-Sulthaaniyyah:
وَالإِمَامَةُ مَوْضُوعَةٌ لِخِلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا بِهِ
“Imamah (Khilafah) ditetapkan untuk menggantikan kenabian dalam menjaga agama dan mengatur urusan dunia dengan agama.”
Demikian juga Imam an-Nawawi menegaskan dalam Syaraḥ Sahih Muslim:
أَجْمَعُوا عَلَى أَنَّهُ يَجِبُ عَلَى الْمُسْلِمِينَ نَصْبُ خَلِيفَةٍ
“Para ulama telah berijmak bahawa wajib atas kaum Muslim untuk mengangkat seorang khalifah.”
Ini bukan sekadar konsep politik. Ini adalah kewajipan syarie yang menentukan nasib umat. Selagi umat tidak memiliki Khilafah, selagi itu juga tragedi akan terus berulang: penguasa menjadi alat asing; potensi umat disia-siakan; darah kaum Muslim terus ditumpahkan.
Akan tetapi, ketika Khilafah tegak, semuanya akan berubah. Umat tidak lagi meminta-minta perlindungan, tetapi menjadi pelindung. Umat tidak lagi ditakut-takutkan, tetapi disegani—bahkan ditakuti—oleh musuh-musuhnya
Inilah ‘izzah yang telah lama hilang. ‘Izzah yang hanya akan kembali dengan tegaknya kepimpinan Islam global (Khilafah) yang menaungi seluruh kaum Muslim di seluruh penjuru dunia.
Wa maa tawfiiqii illaa bilLaah.
#KhilafahSistemIslam