Trump Menghidupkan Semula Versi Lama ‘Syarikat Hindia Timur British’ yang Menggentarkan Eropah
Berita:
Di Persidangan Keselamatan Munich pada 13 Februari 2026, akhbar The Guardian melaporkan bahawa Ketua Dasar Luar Kesatuan Eropah (EU), Kaja Kallas, memberi amaran bahawa “Lembaga Keamanan” (Board of Peace) Gaza yang dicadangkan oleh Trump semakin menyimpang daripada asas PBB, sambil berkata:
“Ada resolusi Majlis Keselamatan, tetapi Lembaga Keamanan itu tidak mencerminkannya.”
Menteri Luar Sepanyol, José Manuel Albares, turut menuduh Trump cuba memintas mandat asal PBB, dan menyatakan bahawa Eropah — “salah satu penyumbang dana utama kepada Pihak Berkuasa Palestin” — telah “diketepikan daripada proses tersebut”.
Komentar:
Apa yang dipanggil sebagai “Lembaga Keamanan” bagi Gaza yang dipertikaikan antara Eropah dan pentadbiran Trump sebenarnya menandakan kemunculan satu instrumen baharu hegemoni Amerika Syarikat, dan ia mempunyai “saudara sejarah” yang buruk rupa: iaitu Syarikat Hindia Timur British yang terkenal. Ketika syarikat tersebut semakin kaya dan memonopoli perdagangan, ia akhirnya menjadi seakan-akan sebuah negara autonomi dengan tentera sendiri, membawa kematian kepada jutaan manusia di India dan China. Ia merupakan kapitalisme yang dilepaskan ke atas dunia dalam bentuknya secara langsung dan terbuka.
Kejayaan Syarikat Hindia Timur British akhirnya membawa kepada kejatuhannya sendiri apabila ia cuba memerah habis-habisan tanah jajahan Amerika melalui monopoli perdagangan teh, yang mencetuskan perang revolusi kemerdekaan Amerika dan kemunculan Amerika Syarikat sebagai kuasa besar, seiring kemerosotan kuasa Britain. Sejak itu, golongan kapitalis terpaksa “duduk di kerusi belakang” dan menggunakan pengaruh secara tidak langsung melalui ahli politik dengan rasuah, lobi, dan pembiayaan kempen.
Abad ke-20 kemudian didominasi oleh fiksyen sistem antarabangsa berasaskan peraturan, di mana undang-undangnya hanya dikuatkuasakan apabila menguntungkan pihak yang menguatkuasakan, dan diveto apabila tidak menguntungkan, dan pihak itu ialah Amerika Syarikat. Era Trump kini memperlihatkan peralihan daripada pendekatan ini kepada penggunaan kuasa unilateral secara terang-terangan, tanpa menghiraukan norma dan institusi antarabangsa yang sebelum ini yang berkhidmat berdasarkan gagasan hegemoninya.
Walau bagaimanapun, pembulian Trump berisiko mengasingkan Amerika Syarikat, yang akan menjadi jauh lebih lemah jika sekutu-sekutu Eropahnya mula kurang bekerjasama. Justeru itu, pada sidang Munich, Setiausaha Negara AS, Rubio, cuba meredakan kebimbangan Eropah dengan nada ucapan yang lebih lembut:
“Rumah kami mungkin di hemisfera barat, tetapi kami akan sentiasa menjadi anak Eropah.”
Pentas global kini semakin sengit dipertikaikan, dengan kebangkitan China dan pembentukan pakatan-pakatan baharu. Amerika Syarikat sedar bahawa ia tidak akan sentiasa mampu menyekat, melengahkan, atau memutarbelit arah institusi lama yang suatu ketika dahulu sangat menguntungkannya. Maka kini, ia mula menguji paradigma baharu dan membina instrumen baharu yang lebih memenuhi kepentingannya sendiri.
Bantahan Kallas sebenarnya berkisar pada perubahan hala tuju ini: rangka kerja PBB untuk Gaza bersifat khusus kepada Gaza, terhad tempoh masa, dan (sekurang-kurangnya secara formal) berasaskan penyertaan rakyat Palestin. Namun, struktur Lembaga Keamanan yang sedang berkembang kini menjauhi semua asas tersebut. Eropah bimbang kerana ia takut akan peralihan ke arah tatanan dunia lama yang membawa kestabilan kepada Eropah selepas berdarah selama berabad-abad.
Aduan Albares bahawa Eropah sebagai penyumbang dana utama kepada tadbir urus Palestin telah diketepikan, menambah satu butiran penting: yakni proses pembinaan semula sedang disusun semula sebagai alat tekanan (leverage), dan tekanan itu sedang dipusatkan di bawah pentadbiran AS tanpa sebarang had. Amerika Syarikat akan mengawal Lembaga Keamanan dan menentukan negara mana yang boleh menyertainya, dan bahkan akan mengenakan bayaran USD 1 bilion sebagai “harga penyertaan”.
Di sinilah sejarah Syarikat Hindia Timur membantu menjelaskan realiti semasa. Syarikat itu bermula dengan mandat rasmi dan keistimewaan perdagangan, tetapi transformasi politiknya semakin pesat apabila ia mampu menukar paksaan kepada keuntungan besar. “Pengawasan” kerajaan Britain kemudiannya tidak menghapuskan hibrid (gabungan) antara negara dan syarikat itu — sebaliknya ia memperhalusinya. Penubuhan Board of Control (Lembaga Kawalan) telah menginstitusikan sistem di mana jentera korporat boleh mentadbir, sementara Parlimen mengurus hala tuju geopolitik. Inilah inovasi imperialis: pemerintahan yang tampil sebagai “keperluan pengurusan”; peraturan perdagangan, ketertiban fiskal, “keselamatan”, sembari tetap kekal sejajar secara struktur dengan kepentingan kolonial, naungan politik, dan eksploitasi sumber.
Pertikaian mengenai “Lembaga Keamanan” Gaza sesuai dengan corak tersebut, kerana ia pada asasnya berkisar mengenai siapa yang mengawal tiga perkara: rangka keselamatan, saluran pembiayaan, dan takrifan “peralihan”. Peranan sektor swasta bukanlah unsur sampingan dalam penstrukturan semula kuasa ini. Sebaliknya, ia adalah salah satu syarat yang membolehkannya berlaku.
Dasar negara AS moden telah berulang kali menukar perang, penjajahan, dan “penstabilan” kepada ekosistem kontrak. Di Iraq pada 2011, jumlah kontraktor Jabatan Pertahanan AS melebihi anggota tentera berseragam. Di Iraq dan Afghanistan, tenaga kerja kontraktor mencecah ratusan ribu orang, sering kali melebihi jumlah tentera, lalu menerapkan insentif keuntungan dalam fungsi asas tadbir urus dan sokongan ketenteraan. Ini penting kerana sistem kontrak adalah teknologi politik: ia menyebarkan akauntabiliti, membuka pintu kitaran kebergantungan, dan menyalurkan wang awam ke rangkaian persendirian yang akhirnya boleh menjadi konstituen untuk “penstabilan” yang berterusan.
Jangan kita lupa, di sebalik semasa kita berbicara tentang perubahan tatanan antarabangsa ini, medan pertempuran sebenar ialah bumi Gaza yang mulia, yang telah mengalami genosid, pengkhianatan, dan sehingga kini penyembelihan dan pemusnahan masih terus berlaku.
Dari Tsauban, dia berkata,
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُوشِكُ الْأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الْأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ بَلْ أَنْتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزَعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمْ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمْ الْوَهْنَ فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهْنُ قَالَ حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ
Rasulullah SAW bersabda, “Hampir-hampir bangsa-bangsa (kafir) saling mengajak untuk memerangi kalian, sebagaimana orang-orang yang akan makan saling mengajak menuju piring besar mereka”
Seorang sahabat bertanya: “Apakah disebabkan dari sedikitnya kita pada hari itu?”
Baginda menjawab: “Tidak, bahkan pada hari itu kalian banyak, tetapi kalian buih, seperti buih di lautan. Dan Allah akan menghilangkan rasa gentar dari dada musuh terhadap kalian. Dan Allah akan menimpakan wahn (kelemahan) di dalam hati kalian”
Seorang sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah wahn itu?”
Baginda SAW menjawab: “Cinta dunia dan takut menghadapi kematian.” (HR. Abu Dawud no. 4297)
Mereka yang terlalu mencintai dunia dan mempercayai dusta para rejim zalim yang memimpinnya, lalu berpegang kepada institusi antarabangsa palsu itu, pasti akan kembali dalam keadaan dahaga dari “lautan penipuan”. Mereka berlindung di bawah tatanan antarabangsa selama seratus tahun, namun mengabaikan segala pengkhianatannya, dan kini terpaksa menyaksikan dengan penuh rasa terkejut bagaimana para rejim zalim itu sendiri meruntuhkan institusi yang mereka sucikan.
Dalam bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, marilah kita menilai semula firman Allah dalam konteks antarabangsa:
[وَمَن يَتَوَكَّلْ عَلَى اللَّهِ فَهُوَ حَسْبُهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ بَالِغُ أَمْرِهِ ۚ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لِكُلِّ شَيْءٍ قَدْرًا]
“Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri bulat-bulat kepada Allah, maka Allah cukuplah baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (TMQ At-Talaq [65]:3)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh:
Dr. Abdullah Robin