Wanita dan Kanak-Kanak Gaza Memulakan Ramadhan dalam Kelaparan
Berita:
Tiga puluh tujuh orang kanak-kanak telah terbunuh di Gaza setakat tahun ini, manakala sistem persekolahan hampir dihapuskan sepenuhnya. Dalam masa yang sama, ‘Israel’ meluluskan langkah-langkah untuk memperluas penempatan haram di Tebing Barat. Al Jazeera melaporkan bahawa pada Ramadhan kali ini, kanak-kanak di Gaza terpaksa bekerja untuk terus hidup, mengorbankan pendidikan serta impian zaman kanak-kanak mereka. Mereka menggigil kesejukan dan menangis di dalam khemah-khemah yang ditenggelami banjir, dan ibadah puasa dijalani dalam keadaan kemiskinan makanan serta kebuluran.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 97 peratus sekolah di Gaza telah rosak atau musnah, dan kebanyakan daripada 658,000 kanak-kanak usia persekolahan di wilayah tersebut telah mengalami “akses terhad” kepada pembelajaran secara bersemuka selama lebih dua tahun akademik. Pada bulan November, PBB melaporkan bahawa ekonomi Gaza telah “runtuh”, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merosot sebanyak 83 peratus berbanding tempoh sebelum perang.
Ekonomi yang lemah, ditambah dengan kekurangan bekalan elektrik serta ribuan keluarga yang kehilangan pencari nafkah akibat perang, telah menyebabkan peningkatan jumlah kanak-kanak yang terpaksa bekerja untuk menjaga wanita dan kanak-kanak lain yang ditinggalkan tanpa penjaga atau bantuan kewangan.
Komentar:
Di negara-negara jiran, sebahagian pemimpin paling kaya akan berbuka puasa di rumah agam mewah dan menikmati jamuan makanan serta minuman dalam limpahan kemewahan golongan elit Muslim.
Namun, nasib kanak-kanak dan para ibu di Gaza tidak akan pernah ada dalam agendanya. Ibadah kepada Allah (swt) dalam membantu orang-orang beriman telah dikhianati demi memenuhi “menu” kolonialis berupa ketamakan dan rasuah.
Tentera ‘Israel’ dilaporkan menerima angka korban daripada Kementerian Kesihatan Gaza bahawa melebihi 71,667 rakyat Palestin terbunuh sejak 7 Oktober 2023, dengan ribuan lagi masih tidak dapat dikesan dan tertimbus di bawah runtuhan. Bekas Perdana Menteri UK, Tony Blair, menggesa anggota Palestin dalam badan peralihan Gaza supaya menjauhi politik. Apa yang dia maksud sebenarnya adalah, jangan kembalikan Khilafah dan Amir (khalifah) untuk menyelamatkan umat Islam daripada penderitaan dan penindasan. Dia mahu mengambil bahagian kekayaan yang sepatutnya milik ummah, sambil memastikan agar kepentingan Barat di rantau ini terus terpelihara.
PBB membincangkan “titik perubahan” Gaza di tengah-tengah serangan berterusan oleh ‘Israel’. Hamas menyatakan bahawa ‘Israel’ telah melengahkan proses pengambilan semula mayat tawanan terakhirnya walaupun telah dimaklumkan lebih awal. Bandar Gaza telah berdepan ancaman runtuhnya perkhidmatan bekalan air. Lima tahanan Palestin dibebaskan ke Gaza selepas berbulan-bulan ditahan oleh ‘Israel’.
Yaqeen Jamal, seorang ahli psikologi pendidikan yang telah memberikan sokongan psikologi kepada kanak-kanak sepanjang perang, berkata: “Ia adalah pemusnahan sistematik terhadap masa depan seluruh generasi.”
“Kanak-kanak ini kehilangan rasa selamat dan zaman kanak-kanak mereka, dan mereka memikul tanggungjawab yang melebihi keupayaan kognitif dan fizikal mereka,” tambahnya.
Jamal berkata keadaan ini pasti membawa kepada bahaya pada masa depan. “Kesan jangka panjangnya akan menjadi bencana. Kita sedang berdepan dengan satu generasi yang menderita akibat buta huruf dan kemerosotan kesihatan mental, yang akan mewujudkan jurang sosial yang sukar untuk dirapatkan.”
“Pembinaan semula sekolah dan penyambungan semula proses pendidikan mesti menjadi keutamaan utama, kerana pendidikan adalah barisan pertahanan terakhir bagi identiti dan masa depan masyarakat [mereka] ini,” katanya.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
oleh Imrana Mohammad
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
#Palestin #Gaza #Ramadhan