Lelaki Mapan (Stabil) Membuatkan Pernikahan Bahagia?
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Perbualan dengan tema ‘lelaki stabil’ ini mempunyai hubungan yang kuat dengan pernikahan. Di media sosial banyak Gen Z yang mengkritik lelaki ’yang tidak berduit’ yang tekad untuk bernikah. Akhirnya menyebabkan isteri dan anak sengsara. Saat ini banyak permasalahan terkait keluarga dimana isi rumah tangga yang terlantar disebabkan suami; terkait pengangguran atau keadaan kewangan yang tidak stabil, sehingga menyebabkan anak dan isteri menjadi mangsa. Maka, banyak Gen Z yang beri peringatan tegas buat para lelaki, jika belum stabil, jangan berani untuk ajak perempuan menikah.
Apatah lagi, kata mereka, hari ini semakin banyak perempuan menjadi independent woman (wanita yang berdikari). Mereka mempunyai pekerjaan, pendidikan tinggi, dan mempunyai tahap kewangan yang stabil.
Material World
Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), mapan itu bererti; mantap (teguh, tidak goyah, stabil). Dalam perbincangan sehari-hari, mapan identik dengan peribadi yang mempunyai kemampuan kewangan yang mencukup; mempunyai sumber pendapatan yang tinggi, mempunyai kenderaan atau bahkan rumah peribadi.
Cuma, apakah standard kestabilan itu? Ini yang masih kabur. Tidak jelas. Gen Z atau masyarakat umumnya hari ini ramai membicarakan isu kestabilan yang banyak terpengaruh dengan perbincangan di media sosial. Juga melihat dari gaya hidup sebahagian orang yang dipamerkan di akaun-akauan media sosial, yakni flexing. Akhirnya apa yang ditunjukkan itulah yang menjadi standard kestabilan seseorang. Jika ada motor sport, boleh selalu minum kopi di kafe-kafe, rutin traveling, pakaiannya yang up to date dengan harga yang tidak murah, dan sebagainya.
Mutakhir ini, kriteria lelaki stabil juga ditambah lagi dengan mempunyai keperibadian baik, matang, suka membantu keluarga, dsb. Tapi, standard kewangan tetap menjadi yang paling utama sebagai ciri lelaki stabil, lebih-lebih lagi jika perbahasannya terkait mencari calon suami.
Soal stabil dan tidak stabil ini persis lirik salah satu lagu penyanyi Madonna, diva muzik pop yang pernah terkenal di era 90-an, bertajuk Material Girl.
Some boys kiss me, some boys hug me
I think they’re okay
If they don’t give me proper credit
I just walk away
….
‘Cause we are living in a material world
And I am a material girl
You know that we are living in a material world
And I am a material girl
Pemikiran seperti ini akhirnya akan memberi kesan negatif dalam banyak perkara, misalnya kestabilan kewangan menjadi ukuran tinggi rendahnya status seseorang. Jika makin kaya, makin dihormati dan dihargai. Lelaki stabil dengan status free financial (tiada masalah kewangan) akhirnya menjadi idaman banyak perempuan. Sebaliknya, lelaki yang tidak stabil tahap kewangannya, terpinggir serta tidak menjadi pilihan perempuan di luar sana, walaupun dia seorang yang baik.
Disebabkan ingin menjadi lelaki stabil, ramai yang berpura-pura dan memaksakan diri agar kelihatan stabil. Muncul sindrom FOMO (Fear of Missing Out), flexing dan akhirnya lahirlah tindakan doom spending (berbelanja secara berlebihan). Beberapa kajian menunjukkan terdapat banyak Gen Z yang terjerat masalah kewangan disebabkan gaya hidup. Ada yang menyebutkan 38 % dari mereka terbelit hutang akibat gaya hidup. Semuanya demi untuk kelihatan stabil di mata masyarakat.
Kesan lain akibat perbincangan tentang standard kestabilan yang tidak jelas ini telah menyebabkan kadar pernikahan di kalangan Gen Z menurun. Banyak lelaki menunda pernikahan kerana merasa belum stabil dan khuatir pendapatan mereka tidak cukup untuk menampung keperluan keluarga kelak. Sementara yang perempuan juga berfikir panjang apabila diajak untuk menikah oleh lelaki yang mereka rasakan tidak mencapai standard stabil itu tadi.
Berfikiran Cerdas
Penting untuk Gen Z berfikiran cerdas, sihat dan matang dalam memahami batas kestabilan. Pertama, diskusi soal kestabilan hendaklah mempunyai standard yang jelas, bukan diserahkan pada penilaian setiap orang, apatah lagi mengikuti sindrom FOMO. Misalnya, disebut stabil dengan kayu ukur selebriti tertentu, atau yang mempunyai rumah peribadi, atau yang mampu menghantar anak ke sekolah elit (swasta atau antarabangsa), dsb.
Percayalah, perbincangan soal stabil tanpa ukuran yang jelas akan menyebabkan hidup menjadi rumit dan menyusahkan. Percaya juga jika Islam telah menunjukkan standard yang jelas dan benar. Seterusnya memudahkan hidup kita sebagai manusia. Padahal sebenarnya manusia itu boleh hidup damai sesuai keperluan asasnya sebagai manusia. Namun, manusia akan sengsara jika ingin hidup sesuai keinginannya. Kerana keperluan manusia sebenarnya bersifat terbatas, tapi keinginannya itu bersifat tanpa batas.
Jika kita berbicara soal kestabilan, maka yang pertama perlu difahami adalah soal rezeki. Rezeki itu adalah hadiah daripada Allah yang bersifat mutlak. Bukan sesuatu yang boleh diperoleh daripada kerja manusia. Jika kerja keras itu menghasilkan rezeki yang banyak, sepatutnya tukang batu itu adalah manusia yang paling stabil. Jika kecerdasan seseorang itu mampu menghasilkan wang yang banyak, sepatutnya profesorlah yang akan berada di top list orang paling stabil.
Namun, Allah menetapkan bahawa Dialah Maha Pemberi Rezeki. Dia boleh melapangkan atau menyempitkan rezeki seseorang. FirmanNya:
“Dan tidakkah mereka mengetahui bahawa Allah melapangkan rezeki dan menyempitkannya bagi siapa yang dikehendaki-Nya? Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda kekuasaan Allah bagi kaum yang beriman.” [TMQ Az-Zumar (39): 52]
Ada lelaki yang ketika sekolah dan kuliah masuk dalam kelompok marginal (kelompok yang terpinggir secara sosial, ekonomi atau politik). Dia tinggal di masjid sambil menjadi petugas (mengurus dan menjaga kebersihan) di masjid dan guru yang mengajar al-Quran. Namun, setelah lulus pengajian, dia mempunyai kerjaya yang baik dan keluarga yang sakinah. Ada orang yang asalnya kaya raya, tetapi dalam beberapa tahun semua perniagaannya runtuh. Hartanya disita oleh negara kerana ternyata kekayaannya diperoleh daripada merompak wang negara.
Kedua, kenapa Gen Z tidak mulai membicarakan tentang lelaki yang matang? Lelaki yang stabil dan matang itu berbeza. Jika lelaki stabil, pembahasannya tercakup dalam perkara material, dan jika lelaki matang skop pembahasannya adalah terkait keperibadian. Lelaki yang stabil belum tentu dia matang. Begitu juga sebaliknya. Tapi lelaki yang matang pasti akan berjuang untuk mendapatkan kestabilan.
Dalam Islam lelaki memang bertanggungjawab sebagai pencari nafkah untuk dirinya dan keluarganya. Menyediakan makanan, pakaian dan tempat tinggal. Lalu Allah yang Maha Bijak menetapkan batas stabil itu adalah kemakrufan. FirmanNya:
“Dan kewajipan ayah menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang sepatutnya (makruf).” [TMQ Al-Baqarah (2): 233]
Juga firmanNya:
“Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani iddahnya) di tempat kediaman kamu mengikut kadar kemampuan kamu dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan mereka..” [TMQ Ath-Thalaq (65): 6]
Jika rezeki seorang suami lapang, maka Allah perintahkan dia menafkahi anak-isterinya selapang-lapangnya. Tidak boleh menahan hak mereka. Firman Allah:
“Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya, dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah daripada apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu). Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan kepadanya. Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.” [TMQ Ath-Thalaq (65): 7]
Ketiga, jika diskusi tentang kestabilan, hendaklah selalu kaitkan dengan kebahagiaan. Adakah seorang lelaki yang stabil pasti akan membuat keluarganya bahagia? Ada yang berpandangan, belum tentu bahagia, tapi setidaknya dengan kestabilan tersebut, kita boleh mendapatkan apa yang kita mahu. Tapi, adakah itu namanya bahagia?
Belum tentu. Sudah banyak contoh mereka yang menikah dengan majlisnya mendapat jolokan ‘wedding of the year’ akhirnya hancur musnah. Ada juga sebaliknya, hanya hidup cara sederhana juga berakhir dengan perceraian. Kuncinya, kebahagiaan tidak sejalan dengan kestabilan suami. Kebahagiaan itu sesuatu yang perlu diciptakan dari dalam hati. Tepatnya, bersumber dari keimanan. Banyak pasangan yang bukan dari pasangan yang stabil itu tadi, namun berjaya menata hati dan menciptakan kebahagiaan.
Rasulullah SAW mengajarkan dua prinsip kebahagiaan; sabar dan syukur. Saat kenyataan belum terealisasi seperti mana yang diharapkan, maka bersabar dan redha dengan ketetapan Allah SWT. Lalu apabila Allah memberikan kenikmatan – sekecil apapun – hati mensyukurinya.
Orang yang bersyukur akan bahagia meski hanya minum kopi sachet saat konvokesyen. Jauh lebih bahagia berbanding mereka yang minum segelas latte macchiato dengan sepiring croissant di kafe mahal, namun hati tak pernah kunjung bersyukur.
Hakikatnya, tidak banyak yang benar-benar bersyukur atas nikmat Allah. Oleh sebab itu, tidak hairan jika dunia lebih banyak diisi orang-orang yang gelisah, padahal mereka sudah berada dalam zon yang stabil. Benarlah firman Allah SWT:
“Mereka (para jin itu) bekerja untuk Nabi Sulaiman a.s mengikut apa yang dikehendakinya, antaranya membinabangunan-bangunan yang tinggi, patung-patung, pinggan-pinggan yang (besarnya) seperti kolam dan periuk-periuk yang tetap (berada di atas tungku). Bekerjalah wahai keluarga Nabi Daud a.s untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali daripada hamba-hamba-Ku yang bersyukur.” [TMQ Saba’ (34): 13].
Sumber: iwanjanuar.com
#jodoh #KeluargaBahagia #KeluargaMuslimIdeal #PasanganIdeal
#KeluargaTarbiyah #DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat