Menghadapi Benturan Nilai pada Anak Gen Z
Oleh: Ustazah Yanti Tanjung
Dunia pendidikan sentiasa berbicara tentang nilai-nilai yang perlu dicapai oleh anak-anak, bermula sejak usia awal hinggalah mereka dewasa. Nilai-nilai ini ditanamkan dalam diri anak melalui kurikulum pendidikan. Dalam konteks pendidikan negara, nilai-nilai yang ditekankan dalam proses pembelajaran adalah nilai-nilai yang terkandung dalam Rukun Negara, yang mempunyai lima prinsip dengan nilai-nilai tertentu.
Kebelakangan ini, bukan sekadar nilai-nilai Rukun Negara yang diajarkan kepada pelajar, tetapi juga nilai-nilai yang berkaitan dengan konsep “moderasi beragama”, yang merangkumi empat elemen iaitu nilai kebangsaan, nilai toleransi, nilai anti-keganasan, dan nilai menghargai budaya tempatan. Selain itu, terdapat pelbagai nilai lain yang diserapkan ke dalam kurikulum. Malangnya, nilai-nilai Islam dalam kurikulum sering kali hanya dijadikan sebagai hiasan atau pelengkap semata-mata.
Arus globalisasi kini lebih dasyat lagi membawa masuk pelbagai nilai yang bertentangan dengan ajaran Islam. Nilai-nilai seperti sekularisme, liberalisme, kapitalisme, sosialisme, komunisme, pluralisme, dan konsep kesetaraan mutlak semakin kuat mempengaruhi minda generasi muda hari ini, bahkan sudah berakar dalam diri mereka. Sekiranya benteng nilai-nilai Islam tidak kukuh, anak-anak kita akan terumbang-ambing di tengah kerosakan sistem nilai kehidupan.
Sumber pembentukan nilai bagi anak-anak Gen Z kini tidak lagi terbatas kepada rumah dan keluarga tetapi juga sekolah, universiti, rakan sebaya, media sosial, dan masyarakat umum. Kita perlu sedar bahawa pengaruh yang datang daripada sekolah, persekitaran kampus, serta dunia media sosial jauh lebih kuat berbanding pengaruh ibu bapa sendiri.
Oleh itu, menjadi kewajipan bagi ibu bapa untuk memantau secara berterusan aspek pemikiran dan tsaqafah anak-anak mereka. Ibu bapa mesti bekerja keras dengan usaha sendiri untuk membina kefahaman Islam yang kukuh dalam diri anak-anak dan meyakinkan mereka tentang nilai-nilai Islam yang wajib dipegang. Dan ibu bapa tidak boleh ragu terhadap kemampuan diri mereka sendiri.
Sekiranya ibu bapa gagal menanamkan nilai-nilai Islam dalam diri anak mereka, jangan segan atau malu untuk meminta bantuan daripada guru, rakan, atau sesiapa sahaja yang dipercayai mampu membimbing dan membantu menanamkan nilai-nilai Islam dalam diri anak-anak kita.
Walaupun pengaruh luar jauh lebih kuat, ibu bapa tetap mempunyai tanggungjawab utama untuk mendisiplinkan anak-anak di rumah dengan membiasakan mereka hidup dalam ketaatan kepada Allah Taala. Ini termasuk melatih anak-anak untuk mengamalkan syariah Islam secara kaffah, menunaikan solat, berpuasa, menutup aurat, menjauhi pergaulan bebas dan lain-lain.
Sekiranya ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mendisiplinkan anak-anak dalam menjalankan hukum-hukum Allah, maka mereka berdosa. Hal ini kerana amanah tersebut akan dipersoalkan oleh Allah kelak. Ayah dan ibu masing-masing adalah pemimpin dalam wilayah tanggungjawab mereka, sebagaimana sabda Rasulullah SAW:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ أَلَا كُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ فَالْإِمَامُ الَّذِي عَلَى النَّاسِ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ وَالْمَرْأَةُ رَاعِيَةٌ عَلَى أَهْلِ بَيْتِ زَوْجِهَا وَوَلَدِهِ وَهِيَ مَسْئُولَةٌ عَنْهُمْ وَعَبْدُ الرَّجُلِ رَاعٍ عَلَى مَالِ سَيِّدِهِ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُ أَلَا فَكُلُّكُمْ رَاعٍ وَكُلُّكُمْ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ
Maksudnya: “Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan setiap kalian akan dipertanggungjawabkan atas kepimpinannya. Pemerintah adalah pemimpin ke atas rakyatnya dan dia akan ditanya tentang kepimpinannya. Seorang suami adalah pemimpin ke atas keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan atas mereka. Seorang isteri adalah pemimpin di rumah suaminya dan ke atas anak-anaknya, dan dia juga akan dipertanggungjawabkan terhadap mereka. Seorang hamba pula adalah pemimpin terhadap harta tuannya dan dia juga akan dipertanggungjawabkan atas urusannya. Ketahuilah, setiap kalian adalah pemimpin dan akan ditanya tentang kepimpinannya.” (HR. al-Bukhari)
Pada masa kini, kita dan anak-anak sedang berhadapan dengan benturan nilai yang sangat keras. Oleh itu, kita perlu meningkatkan kesungguhan dalam menerangkan kepada anak-anak tentang kerosakan sistem nilai serta pemikiran-pemikiran yang menyimpang yang sedang menyerang mereka. Dalam masa yang sama, setiap ibu bapa perlu memposisikan diri sebagai pendakwah aktif yang melaksanakan amar makruf nahi mungkar, berperanan untuk memperbetulkan masyarakat secara menyeluruh dan berakar umbi serta berjuang melangsungkan kembali kehidupan Islam.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat