Pertumpahan Darah di Sudan: Siapa yang Harus Dipersalahkan?
Kita semua telah melihat rakaman mengenai pembunuhan beramai-ramai di Sudan. Perang saudara antara Angkatan Tentera Sudan dan militia Rapid Support Forces (RSF) telah berlarutan selama beberapa tahun. Keadaan memuncak pada minggu lalu apabila RSF mengambil alih bandar El-Fasher, membunuh ribuan orang dan menyebabkan puluhan ribu yang lain melarikan diri. Ini berlaku selepas mereka mengepung dan membiarkan bandar itu kelaparan selama 18 bulan. Mereka yang melarikan diri menggambarkan adegan keganasan yang tak masuk akal, pembunuhan beramai-ramai dan jenayah seksual.
Bagaimana kita dapat memahami apa yang berlaku di Sudan, terutama apabila kelihatan bahawa pelaku dan mangsa kedua-duanya adalah Muslim? Lebih penting, apa yang boleh kita lakukan untuk membela saudara-saudara kita?
Pemain Utama
Sejak kejatuhan diktator Sudan yang memerintah selama beberapa dekad, Al-Bashir, pada tahun 2019, terdapat kekosongan kuasa di Sudan. Para penunjuk perasaan turun ke jalan memprotes pemerintahan korup Bashir, yang akhirnya membawa kepada penangkapannya oleh Tentera Sudan. Tentera pada mulanya cuba melantik orang mereka sendiri, tetapi para penunjuk perasaan terus menentang golongan yang tidak mewakili nilai atau kepentingan rakyat Sudan. Akhirnya, para penunjuk perasaan bersetuju dengan satu bentuk perkongsian kuasa antara tentera dan sebuah kerajaan peralihan awam yang tidak dipilih. Kerajaan awam ini tidak mewakili rakyat seperti tentera, sama-sama terikat dengan agenda kuasa asing, dan akhirnya turut ditahan oleh tentera.
Satu komponen utama pemerintahan tentera ialah RSF, sebuah pasukan paramilitari bebas yang ditubuhkan oleh Bashir ketika berada di tampuk kekuasaan. Walaupun RSF dan Angkatan Tentera Sudan bekerjasama dalam penggulingan Bashir dan kejatuhan kerajaan awam, pada 2023 RSF terlibat dalam konflik bersenjata dengan tentera Sudan, dipercayai akibat perebutan kuasa antara pemimpin mereka.
Tinjauan Lebih Dekat
Tinjauan lebih dekat menunjukkan bahawa RSF mengeksploitasi perbezaan antara puak di Sudan, bekerjasama dengan puak-puak yang mengidentifikasikan diri mereka sebagai Arab, dan melakukan keganasan terhadap puak yang diidentifikasi sebagai bukan Arab, khususnya di wilayah Darfur, dengan El-Fasher sebagai ibu kotanya.
Juga jelas bahawa RSF menerima pembiayaan yang besar daripada UAE, yang dilaporkan sedang memperluas pengaruhnya di Sudan yang kaya dengan sumber melalui militia paramilitari tersebut. Perlu diingat bahawa UAE bukanlah broker bebas di Timur Tengah; sebaliknya, setiap tindakan signifikan yang diambilnya, sama ada normalisasi hubungan dengan Zionis, sokongannya sebelum ini terhadap tentera Al-Bashir, serta sokongannya sekarang terhadap RSF, sudah pastinya sejajar dengan kepentingan kuasa kolonial seperti UK dan Amerika Syarikat. Malah, Amnesty International melaporkan bahawa sesetengah senjata yang ditemui bersama RSF dibuat di UK, yang jelas dibekalkan melalui UAE.
Apa yang boleh kita simpulkan ialah kuasa besar Kapitalis dan ejen-ejen mereka dalam dunia Islam sedang mengeksploitasi kedua-dua garisan sesar puak dan etnik di dunia Islam, bersama-sama ahli politik korup dan oportunis, untuk melemahkan dan membentuk semula wilayah-wilayah umat Islam mengikut kehendak mereka. Mereka telah pun memisahkan Sudan Selatan daripada negara asal; tidak mustahil bagi mereka untuk mewujudkan sebuah negara baharu daripada Darfur juga.
Skrip Lama yang Digunakan Semula
Adalah menjadi kepentingan kuasa kolonial untuk memastikan tanah umat Islam kekal berpecah-belah, tidak stabil dan diperintah oleh penguasa yang korup serta mementingkan diri. Inilah strategi mereka sejak zaman Khilafah Uthmaniyyah, ketika mereka membayar pemimpin Arab untuk memberontak menentang Khilafah atas dasar nasionalisme.
Strategi ini mempunyai sebab yang jelas. Kekuatan unik umat Islam, yang terpancar daripada akidah kita, ialah kesatuan dan solidariti luar biasa yang besar di antara ummah ini. Kepimpinan Islam pada masa lalu dapat menggembleng kekuatan, sumber, latihan dan kekayaan dari seluruh wilayah di tiga benua untuk mempertahankan dan mengembangkan tamadun Islam. Allah SWT merujuk kepada keunikan potensi umat ini apabila Dia berfirman:
“Dan jika mereka bertujuan hendak menipumu, maka sesungguhnya cukuplah Allah (menjaga dan memberikan perlindungan) kepadamu. Dia lah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. Dan (Dia lah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (TMQ Al-Anfaal [8]: 62-63)
Kesatuan politik ini, yang dikurniakan oleh Allah SWT, kekal bersama kita sepanjang sejarah. Inilah yang membolehkan Rasulullah SAW menyatukan suku-suku yang bersengketa di Arab menjadi sebuah kuasa yang menakluki Rom dan Parsi, dan membolehkan umat Islam menyampaikan risalah Islam dari hutan belantara Indonesia hingga ke pantai Maghribi.
Kesatuan ini bukan sekadar emosi, tetapi sebahagian daripada sistem yang diturunkan Allah SWT yang menyediakan penyelesaian dalam urusan sosial, ekonomi dan politik umat.
Musuh-musuh Islam hanya berjaya melemahkan kita dengan menghancurkan kesatuan ini dan sistem ini. Mereka melakukan hal ini dengan menggantikan sistem Islam dengan undang-undang, perlembagaan dan institusi berdasarkan demokrasi. Mereka memperkenalkan konsep Negara Bangsa kepada dunia Islam, melakar garisan pada peta untuk mewujudkan rejim-rejim yang berpecah-belah, tidak stabil dan bersifat despotik di seluruh tanah kita. Dan mereka masih terus melakar garisan itu hingga ke hari ini.
Apa yang Perlu Dilakukan?
Memang mudah untuk menyalahkan musuh-musuh Islam apabila berdepan tragedi umat ini; daripada kemusnahan Gaza hingga pertumpahan darah di El-Fasher. Tetapi adalah tidak jujur jika tidak menuding jari kepada diri sendiri terlebih dahulu.
Pada akhirnya, perpecahan adalah satu pilihan. Walaupun penting untuk menyedari perancangan kuasa kolonial, kita juga perlu mengambil tanggungjawab terhadap keadaan kita sekarang. Kita ialah sebuah ummah yang para pemimpin elit hari ini tidak mampu mempertahankan sempadan tanpa tunduk meminta bantuan Amerika Syarikat. Para pemimpin yang dianggap pengkhianat ini saling menyingkirkan dan bertelagah antara satu sama lain, bukannya menghentikan pembunuhan di Gaza. Mereka juga berpuas hati untuk sekadar duduk dan menonton para penjenayah di UAE membiayai dan mengaut keuntungan daripada kekacauan dan kesengsaraan di Sudan.
Selagi kita terus menerima dan mengikut golongan penguasa elit yang korup ini dan tunduk kepada rejim zalim yang mereka tegakkan di wilayah umat Islam, maka kita gagal dalam menjalankan tanggungjawab kita. Kita terus terjerumus dalam menyumbang kepada sistem yang membenarkan pelaku paling buruk mengeksploitasi kelemahan kita.
Hanya apabila kita sebagai sebuah ummah secara berjemaah bersatu, mempelajari tentang sistem Islam dan menggerakkan kebangkitannya semula di tanah-tanah kaum Muslim, barulah kita dapat membebaskan diri daripada kitaran ketidakstabilan dan keganasan.
Sudah tiba masanya bagi kita sebagai umat Islam, tanpa mengira sejauh mana pun kita berada, sekalipun di luar wilayah umat Islam, hendaklah terus bergerak melangkaui doa dan bantuan derma kepada saudara-saudara kita di Sudan. Kita juga hendaklah turut menggerakkan diri menyokong kebangkitan cara hidup Islam di seluruh dunia Islam melalui penegakan semula sistem pemerintahan Islam, negara Khilafah di atas manhaj kenabian. Semoga Allah SWT menjadikan kita sebahagian daripada kemenangan yang dijanjikan.
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliyah), lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.
Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.
Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.” (TMQ Ali Imran [3]: 103-105)
#Sudan #Gaza #SudanCrisis #AynalMuslimun #SatuPerjuangan #OneUmmah
#KesatuanUmmah #WeNeedKhilafah
#BringBackKhilafah #IslamUnity