Gaza Memanggil Umat untuk Membebaskannya!
Gencatan senjata yang ditandatangani pada 10 Oktober lalu tidak menghapuskan penderitaan rakyat Gaza. Majoriti penduduk Gaza masih tinggal di dalam khemah-khemah pelarian. Ketibaan musim sejuk telah menyebabkan ribut dan banjir melanda tempat perlindungan mereka. Agensi PBB untuk Pelarian Palestin di Timur Dekat (UNRWA) menyatakan bahawa hujan yang melanda Semenanjung Gaza semakin memburukkan keadaan yang sudah sedia amat meruncing di wilayah tersebut.
Beberapa khemah koyak dan roboh menyebabkan keluarga pelarian tidak lagi mempunyai perlindungan. Pejabat Media Kerajaan Gaza menganggarkan sekitar 93% khemah pelarian sudah tidak lagi sesuai didiami, iaitu kira-kira 125,000 daripada keseluruhan 135,000 khemah. Berdasarkan keterangan daripada UNRWA, bahan binaan untuk tempat perlindungan serta kelengkapan musim sejuk bagi keluarga pelarian Palestin sebenarnya tersedia di gudang-gudang UNRWA di Jordan dan Mesir. Namun, penghantaran bahan tersebut sekali lagi tertangguh kerana Zionis menyekat laluan penghantaran.
Keluarga-keluarga pelarian turut berdepan kekurangan bahan keperluan asas. Mereka sukar mendapatkan bahan makanan serta perkhidmatan penting akibat sekatan tersebut. Sekurang-kurangnya 260 rakyat Palestin terbunuh dan lebih daripada 630 yang lain tercedera sejak gencatan senjata bermula pada Oktober lalu.
Akar Masalah Palestin adalah Penjajahan
Krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza jelas menunjukkan bahawa gencatan senjata bukanlah penyelesaian. Ini kerana punca utama masalah tersebut adalah penjajahan di wilayah itu oleh Zionis Yahudi dengan sokongan negara-negara Barat.
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam kitab Mafahim Siyasiyah pada bab “Masalah Timur Tengah” menggambarkan akar permasalahan penjajahan di Palestin. Secara ringkas dijelaskan bahawa Barat ingin menguasai Timur Tengah kerana beberapa potensi strategik. Potensi tersebut berkaitan dengan Islam dan ancamannya kepada Barat, kedudukan Timur Tengah yang strategik, Yahudi sebagai benteng pertahanan terdepan bagi negara-negara Barat, serta kekayaan sumber alam yang melimpah di wilayah itu, khususnya minyak.
Untuk mencapai matlamat tersebut, Barat mewujudkan ketidakstabilan di wilayah berkenaan dengan mendirikan entiti Yahudi melalui inisiatif British, yang kemudian diteruskan oleh Amerika Syarikat. Pada ketika itu (1917), British menetapkan Perjanjian Balfour yang menyatakan jaminan Britain kepada Yahudi untuk menduduki Palestin dan mendirikan sebuah negara di sana.
Selepas Perang Dunia Pertama yang disusuli keruntuhan Negara Khilafah, Barat kemudian menubuhkan Liga Bangsa-Bangsa (LBB), yang merupakan pelopor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Salah satu tugas LBB adalah memecah belahkan negeri-negeri bekas wilayah Khilafah Uthmani menjadi negara-negara bangsa seperti Jordan, Lubnan, Arab Saudi, Syria dan lain-lain, melalui “mandat” bagi Dunia Arab yang diberikan kepada British dan Perancis.
Melalui sistem mandat ini, British dan Perancis memperoleh kawalan yang mereka inginkan di Timur Tengah sehingga berakhirnya Perang Dunia Kedua yang melahirkan kuasa besar baru, iaitu Amerika Syarikat. Selepas PD II, PBB memutuskan pembahagian wilayah Palestin melalui resolusi nombor 181 pada 29 November 1947 yang membahagikan Palestin kepada dua bahagian, iaitu wilayah Palestin dan wilayah Yahudi penjajah. Dengan ini, Barat berjaya menanamkan sebuah entiti asing di tengah-tengah umat Islam yang menghancurkan kesatuan mereka.
Timur Tengah yang dahulunya bersatu kini terpecah-pecah menjadi negara-bangsa. Para penguasa di wilayah tersebut berkuasa bukan kerana kehendak rakyat, tetapi kerana diwujudkan secara sengaja oleh negara-negara Barat penjajah dan dijadikan boneka mereka bagi mengekalkan penjajahan.
Sementara itu, rakyat Palestin sejak wilayahnya diduduki oleh entiti Yahudi sentiasa melakukan penentangan. Pada April 1936, rakyat Palestin mengadakan mogok besar-besaran, namun dibalas oleh British dengan tindakan penindasan. Pada 1948 berlaku peristiwa Nakba, dan rakyat Palestin tetap berjuang dengan penuh keberanian. Pada 1987, umat Islam Palestin melancarkan intifada pertama. Kemudian pada tahun 2000 tercetusnya intifada kedua.
Taufan al-Aqsa pada 7 Oktober 2023 merupakan salah satu bentuk penentangan Gaza dan berjaya menggoncang entiti Yahudi. Namun, Yahudi pengecut membalas serangan tersebut dengan tindakan ganas, melakukan genosid, menghancurkan rumah penduduk, kemudahan awam, hospital dan sekolah. Mereka menyekat bantuan yang masuk sehingga rakyat Palestin mengalami penderitaan luar biasa. Walau bagaimanapun, penentangan Hamas terus berlanjutan sehingga menyebabkan kerugian besar di pihak entiti Yahudi.
Gencatan Senjata Mengekalkan Penjajahan
Perang yang berterusan membuatkan Amerika Syarikat merancang gencatan senjata yang dipromosikan sebagai langkah awal menuju perdamaian yang kukuh dan berkekalan. Namun hakikatnya, gencatan senjata tidak lebih daripada alat untuk melemahkan penentangan supaya genosid dapat diteruskan dengan bebas.
Ini terbukti, walaupun dalam poin persetujuan gencatan senjata turut ditetapkan bahawa bantuan untuk Gaza akan dibuka sekurang-kurangnya sebagaimana termaktub dalam perjanjian 19 Januari 2025 mengenai bantuan kemanusiaan, namun perkara tersebut tidak menjadi kenyataan. Bantuan, termasuk pemulihan infrastruktur (air, elektrik dan sistem kumbahan), pemulihan hospital dan kedai roti, serta pengadaan peralatan yang diperlukan untuk membersihkan runtuhan dan membuka laluan, hanya tertulis di atas kertas tanpa pelaksanaan di lapangan.
Zionis terus menerus menjalankan genosid dan menutup akses penghantaran bantuan sehingga menyebabkan rakyat Palestin semakin menderita. Bantuan sebenarnya tersedia, tetapi tidak dapat memasuki Palestin kerana sekatan. Hakikatnya, gencatan senjata yang disusuli dengan Sidang Kemuncak Sharm El-Sheikh (13-10-2025) adalah sebahagian daripada projek Amerika yang lebih luas untuk menyusun semula bentuk penjajahan di Palestin, mengintegrasikan entiti Yahudi ke dalamnya, serta menghapuskan isu Palestin melalui proses politik yang direka selepas melemahkan rakyat Gaza dengan perang dan sekatan.
Dominasi AS dalam Pendapat Global
Dunia antarabangsa sering melihat Gaza melalui naratif yang dikawal oleh Amerika Syarikat. Apabila media global menyiarkan seolah-olah keadaan telah bertambah baik selepas gencatan senjata, hakikatnya itu hanyalah usaha untuk menutup fakta bahawa krisis semakin parah.
Dominasi Amerika Syarikat dalam membentuk pendapat global telah menyebabkan ramai pihak menganggap Gaza berada dalam keadaan baik. Sedangkan, penduduk di lapangan berhadapan dengan situasi yang semakin buruk.
Kegagalan penyelesaian yang ditawarkan Barat selama berpuluh-puluh tahun sejak entiti Yahudi menduduki Palestin semakin membuktikan bahawa mereka tidak pernah berniat menyelesaikan penjajahan tersebut. Selagi akar masalah, iaitu penjajahan Zionis tidak dicabut, penderitaan rakyat Palestin akan berterusan.
Gencatan senjata sering dipromosikan sebagai jalan keluar, namun realitinya tidak mengubah apa-apa. Sekatan terus diterapkan, bantuan dibatasi, dan penduduk Gaza kekal hidup dalam keadaan yang tidak berperikemanusiaan.
Oleh kerana itu, penderitaan Gaza tidak akan berakhir selagi dunia Islam terus bergantung pada penyelesaian rapuh yang ditawarkan Barat. Penyelesaian yang diberikan hanya bertujuan mengekalkan penjajahan. Akibatnya, rakyat Gaza terus hidup dalam penderitaan tanpa penghujung. Sudah tiba masanya umat mencari penyelesaian berlandaskan keyakinan mereka sendiri.
Mengakhiri Penjajahan
Tiada penyelesaian tuntas bagi masalah Palestin melainkan menyingkirkan penjajah dari bumi yang diberkati itu. Para pemimpin Muslim sewajarnya sedar bahawa sokongan mereka terhadap penyelesaian Barat sama sahaja dengan mengkhianati perjuangan rakyat Gaza serta mengkhianati Allah dan Rasul-Nya.
Para pemimpin itu sepatutnya menginsafi bahawa Allah SWT tidak meredhai apabila mereka memberikan jalan kepada penjajah untuk menguasai umat Islam. Allah Taala menegaskan dalam firman-Nya, “Dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.” [TMQ An-Nisa (4): 141]
Ayat tersebut jelas menegaskan larangan bagi umat Islam untuk memberi peluang kepada orang kafir menguasai umat Muslim. Terdapat juga larangan mengambil Yahudi sebagai penolong, “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Nasrani itu sebagai teman rapat…” [TMQ Al-Maaidah (5): 51]
Para penguasa itu sepatutnya membantu Gaza dengan menggerakkan kekuatan ketenteraan untuk melawan entiti Yahudi. Angkatan tentera tidak boleh kembali sebelum mereka berjaya mengalahkan penjajah dan mengusirnya dari bumi Palestin, atau mereka gugur sebagai syahid dalam mempertahankan saudara mereka. Sebagaimana firman Allah Taala, “Dan jika mereka meminta pertolongan kepada kamu dalam perkara (menentang musuh untuk membela) agama, maka wajiblah kamu menolongnya” [TMQ Al-Anfal (7): 72]
Sejak awal penjajahan, masyarakat Gaza telah sedaya upaya melakukan penentangan terhadap entiti Yahudi. Namun kekuatan mereka tidak seimbang dengan kekuatan penjajah, sehingga perjuangan tersebut belum mencapai kemenangan. Dalam masa yang sama, para penguasa negeri-negeri kaum Muslim hanya berdiam diri tanpa memberi bantuan.
Keadaan ini sepatutnya menyedarkan umat Islam tentang keperluan kepada Khilafah yang telah lama runtuh. Khilafah merupakan institusi politik yang menjadi perisai kepada seluruh umat Islam. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya imam (khalifah) adalah perisai; mereka berperang di belakangnya dan berlindung kepadanya.” (HR Muslim).
Khilafah bukan sekadar struktur pemerintahan, tetapi mekanisme nyata yang akan menghapuskan segala bentuk penjajahan terhadap rakyatnya. Dengan kekuatan ketenteraan yang terpusat, dasar luar negeri yang bebas serta kesatuan wilayah umat Islam, Khilafah mampu menolak dominasi kuasa global dan melindungi nyawa umat Islam di mana sahaja mereka terancam, termasuk di Gaza.
Khilafah Perlu Diperjuangkan
Namun, Khilafah tidak akan hadir dengan sendirinya. Ia perlu diperjuangkan dan terus disuarakan dengan lantang melalui dakwah Islam yang bersifat ideologi, iaitu dakwah yang menjelaskan bahawa Islam bukan sekadar ajaran ritual, tetapi sistem kehidupan yang lengkap merangkumi politik, ekonomi, pertahanan serta hubungan antarabangsa. Tugas dakwah ideologi adalah menyeru umat kepada penerapan Islam secara menyeluruh di bawah naungan negara Khilafah.
Para pendakwah ideologi yang memperjuangkan tegaknya agama Allah akan menjadi golongan yang mendapat pujian Rasulullah SAW, “Akan sentiasa ada segolongan dari umatku yang teguh di atas perintah Allah. Tidak akan memudaratkan mereka sesiapa yang merendahkan atau menentang mereka sehingga datang ketentuan Allah dan mereka memperoleh kemenangan atas manusia.” (HR Muttafaqun ‘alaih)
Dengan penyatuan di bawah naungan Khilafah, umat Islam akan menjadi kuat. Dengan kekuatan itulah penjajah dapat dihapuskan dari bumi Palestin melalui jihad. Sejarah telah membuktikan bahawa sepanjang Khilafah berdiri, bumi Palestin sentiasa terpelihara. Ada Khalifah Umar bin al-Khattab yang membuka Palestin, ada Salahuddin al-Ayyubi yang merebut kembali Palestin daripada Tentera Salib, dan ada Sultan Abdul Hamid II yang enggan menyerahkan walau seinci tanah Palestin kepada Yahudi. Mereka semua menjalankan amanah Allah untuk menjaga bumi Palestin yang diberkati daripada tangan penjajah yang berusaha menguasainya.
Manakala kita pula adalah sebahagian daripada umat yang dipanggil oleh Allah untuk membantu mereka dan membebaskan Baitul Maqdis. Sepatutnya kita malu kepada anak-anak Palestin. Mereka lahir di bawah dentuman bom, hidup berlantaikan bumi dan beratapkan langit, tanpa bekalan makanan yang mencukupi, namun tetap tegar mempertahankan Palestin. Mereka mengetahui bahawa janji Allah lebih kukuh daripada bangunan-bangunan yang runtuh.
Gaza sedang memanggil dengan seruan, “Ainal Muslimun?” (di manakah umat Islam?) Jika kita hanya diam tanpa tindakan, maka setiap jeritan, setiap tangisan dan setiap titisan darah mereka akan menuntut pertanggungjawaban di hadapan Allah SWT atas sikap berdiam diri kita.
Saudaraku, mereka telah membayar dengan darah mereka. Kini giliran kita untuk berjuang tanpa henti, bekerja bersungguh-sungguh menegakkan kembali Khilafah ‘ala minhaj an-nubuwwah. Hanya dengan Khilafah, umat ini akan kembali memiliki pelindung yang akan membebaskan Palestin, Kashmir, Sudan dan seluruh wilayah Islam yang berada di bawah cengkaman penjajah.
Allah Taala berfirman, “Dan pada ketika berlakunya (kemenangan Rom) itu, orang-orang yang beriman akan bergembira -Dengan kemenangan yang diberi Allah. Dia memberi kemenangan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan Dia yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengasihani.” [TMQ Ar-Rum (30): 4–5]
Sumber: https://muslimahnews.net/2025/11/22/39732/
#FreePalestine #FreePalestineWithJihadAndKhilafah #ArmiesToAqsa #ArmiesToGaza
#TegakKhilafah #KhilafahPerisaiUmat