Bahtera Kita Akan Berlabuh Menuju Syurga
Oleh: Ummu Nashir N.S.
Setiap orang beriman pasti mengharapkan syurga sebagai tempat abadi untuk kembali. Bukan hanya untuk dirinya sendiri, tetapi juga berharap dapat berkumpul semula kelak di syurga bersama seluruh ahli keluarga. Seorang suami ingin sentiasa bersama isteri dan anak-anaknya, baik di dunia mahupun di akhirat kelak bersama di syurga-Nya, begitu juga sebaliknya.
Sudah tentu harapan ini tidak akan terealisasi dengan begitu sahaja. Setiap pasangan suami isteri dan keluarga Muslim perlu berusaha keras untuk merealisasikannya. Walaupun pada saat ini kita belum dapat merasakan syurga, namun Allah SWT telah menggambarkan keadaan kehidupan di tempat mulia itu. Syurga merupakan tempat kembalinya orang-orang beriman, yang di dalamnya penuh dengan kenikmatan hakiki.
Janji Allah bagi Orang-Orang Beriman
Allah SWT juga telah menjelaskan bahawa kelak di akhirat setiap ibu bapa akan bersama anak dan keturunan mereka di dalam syurga-Nya. Allah SWT berfirman, “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” [TMQ At-Tuur (52): 21]
Dalam tafsir Ibnu Katsir dijelaskan bahawa Allah SWT menceritakan tentang kurniaan, pemberian dan kebaikan-Nya kepada makhluk-Nya. Orang-orang mukmin itu, apabila anak cucu mereka mengikuti mereka dalam keimanan, maka anak cucu tersebut akan disertakan bersama mereka dalam kedudukan yang sama, walaupun anak cucu mereka belum mencapai tingkat amalan seperti mereka. Dengan demikian, hati dan pandangan para ayah menjadi sejuk dengan bertemunya mereka bersama anak-anak mereka sehingga mereka dapat berkumpul bersama dalam keadaan yang sebaik-baiknya dari segala segi. Allah telah menghilangkan kekurangan dari amal mereka dan menggantikannya dengan kesempurnaan amal, tanpa mengurangi amal dan kedudukan asal, membayangkan adanya persamaan antara mereka.
As-Sauri telah meriwayatkan daripada Amr bin Murrah, daripada Sa‘id bin Jubair, daripada Ibnu Abbas yang menyatakan bahawa sesungguhnya Allah benar-benar mengangkat keturunan orang mukmin menjadi setaraf dengannya, walaupun amalan mereka berada di bawahnya, supaya dengan keberadaan mereka bersama buah hatinya, mereka akan merasa gembira. Kemudian Ibnu Abbas membacakan ayat ini (At-Tuur: 21). Menurut Al-Qurtubi, mungkin sahaja kesolehan seseorang itu adalah berkat kesolehan datuk moyangnya. Itulah sebabnya Ibnu Al-Musayyib pernah berkata kepada anaknya, “Sesungguhnya aku akan memanjangkan solatku demi dirimu, dengan harapan aku dijaga, begitu juga dirimu.”
Daripada Ibnu Abbas, Nabi SAW bersabda, “Apabila seseorang memasuki syurga, maka dia akan ditanya tentang kedua ibu bapanya, isterinya dan anak-anaknya. Lalu dikatakan kepadanya, “Sesungguhnya mereka belum dapat mencapai darjatmu.” Maka dia berkata, “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah beramal untuk diriku dan juga untuk mereka.” Maka diperintahkan agar mereka disatukan (dikumpulkan) bersamanya.” Setelah itu Ibnu Abbas RA membaca firman Allah, “Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman…” [TMQ At-Tuur (52): 21] sehingga akhir ayat.
Al-Aufi telah meriwayatkan daripada Ibnu Abbas berkenaan ayat ini, “Orang-orang yang anak cucunya beriman lalu mengerjakan amal ketaatan kepada-Ku, maka Aku akan menyatukan keturunan mereka dengan mereka di dalam syurga, begitu juga anak-anak kecil mereka.”
Daripada beberapa penjelasan tafsir dan hadis Rasulullah SAW tersebut, jelas bahawa bukan semata-mata di dunia, keberkatan ibadah kedua ibu bapa juga sampai kepada anak-anak mereka di akhirat kelak. Di akhirat, kesolehan ibu bapa dapat meninggikan darjat syurga anak-anak mereka. Namun kesolehan ibu bapa tidak secara automatik menjadi jaminan kebahagiaan anak tanpa syarat. Jika seorang anak melakukan dosa, dia boleh sahaja dimasukkan terlebih dahulu ke dalam neraka. Dalam kitab Al-Tahrir wa al-Tanwir karya Ibnu ‘Asyur disebutkan bahawa pemilihan lafaz أَلْحَقْنَا yang bererti “Kami pertemukan mereka” menunjukkan kefahaman bahawa anak-anak tersebut mungkin terlebih dahulu dimasukkan ke neraka untuk membersihkan dosa mereka, kemudian barulah dimasukkan ke syurga pada darjat yang setara dengan ibu bapa mereka. Inilah kurniaan Allah SWT bagi orang-orang yang beriman.
Keluarga Muslim perlu Berusaha Meraih Syurga
Syurga tidak dapat dicapai dengan serta-merta, tetapi memerlukan usaha dan kerja keras. Sudah tentu semuanya mesti dilaksanakan mengikut aturan yang dikehendaki oleh Sang Maha Pembuat Hukum dan tidak boleh menyalahinya. Dengan tegas Allah SWT memerintahkan para ibu bapa, khususnya suami, untuk menjaga diri dan keluarga daripada api neraka. Sebagaimana firman-Nya, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.” [TMQ At-Tahrim (66): 6]
Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam membawa keluarga mereka menuju syurga Allah dan menjauhkan mereka daripada dahsyatnya api neraka. Mereka juga perlu menjadikan keluarga sebagai taman syurga bagi seluruh ahli keluarga. Apakah usaha yang boleh dilakukan agar kita dapat meraih syurga-Nya bersama keluarga?
- Mencintai Allah di atas segala-galanya dan berusaha memeliharanya.
Keluarga Muslim yang mencintai Allah di atas segala-galanya akan patuh dan tunduk terhadap apa jua yang dikehendaki oleh Zat yang dicintainya. Cinta kita kepada Allah bukan sekadar ungkapan secara lisan, tetapi mesti dibuktikan melalui sikap dan tingkah laku. Perkara ini perlu sentiasa dipupuk dalam diri semua ahli keluarga. Dengan demikian, keluarga akan menjadi tempat yang istimewa bagi seluruh ahli keluarga.
Kecintaan yang kuat kepada Allah SWT akan menjadikan Allah sebagai tempat bergantungnya keluarga Muslim. Ini bermaksud, meletakkan syariat Islam sebagai panduan dan penyelesaian bagi segala masalah yang timbul dalam kehidupan berkeluarga. Halal dan haram akan dijadikan landasan, bukan hawa nafsu. Di sinilah pentingnya semua ahli keluarga, terutama ibu bapa, untuk mengukuhkan pemahaman tentang syariat Islam dan berusaha sedaya upaya melaksanakannya mengikut tuntunan Allah dan Rasul-Nya.
Dalam perjalanan rumah tangga, perbezaan pendapat dan perselisihan mungkin berlaku dalam kalangan ahli keluarga. Namun, dengan menjadikan syariat Islam yang sempurna dan tidak lapuk ditelan zaman sebagai asas berkeluarga, semua itu akan dapat diatasi. Dengan demikian, keberkatan dan ketenangan akan senantiasa melimpahi keluarga kita. Seterusnya, kita bersama pasangan serta semua anak-anak kita akan sampai ke pelabuhan terakhir, iaitu syurga-Nya.
- Jadikan akhirat sebagai orientasi kehidupan keluarga.
Daripada Zaid bin Thabit RA, Rasulullah SAW bersabda, “Sesiapa yang matlamat hidupnya adalah dunia, Allah akan mencerai-beraikan urusannya, menjadikan kemiskinan di bawah bayangan matanya dan dia tidak akan mendapat dunia kecuali apa yang telah ditetapkan untuknya. Sesiapa yang matlamat hidupnya adalah tanah akhirat, Allah akan mengumpulkan urusannya, menjadikan kekayaan di hatinya, dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan hina.” (HR. Ahmad).
Daripada hadis ini, terdapat tiga kerugian bagi orang yang menjadikan dunia sebagai orientasi hidupnya. Sebaliknya, terdapat tiga keuntungan bagi mereka yang menjadikan akhirat sebagai orientasi hidupnya tanpa mengabaikan urusan dunia. Sudah tentu kita perlu berusaha menjadikan akhirat sebagai orientasi hidup kita untuk mendapatkan tiga manfaat ini. Pertama, setiap urusan akan dipermudahkan untuk mencapai kejayaan dan dijauhkan daripada kegagalan. Kedua, diberikan perasaan cukup (kekayaan) di hatinya supaya dia sentiasa bersyukur. Ketiga, diberi kecukupan dalam hidup. Kekayaan (duniawi) malah akan mengejarnya (mendekatinya). (Rujuk: Surah Asy-Syura: 20). Sudah sepatutnya, setiap keluarga Muslim sentiasa menjadikan akhirat sebagai orientasi hidup mereka agar syurga dapat dicapai. Insya-Allah.
- Membina diri dan keluarga dengan tsaqafah Islam.
Dalam apa jua keadaan, menuntut ilmu merupakan kewajipan bagi umat Islam. Hal ini boleh dilakukan dengan mempelajari buku-buku tentang Islam atau menghadiri majlis-majlis ilmu. Aktiviti-aktiviti ini dapat diusahakan untuk meningkatkan pemahaman Islam dalam kalangan ahli keluarga. Oleh itu, penting untuk membina diri dan keluarga dengan tsaqafah Islam supaya dapat menjadikan syariat Islam sebagai ukuran kehidupan. Sebagai ketua keluarga, seorang suami atau ayah wajib mendidik isteri dan anak-anaknya agar semua ahli keluarga terpelihara daripada api neraka. Demikian juga seorang isteri atau ibu, selain berperanan sebagai pendamping suami, dia juga merupakan pengasuh dan pendidik utama bagi anak-anaknya.
Tambahan pula jika aktiviti ini dilakukan bersama keluarga, tentunya akan menjadi lebih menyenangkan. Kita juga akan memperoleh pemahaman Islam yang lebih mendalam melalui perbincangan bersama ahli keluarga sehingga semua semakin memahami ajaran Islam. Dengan mengikuti pengajian secara rutin, ibu bapa akan lebih mudah mengukuhkan pemahaman Islam kepada anak-anaknya. Bahkan mengikuti pengajian secara bersama-sama boleh menjadi medan untuk membina dan mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Hal ini akan dapat diterapkan dalam keluarga, termasuk apabila ada ahli keluarga yang melanggar syariat; akan menjadi lebih mudah untuk diluruskan dan dinasihati.
- Memberi teladan baik kepada anak.
Ibu bapa merupakan contoh teladan bagi anak-anaknya, baik dari segi ucapan mahupun perbuatan harian. Jika ibu bapa soleh, taat melaksanakan syariat dan dekat dengan Allah SWT, nescaya anak-anak akan mencontohi mereka kerana melihat akhlak dan kebiasaan mulia daripada kedua-duanya. Ibu bapa yang soleh akan mampu membentuk anak-anak yang soleh juga. Perkara ini boleh dimulakan dengan menanamkan akidah yang benar dan menjadikan kecintaan tertinggi hanya kepada Allah dan Rasul-Nya. Ibu bapa juga perlu memperkenalkan syariat Islam serta mendidik anak-anak untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Dengan demikian, mereka akan sentiasa menjadikan syariat Islam sebagai landasan dalam melangkah di mana jua mereka berada.
Ibu bapa yang soleh akan mampu menemani dan membimbing anak-anak mereka agar mencintai Islam serta berusaha mengamalkan syariat-Nya dengan penuh ketaatan. Akhirnya, anak-anak akan menjadi anak-anak yang soleh juga. Bukan hanya ibu bapa yang akan dapat membawa anak-anaknya ke syurga, begitu juga sebaliknya. Sudah tentu kita semua amat menginginkan agar seluruh ahli keluarga kita dapat berkumpul bersama di syurga-Nya pada hari akhir kelak.
- Saling mendoakan.
Sudah sepatutnya kita sentiasa mendoakan pasangan dan anak-anak kita dalam setiap kesempatan, khususnya pada waktu-waktu mustajab. Lebih-lebih lagi apabila kita sedang dilanda kesulitan, musibah, keresahan dan kebimbangan. Mohonlah agar Allah menghilangkan semuanya dan memberikan segala yang terbaik untuk keluarga kita.
Kekuatan doa seorang isteri merupakan senjata terbesar dan paling ampuh dalam setiap langkah dan usaha suami. Rasulullah SAW bersabda, “Sesungguhnya doa yang segera dikabulkan adalah doa seorang isteri kepada suaminya yang tidak berada di tempat yang sama atau saling berjauhan.” (HR. Tirmidzi)
Tidak ada tempat bagi kita untuk memohon pertolongan dan pengampunan selain hanya kepada Allah Taala. Pasangan dan anak-anak kita hakikatnya merupakan milik Allah Taala. Dia yang menggenggam hati mereka. Semoga Allah menjadikan keluarga kita sentiasa taat kepada-Nya, melindungi pasangan dan anak-anak kita, memberikan penyelesaian terbaik bagi setiap kesulitan yang kita hadapi, serta melapangkan rezeki untuk keluarga kita. Semoga Allah memudahkan bahtera hidup kita berlabuh menuju syurga-Nya. Amin.
#KeluargaMuslimIdeal
#KeluargaTarbiyah
#DakwahBermulaDiRumah
#RumahTaatUmatKuat