Perangkap Jurang Generasi (Generation Gap) dan Algoritma dalam Melemahkan Generasi (Bahagian 1)
Penulis: Noval Tawang
Setiap bangsa pastinya menginginkan generasi terbaik sebagai generasi penerus. Generasi merupakan harapan masa depan dan kelangsungan sesebuah peradaban. Allah Taala menciptakan golongan muda sebagai kekuatan di antara dua kelemahan, iaitu fasa kanak-kanak dan fasa tua. Allah berfirman dalam Surah ar-Rum ayat 54,
اَللّٰهُ الَّذِيْ خَلَقَكُمْ مِّنْ ضَعْفٍ ثُمَّ جَعَلَ مِنْۢ بَعْدِ ضَعْفٍ قُوَّةً ثُمَّ جَعَلَ مِنْۢ بَعْدِ قُوَّةٍ ضَعْفًا وَّشَيْبَةًۗ يَخْلُقُ مَا يَشَاۤءُۚ وَهُوَ الْعَلِيْمُ الْقَدِيْرُ
“Allah yang menciptakan kamu bermula dengan keadaan lemah, selepas berkeadaan lemah itu Dia menjadikan kamu kuat. Setelah itu DIa menjadikan kamu lemah pula serta tua beruban. Dia menciptakan apa yang dikehendaki-Nya, dan Dia jua yang Maha Mengetahui, lagi Maha Kuasa.”
Namun demikian, pelbagai isu dan permasalahan sedang melanda generasi masa kini. Banyak kes bunuh diri melibatkan golongan berusia antara 12 hingga 28 tahun, perbuatan buli dalam pelbagai bentuk yang semakin kreatif dan beraneka, keganasan yang semakin sadis, serta masalah kesihatan mental yang semakin meningkat. Selain itu, golongan muda turut terancam dengan jerat dadah, perjudian dalam talian, pinjaman dalam talian, pergaulan bebas, dan HIV. Kesemua ini menyebabkan generasi muda sering diberikan bingkai persepsi yang negatif. Belum lagi wujud tanggapan bahawa generasi muda bersifat FOMO (Fear Out of Missing Out), ketagihan teknologi, gemar bermalas-malasan, mahukan sesuatu secara segera, antisosial dan sebagainya.
Keadaan ini menjadi lebih parah selepas munculnya pengelasan generasi oleh sistem kapitalisme sebagai usaha untuk mempertentangkan dan mendiskreditkan generasi muda. Bagi kapitalisme, semakin jauh pertentangan antara generasi diwujudkan, semakin mudah segala usaha penyatuan dua generasi untuk melawan dan menewaskan kapitalisme dapat dipatahkan. Barat, khususnya Amerika Syarikat sebagai juara ideologi kapitalisme, akan memastikan kedudukan mereka tidak dapat dikejar, digugat, apatah lagi ditewaskan oleh negara lain. Justeru, mereka bersungguh-sungguh menguasai pembentukan generasi muda dan memastikan tiada pihak lain membentuk generasi yang berpotensi menumbangkan dominasi Amerika Syarikat.
Generasi muda merupakan bakal pemimpin masa hadapan dan mempunyai potensi besar sebagai ejen perubahan, malah sebagai pemimpin perubahan itu sendiri. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menyelamatkan mereka.
Pendigitalan, Fasa Interaktif dan Digital Native
Perkembangan teknologi digital mempunyai akar sejarah yang panjang, malah sejak zaman silam. Al-Khawarizmi adalah seorang ilmuan Muslim yang memperkenalkan kaedah sistematik dalam pengiraan dan penyelesaian masalah, iaitu sistem binari. Daripada namanya lahir istilah “algoritma”, iaitu satu set langkah logik yang tersusun. Konsep ini terus berkembang sehingga ke era moden apabila komputer dicipta. Mesin-mesin ini mampu melakukan pengiraan dengan sangat pantas serta menyimpan data dalam jumlah yang besar.
Daripada sinilah munculnya algoritma moden, bukan sekadar sebagai peraturan matematik, tetapi sebagai cara mesin memahami dunia. Seiring dengan kemajuan teknologi, algoritma menjadi semakin pintar. Ia mempelajari corak tingkah laku manusia melalui apa yang kita klik, tonton, dan cari. Dengan aliran data yang berterusan, algoritma mampu meramalkan keutamaan kita, malah sebelum kita sendiri menyedarinya.
Apabila internet memasuki fasa Web 2.0, dunia digital berubah daripada pasif kepada aktif. Manusia bukan sekadar membaca, tetapi turut berkongsi dan berinteraksi. Pelbagai platform interaktif muncul dengan dakwaan memudahkan komunikasi dan meluaskan pengetahuan. Namun, setelah pemilik modal menyedari nilai ekonomi data, media sosial berubah menjadi sebuah industri yang lebih menumpukan kepada jumlah pengguna. Setiap saat masa manusia diperdagangkan. Dalam ideologi sekular kapitalisme, algoritma bukan sekadar memaparkan kandungan. Platform digital berubah daripada alat teknikal kepada medium penyebaran ideologi.
Generasi muda membesar sebagai digital native. Media sosial bukan sekadar alat komunikasi, sebaliknya menjadi ruang untuk mereka membina identiti, simbol, dan gaya hidup. Dengan sudut pandang yang berbeza daripada generasi terdahulu, mereka hidup dalam realiti maya yang sentiasa dibentuk oleh ideologi kapitalisme. Kajian Universiti Negeri Surabaya terhadap 355 pelajar sekolah menengah pertama menunjukkan purata masa skrin mencecah 5.9 jam sehari, kebanyakannya digunakan untuk media sosial dan permainan digital. Dalam erti kata lain, masyarakat Indonesia menghabiskan kira-kira 6 jam sehari menggunakan telefon pintar.
Tidak menghairankan apabila generasi ini berdepan dengan permasalahan yang kompleks. Data Badan Narkotika Nasional (BNN) pada tahun 2023 merekodkan seramai 3.3 juta salahguna dadah, dengan sebahagian besarnya terdiri daripada golongan remaja. Kajian kesihatan mental pula menunjukkan kadar ketagihan internet yang tinggi, kemurungan, niat untuk membunuh diri, serta gejala awal psikosis. Fenomena seperti FOMO memburukkan lagi keadaan ini dan menjerat remaja dalam penggunaan kandungan digital tanpa henti. Kandungan digital yang menonjolkan konflik seperti jurang generasi dihasilkan dan diperkukuh oleh algoritma kerana lebih berkesan dalam mengekalkan perhatian pengguna.
(Bersambung ke Bahagian 2)
#generasi #perangkapjuranggenerasi #juranggenerasi #agendabarat #generationgap