[Kenyataan Media]
Kekecewaan Baru: Penduduk Gaza Mati Kedinginan Selepas Dibiarkan Menderita Genosid Selama Dua Tahun!
(Terjemahan)
Bencana yang menimpa Palestin yang diduduki terus berlaku tanpa henti. Sejak kejatuhan Khilafah, yang pemerintahnya pernah menyatakan, “Palestin adalah tanah yang disirami dengan darah nenek moyangku, dan jika Khilafah jatuh, kamu akan mengambilnya tanpa sebarang harga,” penjajahan British (yang dikenali sebagai Mandat) telah menggantikannya.
Dan hingga ke hari ini, entiti Yahudi penjajah yang dicipta oleh Britain dan disokong oleh Barat dengan segala kekayaan, kelengkapan, pengetahuan dan kekuatan mereka, terus membunuh penduduk di tanah yang diberkati ini, menzalimi yang muda dan yang tua tanpa belas kasihan, serta mengancam para tahanan dengan kematian dan hukuman bunuh, sementara dunia hanya memerhatikan. Gaza telah dikepung sejak bertahun-tahun dan dibedil tanpa henti dengan kekejaman yang tidak terbayangkan, sehingga mengakibatkan lebih tujuh puluh ribu orang gugur syahid. Dan dunia Islam, dengan tenteranya dan sebahagian ulamanya, hanya melihat ibarat orang buta dan mendengar rintihan para wanita yang berduka orang tersayang ibarat orang pekak!
Selama bertahun-tahun hidup di bawah kepungan, dan dua tahun di bawah pengeboman yang meragut nyawa anak-anak dan suami mereka, wanita Gaza terus bertahan tanpa sebarang sokongan, memperlihatkan ketabahan dan keberanian yang tiada bandingannya. Hingga ke hari ini, mereka masih menderita. Ada yang menjadi ibu kepada para syuhada, ada yang menjadi isteri para syuhada, ada yang menjadi ibu kepada anak-anak yang kehilangan anggota badan, ada yang menunggu insan tersayang yang tertimbus di bawah runtuhan, dan ada yang suaminya dipenjarakan…
Dan selepas gencatan senjata yang kononnya berlaku, yang ternyata hanyalah janji kosong, para perantara, pemerintah dan perunding terus bersekongkol menentang Gaza. Ini bukan lagi sekadar pengkhianatan atau sikap berdiam diri; ia adalah keterlibatan secara langsung. Mereka mengekalkan kepungan, menghalang keperluan asas daripada memasuki Semenanjung Gaza, dan tetap tidak mengendahkan rintihan hari demi hari daripada para lelaki, wanita dan kanak-kanak Gaza. Dengan ketibaan musim sejuk, Gaza secara literal telah bertukar menjadi sebuah tasik yang luas, namun dipenuhi tubuh-tubuh yang menggigil kedinginan dan sisa-sisa karung tepung yang dijadikan tempat perlindungan sementara—karung yang dunia cuba yakinkan sebagai mencukupi untuk menghangatkan manusia! Sebuah tasik yang dipenuhi air mata kanak-kanak yang menggigil akibat kedinginan melampau, serta air mata ibu bapa yang berdukacita, menangis dalam keputusasaan kerana tidak berdaya melindungi anak-anak mereka daripada kedinginan yang membawa maut ini.
Wahai umat, yang Nabinya SAW bersabda:
«مَا آمَنَ بِي مَنْ بَاتَ شَبْعَانَ وَجَارُهُ جَائعٌ إِلَى جَنْبِهِ وَهُوَ يَعْلَمُ بِهِ»
“Tidak beriman kepadaku seseorang yang tidur dalam keadaan kenyang sedangkan jirannya di sebelahnya kelaparan, dan dia mengetahuinya.”
Penduduk Gaza, di jantung dunia Islam, sedang kelaparan dan kehausan, malah kini sedang nazak diancam kedinginan. Setakat ini, 14 nyawa yang tidak bersalah, termasuk 6 orang kanak-kanak, telah terkorban akibat kedinginan melampau disebabkan oleh ribut dan hujan lebat, yang mengakibatkan runtuhnya kira-kira 15 buah rumah di beberapa kawasan kejiranan di Bandar Gaza. Pasukan pertahanan awam masih menerima dan bertindak balas terhadap ratusan panggilan kecemasan. Mereka turut melaporkan bahawa lebih 27,000 khemah milik penduduk yang kehilangan tempat tinggal telah dinaiki air, dihanyutkan oleh banjir kilat, atau musnah akibat angin kencang.
Penduduk Gaza merintih: “Kamu tidak menyelamatkan kami daripada pengeboman tanpa henti, maka adakah kamu akan menyelamatkan kami daripada mati kedinginan?”
Kami di Bahagian Muslimah, Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir, mengangkat suara permintaan pertolongan kepada umat ini: “Tidakkah sudah tiba masanya kalian menanggalkan selimut kelemahan, bangkit dan mengembalikan kegemilanganmu yang dahulu? Gaza telah memulakan perjalanan menuju kemuliaan, maka mengapa kalian memutuskan tangannya dan menghalangnya daripada menyempurnakan perjalanan itu?!”
Ini adalah seruan bantuan kepada umat yang beriman. Para syuhada Gaza berada dalam rahmat Allah, maka janganlah kalian terus mengecewakan Gaza, bimbang rahmat Allah berpaling daripadamu kepada yang lain!
﴿إِنَّ فِي هَذَا لَبَلَاغًا لِقَوْمٍ عَابِدِينَ﴾
“Sesungguhnya Al-Quran ini mengandungi keterangan-keterangan yang cukup bagi orang-orang yang (cita-citanya) mengerjakan ibadat (kepada Allah dengan berilmu).”
[TMQ Al-Anbiya’ (106): 106]
Bahagian Muslimah
Pejabat Media Pusat
Hizbut Tahrir
#PeduliUmmah #PeduliGaza #SaveGaza #FreePalestine #AynalMuslimun #WeNeedKhilafah #PalestineNeedsJihad #SpeakUpforPalestine