[Kenyataan Media] Keganasan Seksual Sistematik Terhadap Wanita Sudan Tidak Mendapat Sebarang Tindak Balas Akibat Ketiadaan Negara yang Memelihara Maruah Wanita Muslim
(Terjemahan)
Pada hari Khamis, 11 Disember, pertubuhan The Strategic Initiative for Women in the Horn of Africa melaporkan bahawa mereka telah mendokumentasikan hampir 1,300 insiden keganasan seksual terhadap wanita di 14 buah negeri di Sudan sejak perang tercetus di negara itu pada April 2023, dengan Pasukan Sokongan Pantas (Rapid Support Forces, RSF) dipersalahkan dalam 87% kes. Laporan tersebut menggambarkan keganasan seksual terhadap wanita digunakan sebagai senjata sistematik dalam konflik tersebut, sambil menyatakan bahawa ia bersifat “meluas, berulang, disengajakan dan sering disasarkan”. Pemerkosaan merangkumi tiga perempat daripada insiden yang didokumentasikan, manakala 225 kes melibatkan kanak-kanak, ada yang seawal usia 4 tahun. Insiden berlaku di rumah, tempat awam dan turut merangkumi penahanan jangka panjang wanita yang menjadi sasaran penyeksaan, pemerkosaan beramai-ramai dan perkahwinan paksa.
Pada Ahad, 7 Disember, kumpulan perubatan Sudan melaporkan bahawa berpuluh-puluh kanak-kanak dan wanita telah diserang secara seksual dan diperkosa ketika melarikan diri daripada penangkapan di El Fasher, Darfur oleh RSF pada Oktober lalu. Pada Mei tahun ini, Médecins Sans Frontières (MSF) melaporkan bahawa di wilayah Darfur Selatan sahaja, petugasnya telah merawat 659 mangsa keganasan seksual antara Januari hingga Mac tahun ini, dengan lebih dua pertiga daripadanya merupakan kes pemerkosaan. Penyelaras Kecemasan MSF, Clair San Filippo, menyatakan: “Wanita dan kanak-kanak perempuan tidak berasa selamat di mana-mana. Mereka diserang di rumah mereka, ketika melarikan diri daripada keganasan, ketika mendapatkan makanan, mengutip kayu api, atau bekerja di ladang. Mereka memberitahu kami bahawa mereka berasa terperangkap.”
Apa yang telah dialami oleh saudari-saudari kita di Sudan dalam konflik ini adalah kekejaman yang sukar digambarkan dengan kata-kata, termasuk diperkosa di hadapan anak-anak dan ahli keluarga mereka, serta menjadi sasaran kebuluran, penyeksaan dan segala bentuk layanan tidak berperikemanusiaan oleh kumpulan militia. Keganasan seksual sistematik ini mengingatkan kita kepada apa yang dialami oleh saudari-saudari Palestin kita di penjara-penjara pendudukan Yahudi; apa yang dialami oleh saudari-saudari Rohingya kita di tangan tentera Myanmar; apa yang dialami oleh saudari-saudari Kashmir kita oleh tentera pendudukan India; serta apa yang dialami oleh saudari-saudari Uyghur kita di kem tahanan rejim China.
Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada umat Islam sepanjang zaman betapa besarnya nilai maruah wanita Muslim dalam Islam dan betapa pentingnya ia sentiasa dipelihara—apabila Baginda mengusir seluruh kabilah Yahudi Bani Qaynuqa dari negaranya di Madinah akibat penghinaan mereka terhadap seorang wanita Muslim. Para pemimpin umat Islam terdahulu mengikuti teladan ini dalam mempertahankan maruah wanita Muslim, seperti Khalifah al-Mu‘tasim yang mengerahkan pasukan tentera untuk menyelamatkan seorang wanita Muslim di Amuriyah, Turkiye, yang ditawan dan dianiaya oleh Rom; serta Khalifah al-Walid bin Abdul Malik yang menghantar panglima besar, Muhammad bin Qasim, bersama tentera yang hebat untuk menyelamatkan sekumpulan wanita Muslim yang dipenjarakan oleh raja Hindu India yang zalim, Raja Dahir.
Jadi, sebagai sebuah ummah, bagaimana kita boleh sampai ke tahap di mana maruah saudari-saudari kita dicabuli secara besar-besaran di seluruh dunia, tubuh mereka dijadikan senjata perang, namun hal ini tidak mencetuskan sebarang tindak balas daripada mana-mana negara, pemerintah atau tentera di negeri-negeri umat Islam?!! Rasulullah SAW bersabda:
«الْإِمَامُ رَاعٍ وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْ رَعِيَّتِهِ»
“Imam (Khalifah) itu adalah penjaga dan dia bertanggungjawab terhadap rakyatnya.”
Hari ini, dengan ketiadaan negara yang dipimpin Khalifah (Khilafah) dan sistem Islam yang diperintah olehnya—iaitu Khilafah yang berlandaskan manhaj kenabian—wanita Muslim telah menjadi mangsa setiap kekuasaan, rejim dan entiti yang korup, tanpa pelindung yang menjaga maruah dan darah mereka. Pembahagian tanah-tanah kita kepada negara-negara bangsa, yang dipisahkan oleh sempadan buatan warisan penjajah, telah menjadikan kita berpecah-belah dan lemah sehingga tiada satu pun negeri yang bangkit mempertahankan saudari-saudari kita.
Sebagai umat Islam, tidak memadai sekadar kita menitiskan air mata atas penderitaan mereka atau merasa sedih terhadap nasib mereka; kita diwajibkan oleh Allah SWT untuk berusaha menegakkan Khilafah yang akan menamatkan mimpi ngeri yang sedang ditanggung oleh saudari-saudari kita ini. Oleh itu, lantangkanlah suara kalian dengan seruan untuk mengembalikan sistem Allah SWT, yang akan menyatukan wilayah kita, tentera kita dan sumber kita, serta meletakkan perlindungan kehormatan wanita beriman sebagai tonggak utama negara.
Allah SWT berfirman:
﴿وَالَّذِينَ كَفَرُوا بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ إِلَّا تَفْعَلُوهُ تَكُنْ فِتْنَةٌ فِي الْأَرْضِ وَفَسَادٌ كَبِيرٌ﴾
“Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.”
[TMQ Al-Anfal (8): 73]
Bahagian Muslimah
Pejabat Media Pusat
Hizbut Tahrir
#PeduliUmmah #PeduliSudan #SaveSudan #Sudan #SudanCrisis #Muslimah