Rejab dan Kemenangan Sistem Politik Islam
Oleh: Nabila Zidane (Jurnalis)
Rejab bukan sekadar bulan mulia dalam kalender Islam. Ia adalah bulan memori kemenangan, ketika Allah berkali-kali menampakkan pertolongan-Nya kepada kaum Muslim.
Dalam sejarah, Rejab menjadi saksi runtuhnya rejim zalim dan bangkitnya peradaban yang berlandaskan Islam. Persoalannya, mengapa hari ini umat malah terpuruk? Dan apakah rahsia kemenangan Allah dapat diraih kembali?
Rejab dalam Jejak Kemenangan Sejarah
Dalam Al-Quran surah At-Taubah ayat 36, Allah menegaskan empat bulan mulia, salah satunya Rejab. Para ulama menjelaskan bahawa kemuliaan ini bererti amal soleh dilipatgandakan dan dosa kezaliman dilipatgandakan.
Tidak hairan jika banyak peristiwa besar yang Allah takdirkan di bulan ini. Beberapa tonggak sejarah penting berlaku dalam bulan Rejab,
Pertama: 27 Rejab 583 H (Pembebasan Baitul Maqdis)
Salahuddin al-Ayyubi merebut kembali Al-Quds daripada pasukan Salib. Kemenangan ini bukan semata strategi ketenteraan, tetapi buah daripada pembinaan iman, kesatuan umat, dan kepemimpinan yang tunduk pada syariat.
Kedua: Rejab 658 H (Keruntuhan Kekuasaan Mongol di Ain Jalut)
Pasukan Muslim menghentikan perluasan Mongol yang sebelum ini tidak terkalahkan. Kemenangan ini lahir daripada keberanian, keimanan, dan kepimpinan yang menyatukan barisan umat.
Ketiga: Rejab 1342 H (Keruntuhan Khilafah Uthmaniyah)
Tragiknya, bulan yang sama juga menjadi saksi hilangnya payung politik umat. Sejak saat itu, dunia Islam terpecah menjadi negara-negara kecil di bawah pengaruh Barat. Inilah titik tolak kemunduran sistemik.
Sejarah Rejab mengajarkan satu perkara, bahawa kemenangan dan kekalahan umat sentiasa terkait dengan kedudukan Islam sebagai sistem hidup. Saat Islam memimpin, umat dimuliakan. Saat Islam dipinggirkan, umat terpuruk.
Mengapa Umat Terpuruk Hari Ini?
Syaikh Taqiyuddin an-Nabhani menjelaskan bahawa kemunduran umat bukan kerana Islam lemah, melainkan kerana Islam tidak lagi menjadi rujukan sistemik. Dalam Nizhamul Islam, beliau menegaskan bahawa ketika umat menerapkan sekularisme (memisahkan agama daripada kehidupan umum) dan kapitalisme (menjadikan material sebagai dasar), maka hukum Allah tersingkir daripada politik, ekonomi, dan pendidikan.
Kesannya, identiti Islam mundur dan hanya menjadi sebatas ritual peribadi, bukan ideologi peradaban.
Negara-negara Muslim terikat pada kepentingan geopolitik dan pasaran global, umat kehilangan arah perjuangan, terpecah, dan mudah dipengaruhi oleh agenda Barat.
Dalam kerangka ini, kemunduran adalah konsekuensi logik dari berpalingnya umat daripada Islam kaffah sebagai satu sistem yang mengatur kehidupan.
Rahsia Kemenangan: Kembali pada Metode Kenabian
Bagaimana kemenangan Allah diraih kembali? Jawapannya ada pada sejarah dan dalil-dalil. Allah berfirman,
“Jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.” [TMQ Muhammad (47): 7]
Menolong agama Allah bererti mengembalikan Islam sebagai standard kehidupan, bukan sekadar simbol. Di sinilah dakwah ideologi Islam menjadi kuncinya.
Syaikh Taqiyuddin menekankan bahawa perubahan besar tidak lahir daripada perbaikan moral secara sebahagian, melainkan lahir daripada pembinaan pemikiran dan keperibadian yang terorganisasi.
Metode Rasulullah SAW menunjukkan tiga tahap utama:
Pertama: Tatsqif (Pembinaan)
Menanamkan akidah dan tsaqafah Islam hingga lahir individu berkepribadian Islam. Dengan demikian akan lahir generasi yang kuat, sedar dan fokus terhadap misi, dan berani.
Kedua: Tafa’ul ma‘al ummah (Berinteraksi dengan Umat)
Menyebarkan kesedaran, mengkritik kebatilan sistem, dan menumbuhkan dukungan umum.
Ketiga: Istinshar (Mencari dukungan kekuatan sosial-politik)
Mencari pertolongan atau dukungan daripada pihak yang mempunyai kuasa atau kekuatan tentera seperti pemimpin atau tokoh umat agar Islam dapat diterapkan sebagai sistem yang melindungi jiwa, harta, dan kehormatan manusia.
Semua ini bukan romantisme sejarah, tetapi metodologi perubahan yang telah terbukti melahirkan peradaban.
Rejab sebagai Momentum Ruhiyah dan Ideologi Islam
Rejab mengingatkan bahawa pertolongan Allah amat dekat ketika umat kembali memasang niat dan arah. Rejab adalah bulan muhasabah kolektif, adakah kita masih menjadikan Islam sebagai pedoman hidup atau hanya hiasan identiti?
Ibn Rejab al-Hanbali berkata,
“Rejab adalah bulan menanam, Syaaban bulan menyiram, Ramadhan bulan menuai.”
Menanam di sini bukan hanya amalan individu, tetapi juga komitmen pada misi Islam sebagai rahmat bagi alam.
Rejab pernah memuliakan umat dengan kemenangan besar. Ia juga pernah menyaksikan kehilangan terbesar. Maka pesan Rejab hari ini jelas bahawa kemenangan tidak turun pada umat yang ragu pada agamanya sendiri. Ia turun pada mereka yang menolong agama Allah dengan iman, pemikiran, dan perjuangan yang terarah.
Jika Rejab adalah bulan Allah membuka pintu, maka dakwah ideologi Islam adalah kunci yang memutarnya dan apabila kunci itu digunakan, sejarah akan kembali bergerak menuju kemuliaan umat dan keadilan bagi manusia dalam bingkai Daulah Khilafah.
#RejabBulanMulia #RejabBulanHaram #TegakKhilafah #DakwahIslamKaffah #KesatuanUmat