Kedudukan Puasa Sunat di Bulan Rejab
Ramai yang masih keliru berkaitan puasa sunat di bulan Rejab, khususnya berhubung status hukumnya serta dalil-dalil yang menyokong amalan tersebut. Kekeliruan ini timbul kerana wujud perbezaan pandangan dalam kalangan para ulama mengenai puasa pada bulan Rejab.
Bulan Rejab merupakan salah satu daripada empat bulan haram yang dimuliakan dalam Islam, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Para ulama fiqh telah membahaskan hukum berpuasa dalam bulan-bulan ini, dan hasil perbahasan tersebut menunjukkan wujud perbezaan dalam tiga pandangan utama.
Pendapat pertama, ulama Malikiyyah dan Syafi‘iyyah, menyatakan bahawa disunatkan berpuasa pada keseluruhan bulan-bulan haram, termasuk bulan Rejab. Pandangan ini bersandar kepada dalil-dalil umum yang menunjukkan kelebihan beramal dalam bulan-bulan yang dimuliakan oleh Allah SWT.
Pendapat kedua pula berdasarkan ulama Hanabilah. Mereka berpandangan bahawa puasa yang disunatkan secara khusus daripada bulan-bulan haram hanyalah puasa di bulan Muharram. Pendapat ini adalah berdasarkan hadis Nabi SAW:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل
“Puasa yang paling utama selepas Ramadhan adalah puasa di bulan Muharram, dan solat yang paling baik selepas solat fardhu adalah solat malam.” (HR Muslim).
Sementara itu, pendapat ketiga datang daripada ulama mazhab Hanafiyah. Mereka berpendapat bahawa puasa yang disunatkan dalam bulan-bulan haram hanyalah tiga hari pada setiap bulan tersebut, iaitu pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu. (Wahbah Zuhaili, Al Fiqh Al Islami wa Adillatuhu, 2/590; Abdurrahman Jaziri, Al Fiqh Ala Al Madzahib Al Arba’ah, 1/378; Al Mausu’ah Al Fiqhiyah Al Kuwaitiyah, 28/81; Yusuf Qaradhawi, Fiqh As Shiyam, hlm. 125&141).
Berdasarkan hal ini, menurut pakar fikih KH. M. Shiddiq Al Jawi, pendapat yang lebih kuat (rājih) adalah pandangan pertama yang mensunatkan puasa pada keseluruhan bulan-bulan haram berdasarkan dalil umum serta beberapa hadis yang menunjukkan pensyariatan puasa dalam bulan-bulan tersebut.
Antara dalil yang dikemukakan adalah hadis yang diriwayatkan daripada Mujibah al-Bahiliyyah r.a.:
،عَنۡ مُجِيبَةَ الۡبَاهِلِيَّةِ، عَنۡ أَبِيهَا – أَوۡ عَمِّهَا – أَنَّهُ أَتَى رَسُولَ اللهِ ﷺ، ثُمَّ انۡطَلَقَ فَأَتَاهُ بَعۡدَ سَنَةٍ وَقَدۡ تَغَيَّرَتۡ حَالُهُ وَهَيۡئَتُهُ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ أَمَا تَعۡرِفُنِي؟ قَالَ: (وَمَنۡ أَنۡتَ؟) قَالَ: أَنَا الۡبَاهِلِيُّ الَّذِي جِئۡتُكَ عَامَ الۡأَوَّلِ، قَالَ: (فَمَا غَيَّرَكَ، وَقَدۡ كُنۡتَ حَسَنَ الۡهَيۡئَةِ؟) قُلۡتُ: مَا أَكَلۡتُ طَعَامًا مُنۡذُ فَارَقۡتُكَ إِلَّا بِلَيۡلٍ! فَقَالَ رَسُولُ اللهِ ﷺ: (لِمَ عَذَّبۡتَ نَفۡسَكَ؟) ثُمَّ قَالَ: (صُمۡ شَهۡرَ الصَّبۡرِ وَيَوۡمًا مِنۡ كُلِّ شَهۡرٍ) قَالَ: زِدۡنِي فَإِنَّ بِي قُوَّةً، قَالَ: [(صُمۡ يَوۡمَيۡنِ)] قَالَ: زِدۡنِي، قَالَ: (صُمۡ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ) قَالَ: زِدۡنِي، قَالَ: (صُمۡ مِنَ الۡحُرُمِ وَاتۡرُكۡ، صُمۡ مِنَ الۡحُرُمِ وَاتۡرُكۡ، صُمۡ مِنَ الۡحُرُمِ وَاتۡرُكۡ) [وَقَالَ] بِأَصَابِعِهِ الثَّلَاثَةِ فَضَمَّهَا ثُمَّ أَرۡسَلَهَا.
Daripada Mujibah al-Bahiliyyah RA, daripada ayahnya atau bapa saudaranya, bahawa beliau pernah datang menemui Rasulullah SAW, kemudian pulang. Setelah berlalu setahun, beliau kembali menemui Rasulullah SAW dalam keadaan fizikal dan tubuh badan yang telah berubah (menjadi kurus). Beliau berkata, “Wahai Rasulullah, tidakkah engkau mengenali aku?” Rasulullah SAW bertanya, “Siapakah engkau?” Lalu beliau menjawab, “Aku adalah lelaki dari kabilah al-Bahili yang pernah datang menemui engkau pada tahun awal (Hijrah).” Rasulullah SAW bersabda, “Mengapakah tubuh badanmu menjadi kurus, sedangkan dahulu keadaanmu baik?” Beliau menjawab, “Aku tidak makan pada waktu siang sejak aku berpisah dengan engkau; aku hanya makan pada waktu malam.” Rasulullah SAW bertanya, “Mengapakah engkau menyeksa dirimu sendiri?” Kemudian Rasulullah SAW bersabda, “Berpuasalah pada bulan kesabaran (Ramadhan), dan satu hari pada setiap bulan.” Beliau berkata, “Aku masih mampu.” Rasulullah SAW bersabda, “Berpuasalah dua hari setiap bulan.” Beliau berkata, “Aku masih mampu.” Rasulullah SAW bersabda, “Berpuasalah tiga hari setiap bulan.” Beliau berkata, “Aku masih mampu.” Lalu Rasulullah SAW bersabda, “Berpuasalah pada bulan-bulan haram dan berbukalah.” (Baginda mengulanginya sebanyak tiga kali) Beliau berkata, “Rasulullah SAW memberi isyarat dengan tiga jarinya, kemudian merapatkan ketiga-tiga jari tersebut, dan seterusnya merenggangkannya.” (HR Ibn Majah no. 1741; Abu Dawud no. 2428; Ahmad no. 20589. Hadis ini diriwayatkan dengan lafaz Abu Dawud)
Imam al-Syaukani menjelaskan bahawa hadis tersebut menjadi dalil kepada pensyariatan puasa pada bulan-bulan haram secara umum (Nailul Authar, hlm. 881). Walaupun sebahagian ulama hadis seperti Syeikh Nashiruddin al-Albani melemahkan hadis tersebut kerana ketidakpastian terhadap nama periwayat hadis dari kabilah Al Bahiliyah. Namun, Imam al-Syaukani tetap menguatkannya dengan menukil pandangan Imam al-Mundziri yang menyatakan bahawa perbezaan dalam penentuan nama sahabat tidak mencacatkan kesahihan hadis. (Imam Syaukani, Nailul Authar, hlm. 881; Wablul Ghamam Ala Syifa` Al-Awam, 1/514).
Ada pun demikian, para ulama juga sepakat bahawa tiada dalil khusus yang mensyariatkan puasa di bulan Rejab. Hadis-hadis yang menyebut kelebihan khusus puasa Rejab dinilai sebagai lemah (dhaif). Imam al-Syaukani menukil pandangan Ibn Subki dan Muhammad bin Manshur al-Sam‘ani yang menyatakan bahawa tiada satu pun hadis yang kukuh yang boleh dijadikan sandaran bagi mensunnahkan puasa Rejab secara khusus.
Walau bagaimanapun, ketiadaan dalil khusus tidak menafikan hukum sunat berpuasa di bulan Rejab, kerana ia tetap termasuk dalam kategori bulan haram yang dianjurkan untuk beramal secara umum. Justeru, puasa di bulan Rejab hukumnya tetap sunat berdasarkan dalil umum, hanya saja ia tidak dilakukan secara penuh sepanjang bulan, berdasarkan hadis Nabi SAW:
“Berpuasalah kamu pada bulan-bulan haram dan berbukalah (jangan berpuasa) (diucapkan tiga kali), Nabi SAW kemudian membuat isyarat dengan tiga jari, menyatukan ketiga jari itu kemudian merentangkannya (meregangkannya).” (HR Abu Dawud, no. 2428).
Kesimpulannya, puasa di bulan Rejab adalah amalan sunat yang dibenarkan dan dianjurkan secara umum sebagai sebahagian daripada puasa bulan-bulan haram.
Ustaz KH Shiddiq Al Jawi menjelaskan, “Hanya saja sebaiknya yang lebih afdhal tidak berpuasa sebulan penuh mengingat di dalam hadis Nabi tadi Rasulullah mengatakan berpuasalah kamu pada bulan-bulan haram وَاتۡرُكۡ (tinggalkan) dan berbukalah, jadi tak semuanya ya. Misalnya 30 hari atau 29 hari lamanya, mungkin ada sehari atau dua hari atau tiga hari yang kita tidak puasa, tapi mengatakan demikian berpuasalah kamu pada bulan-bulan haram وَاتۡرُكۡ dan tinggalkan puasa iaitu berbukalah. صُمۡ مِنَ الۡحُرُمِ (berpuasalah) kamu pada bulan-bulan haram dan berbukalah. Periwayat hadis mengatakan بِأَصَابِعِهِ الثَّلَاثَةِ, jadi Nabi memberi isyarat dengan tiga jarinya, kemudian di awalnya digabungkan, setelah itu direnggangkan, maknanya sepanjang bulan-bulan haram itu berpuasalah, tapi ada hari-hari tertentu yang tidak puasa, maknanya demikian.”
“Jadi kesimpulannya tetap disunatkan (berpuasa) menurut Mazhab Syafi’i dan Mazhab Maliki, ini pendapat yang lebih kuat di bulan Rejab ini. Intinya, kita boleh berpuasa di seluruh hari di bulan Rajab sesuai dengan sabda Nabi (dalam hadis) riwayat Imam Abu Dawud,” sambungnya.
Walau bagaimanpun, umat Islam juga perlu berhati-hati agar tidak mudah mempercayai kelebihan khusus yang tidak disokong oleh dalil sahih, serta dituntut menghindari amalan-amalan yang bercanggah daripada syariat.
Wallāhu a‘lam.
Diintisarikan daripada : Ngaji Subuh (https://www.youtube.com/live/8R-6mIPwM74?si=QhOD64lwf1nnYlA_)