[Politik Ekonomi Islam] Kerosakan Sistem Kapitalisme (Bahagian 2/3)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
Sambungan daripada Bahagian 1/3
Berdasarkan hal ini, sistem ekonomi kapitalis hanya mempunyai satu tujuan, iaitu meningkatkan kekayaan negara secara keseluruhan serta berusaha mencapai tahap pengeluaran yang optimum. Sistem ini juga beranggapan bahawa kesejahteraan maksimum bagi individu dalam masyarakat akan tercapai sebagai hasil daripada peningkatan pendapatan dan tahap pengeluaran negara.
Hal itu dilaksanakan dengan menggalakkan masyarakat untuk memperoleh kekayaan. Caranya ialah dengan memberikan kebebasan kepada mereka untuk berusaha dalam aktiviti pengeluaran dan memperoleh hasilnya.
Oleh itu, ekonomi dalam sistem kapitalisme tidak bertujuan memenuhi keperluan setiap individu atau memastikan setiap individu dalam masyarakat mendapat pemenuhan keperluan secara menyeluruh. Sebaliknya, sistem ini hanya menumpukan kepada penyediaan alat pemenuhan keperluan masyarakat secara umum dengan cara meningkatkan tahap pengeluaran dan pendapatan negara (national income).
Apabila pendapatan negara (national income) bertambah, pengagihan kekayaan diserahkan kepada mekanisme “kebebasan memiliki” dan “kebebasan bekerja”, iaitu setiap individu bebas memperoleh kekayaan mengikut kemampuan serta faktor pengeluaran yang dimilikinya, sama ada semua individu menikmati pemenuhan keperluan tersebut atau hanya sebahagian daripada mereka.
Inilah kesilapan dan kezaliman yang nyata, kerana keperluan yang mesti dipenuhi ialah keperluan individu sebagai manusia. Keperluan itu ialah keperluan bagi Ahmad, Saleh, dan Hasan secara individu, bukan keperluan bagi sekumpulan manusia, sesebuah bangsa, atau keseluruhan rakyat. Individu jugalah yang berusaha memenuhi keperluannya, sama ada dilakukan secara langsung, seperti makan dan minum, atau secara tidak langsung, seperti mempertahankan negara yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat.
Oleh itu, masalah ekonomi yang sebenar ialah bagaimana alat-alat pemenuhan keperluan (barangan dan perkhidmatan) diagihkan kepada individu, iaitu bagaimana barangan dan perkhidmatan dibahagikan kepada setiap orang dalam kalangan umat atau masyarakat, bukan sekadar memenuhi keperluan kolektif umat atau bangsa tanpa mengambil kira keperluan setiap individunya. Dengan kata lain, masalah ekonomi yang sebenar ialah kemiskinan dan kekurangan yang menimpa individu, bukan kemiskinan yang menimpa negara secara keseluruhan.
Kajian ekonomi seharusnya menumpukan perhatian kepada pemenuhan keperluan asas (basic needs) setiap individu, bukan kepada pengeluaran barang-barang ekonomi. Isu ini berkaitan dengan individu yang hidup dalam sesebuah negara, bukan berkaitan dengan pengeluaran negara. Dengan kata lain, tujuan utama ekonomi ialah memastikan setiap anggota masyarakat dapat memenuhi semua keperluan asasnya seorang demi seorang, bukan sekadar menambah hasil pengeluaran negara.
Maka, tumpuan sebenar ekonomi ialah pada pengagihan kekayaan kepada rakyat bagi menjamin pemenuhan keperluan asas (makanan, pakaian dan tempat tinggal) mereka, bukannya pada usaha menghasilkan lebih banyak kekayaan. Kemiskinan dan kekurangan yang perlu diatasi ialah keadaan apabila seseorang individu tidak dapat memenuhi keperluan asasnya sebagai manusia serta tidak berupaya memenuhi keperluan pelengkap (sekunder)nya.
Kemiskinan yang dimaksudkan di sini bukanlah kemiskinan sesebuah negara yang diukur berdasarkan kemampuannya memenuhi keperluan yang lahir daripada kemajuan material, atau kerana negara tersebut tidak memiliki alat-alat pemuas keperluan tersebut.
Kemiskinan dan kekurangan dalam pengertian seperti ini, iaitu ketidakmampuan memenuhi keperluan asas serta ketidakupayaan untuk memenuhi keperluan pelengkap bagi setiap individu, tidak dapat diatasi dengan meningkatkan pengeluaran. Sebaliknya, ia hanya dapat diatasi dengan cara mengagihkan kekayaan kepada setiap individu. Dengan cara itu, setiap orang dapat memenuhi semua keperluan asasnya dengan sempurna serta membantu memenuhi keperluan pelengkapnya (sekunder).
Berdasarkan hal ini, para ahli ekonomi kapitalis telah menggambarkan asas masalah ekonomi secara terbalik. Mereka menjadikan pengeluaran kekayaan sebagai masalah ekonomi utama sambil mengabaikan sepenuhnya isu pengagihan kekayaan. Padahal, hakikatnya, masalah asas ekonomi terletak pada pengagihan, bukan pada pengeluaran.
Daripada sinilah muncul kesilapan dan kekeliruan mereka, iaitu menjadikan peningkatan pendapatan negara sebagai asas kepada sistem ekonomi. Akibatnya, apabila pengeluaran dijadikan sebagai asas, sedangkan pengagihan kekayaan kepada individu-individu dalam masyarakat diabaikan dan tidak dianggap penting, maka mereka menjadikan harga sebagai pengatur pengagihan kekayaan.
Maksudnya, hanya mereka yang memiliki harga (wang) berhak memperoleh bahagian daripada kekayaan, manakala yang tidak memiliki wang tidak akan mendapat apa-apa. Hal ini kerana sistem ekonomi kapitalis membiarkan individu mengambil bahagian daripada hasil pengeluaran mengikut kadar kemampuan dan sumbangan mereka terhadap pengeluaran tersebut. Melalui mekanisme harga itulah mereka memperoleh bahagian daripada kekayaan negara.
Dengan demikian, sistem kapitalisme menetapkan bahawa seseorang hanya dianggap layak untuk hidup jika dia mampu menyumbang kepada pengeluaran barangan dan perkhidmatan (yang memberinya pendapatan). Sesiapa yang tidak mampu berbuat demikian, sama ada kerana keadaannya yang sememangnya lemah atau kerana tiba-tiba dia ditimpa kelemahan, maka dia dianggap tidak layak untuk hidup. Hal ini kerana dia tidak berhak terhadap kekayaan negara yang dapat menampung keperluannya.
Sebaliknyaa, sesiapa yang kuat dan berkemampuan berhak menikmati kemewahan, mendominasi serta menguasai orang lain melalui hartanya, kerana kekuatan fizikal atau akalnya membolehkan dia untuk mempertahankan kelangsungan hidupnya dengan apa jua cara. Begitu juga, mereka yang mempunyai kecenderungan kuat terhadap kebendaan akan memperoleh lebih banyak kekayaan berbanding dengan yang lain. Sementara mereka yang kecenderungan rohani dan keterikatannya kepada sifat-sifat maknawi (bukan kebendaan) lebih kuat akan memperoleh kekayaan yang lebih sedikit. Hal ini demikian kerana dia membataskan usaha memperoleh harta dengan nilai rohani dan maknawi yang membentuk serta mengawal pemikirannya.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Ekonomi