Takut Kepada Allah Akan Lebih Mendekatkan Kita Kepada Allah SWT
Oleh: Rahmah
Aktivis Muslimah, Ustazah Aishah Ismail menyatakan bahawa takut kepada Allah akan lebih mendekatkan kita kepada Allah SWT.
“Logiknya, benda yang kita takut, kita akan jauhi daripada sesuatu yang kita takut itu. Tapi takut kepada Allah ini dia akan membawa kita lebih dekat dan lebih hampir kepada Allah SWT, ” ujarnya dalam siri Tadabbur Surah Al Baqarah (198-203), Manasik Haji: Simbol Penyatuan Ummah & Keseimbangan Dunia dan Akhirat, Sabtu (20/12/2025).
Beliau menjelaskan bahawa dengan ketakwaan, kita akan berusaha untuk sentiasa mengikut perintah Allah SWT dan menjauhi laranganNya.
“Disebabkan takwa dan takut kepada Allah itu tadi memastikan bahawa kita sentiasa mengikut perintah Allah dan menjauhi laranganNya,” tuturnya.
Terkait urusan ibadah haji, beliau menerangkan manasik haji yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW pada hakikatnya menghilangkan semua perbezaan dan jurang dalam kalangan umat manusia. Yang membezakan manusia itu mulia atau tidak adalah nilai ketakwaan dalam amal ibadahnya.
“Ketika menunaikan ibadah haji, jemaah berkumpul di tempat yang sama, waktu yang sama, pakaian yang sama. Semuanya merendahkan hati, meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT,” ungkapnya.
Beliau melanjutkan, nilai ketakwaan bukannya muncul ketika menunaikan ibadah haji sahaja namun pada setiap keadaan dalam kehidupan kita.
“Takwa bukannya ketika kita menunaikan ibadah haji itu sahaja tetapi takwa itu tadi perlu sentiasa ada, sebab dengan takwa tadilah yang kita boleh kawal diri kita daripada kita ini melakukan dosa,” jelasnya.
Beliau menerangkan bagaimana ketakwaan akan memandu setiap perbuatan agar selari dengan peraturan dalam Islam sehingga ia dipandang sebagai ibadah yang bernilai pahala.
Beliau memberikan contoh daripada surah Al-Baqarah, ayat 198 yang bermaksud, “Tidaklah menjadi salah, kamu mencari limpah kurnia dari Tuhan kamu (dengan meneruskan perniagaan ketika mengerjakan Haji)… ”
Daripada tadabbur ayat 198 ini, beliau menghuraikan adanya keseimbangan antara dunia dan akhirat di mana Allah SWT membenarkan bermuamalah ketika melaksanakan ibadah haji.
Tambahnya lagi, sebagai Muslim yang bertakwa, setiap amal yang dilakukan samada ibadah mahdhah seperti haji atau ibadah umum seperti jual beli, mestilah terikat sepenuhnya dengan peraturan dan hukum Allah SWT agar mendapat keuntungan bukan sahaja di dunia malah juga di akhirat.
“Samada dalam kita beramal ibadah atau kita menjalani kehidupan sehari-hari kita, sekiranya ada nilai ketakwaan dalam perbuatan kita itu tadi, maknanya kita sedar apa yang kita lakukan ini ada aturannya dalam Islam, ada hukumnya yang kita wajib ikuti, itu ada nilai dalam amal ibadah kita dan ada nilai pahala dan itu adalah satu keuntungan. Untung apa? Untung dunia dan akhirat,” ungkapnya.
Beliau mengakhiri dengan menegaskan pentingnya ketakwaan agar kita berada di jalan yang lurus.
“Ketakwaan adalah antara elemen yang sangat penting bagi memastikan kita tidak tersasar dari jalan yang lurus,” simpulnya.