Rejab dan Persoalan Kesatuan Umat Islam
Bagi kebanyakan umat Islam hari ini, perkataan “Khilafah” (Kekhalifahan) kedengaran jauh. Ada yang mengaitkannya dengan buku sejarah, ada pula yang melihatnya sebagai sesuatu yang abstrak atau asing. Ini dapat difahami, terutamanya bagi generasi yang hanya pernah hidup dalam sistem negara-bangsa moden. Namun setiap tahun, bulan Rejab secara diam-diam mengingatkan kita tentang satu titik perubahan besar dalam sejarah umat Islam. Pada bulan Rejab tahun 1924, Khilafah telah dimansuhkan. Ini bukan sekadar pengakhiran sebuah bentuk pemerintahan, tetapi kehilangan satu kerangka (framework) yang telah mengatur kesatuan umat Islam selama lebih daripada tiga belas abad.
Teras ajaran Islam ialah gagasan bahawa umat Islam adalah satu umat — satu komuniti yang diikat oleh iman, tanggungjawab dan kewajipan moral. Ini bukan metafora atau slogan emosi, tetapi ia adalah satu prinsip al-Quran yang jelas. Allah (swt) berfirman:
[إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ]
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” (TMQ Al-Anbiyaa’ [21]:92)
Allah (swt) juga mengaitkan kesatuan secara langsung dengan petunjuk dan perlindungan:
[وَاعْتَصِمُواْ بِحَبْلِ اللّهِ جَمِيعًا وَلاَ تَفَرَّقُواْ]
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.” (TMQ Ali Imran [3]:103)
Para ulama klasik menjelaskan bahawa “tali Allah” merujuk kepada Islam sebagai satu cara hidup yang lengkap, termasuk ketaatan dan autoriti secara kolektif. ‘Abdullāh ibn Mas‘ūd (rh) menyatakan bahawa tali Allah itu ialah al-Jama‘ah — badan umat Islam yang bersatu.
Oleh itu, kesatuan dalam Islam tidak pernah bertujuan untuk dihadkan kepada kerohanian peribadi sahaja. Ia bertujuan membentuk cara bagaimana umat Islam mengatur kehidupan bersama mereka — secara politik, sosial dan ekonomi.
Bagi sebahagian besar sejarah Islam, kesatuan ini mempunyai manifestasi yang praktikal. Khilafah berfungsi sebagai kerangka politik yang melaluinya umat Islam mengurus keadilan, keselamatan, kebajikan awam dan perlindungan bersama. Ia tidak menghapuskan budaya atau bahasa; kepelbagaian tetap wujud dan diterima. Apa yang menyatukan umat Islam bukanlah etnik atau wilayah, tetapi Islam itu sendiri.
Rasulullah (saw) mengukuhkan idea tanggungjawab kolektif ini apabila baginda bersabda:
مَثَلُ الْمُؤْمِنِينَ فِي تَوَادِّهِمْ وَتَرَاحُمِهِمْ وَتَعَاطُفِهِمْ، مَثَلُ الْجَسَدِ إِذَا اشْتَكَى مِنْهُ عُضْوٌ تَدَاعَى لَهُ سَائِرُ الْجَسَدِ بِالسَّهَرِ وَالْحُمَّى.
“Perumpamaan kaum Mukminin dalam cinta-mencintai, sayang-menyayangi dan bahu-membahu, seperti satu tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya sakit, maka seluruh anggota tubuhnya yang lain ikut merasakan sakit juga, dengan tidak dapat tidur dan demam.” (HR Bukhari, Muslim dan Ahmad)
Apabila Khilafah dimansuhkan, umat Islam tidak kehilangan iman mereka, dan Islam juga tidak tiba-tiba menjadi tidak praktikal. Apa yang berubah ialah struktur. Dan yang lebih penting, struktur itu tidak digantikan dengan sesuatu yang neutral. Cara-cara berfikir baru diperkenalkan, yang secara beransur-ansur membentuk semula cara umat Islam memahami identiti, kesetiaan, autoriti dan tanggungjawab.
Nasionalisme merupakan antara idea yang paling berpengaruh — namun ia bukan satu-satunya. Nasionalisme mengajar umat Islam untuk mengutamakan negara-bangsa berbanding umat itu sendiri, sempadan berbanding persaudaraan, dan “kepentingan nasional” mengatasi kewajipan moral.
Seiring dengan nasionalisme, konsep-konsep lain turut membentuk pemikiran umat Islam. Sekularisme mengehadkan agama kepada ruang kehidupan peribadi. Kapitalisme mentakrifkan kejayaan berdasarkan keuntungan dan kuasa. Individualisme melemahkan rasa tanggungjawab kolektif. Kesemua idea ini bersama-sama membentuk semula kesedaran politik umat Islam.
Allah (swt) memberi peringatan:
[وَلاَ تَكُونُواْ كَالَّذِينَ تَفَرَّقُواْ وَاخْتَلَفُواْ مِن بَعْدِ مَا جَاءهُمُ الْبَيِّنَاتُ]
“Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah),” (TMQ Ali Imran [3]:105)
Hasilnya adalah realiti yang diakui oleh kebanyakan umat Islam hari ini. Terdapat keprihatinan dan solidariti yang mendalam apabila umat Islam ditindas — namun juga wujud rasa tidak berdaya yang menyakitkan. Ini bukan kerana umat Islam tidak peduli, tetapi kerana umat telah berpecah-belah.
Ibn Taymiyyah (rh) memerhatikan bahawa setiap kali umat Islam berpecah, Allah membiarkan musuh-musuh mereka menguasai mereka. Apabila difahami dari sudut ini, Khilafah bukanlah fantasi atau seruan kepada kekacauan. Sebaliknya, ia mewakili satu usaha untuk mengatur kehidupan umat Islam berasaskan nilai-nilai Islam — secara beransur-ansur, bertanggungjawab dan dengan keadilan sebagai terasnya.
Rejab bukan sekadar bulan peringatan, tetapi juga saat untuk renungan dan kejelasan. Ia mengajak umat Islam berfikir secara mendalam tentang kesatuan — bukan sebagai slogan, tetapi sebagai tanggungjawab yang dihayati. Perpecahan umat bukanlah sesuatu yang berlaku secara kebetulan, dan begitu juga kerinduan terhadap kesepaduan dan keadilan yang terus hidup dalam hati umat Islam. Sepertimana Allah (swt) mengingatkan kita:
[إِنَّ هَذِهِ أُمَّتُكُمْ أُمَّةً وَاحِدَةً وَأَنَا رَبُّكُمْ فَاعْبُدُونِ]
“Sesungguhnya agama Islam inilah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Akulah Tuhan kamu; maka sembahlah kamu akan Daku.” (TMQ Al Anbiya [21]:92)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hiz ut Tahrir oleh
Yasmin Malik
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
#KesatuanUmmah #OneUmmah #1Ummah1Perjuangan