Maulid Nabi SAW dan Pembebasan Tanah Suci
Oleh: Ustaz Ahmad Abdurrahman al- Khaddami
Dalam lintasan sejarah Islam telah terjadi sekruang-kurangnya 3 (tiga) kali “musibah besar” yang menimpa umat dan menjadi penanda kemunduran paling rendah dari puncak kemajuannya, yakni: Tanah Suci, al-Quds asy-Syarif (Palestin) dan Syam dikuasai oleh kafir pasukan salib dari Eropah; Ibu kota Khilafah Abbasiyyah di Baghdad dihancurkan oleh kafir musyrik dari Tatar–Mongol; kaum Muslim Andalus di Eropah Barat dimusnahkan atau diusir oleh kafir Sepanyol dan Portugis. Padahal pada masa sebelumnya, umat Islam terus melaju pesat dalam menyebarluaskan Islam melalui dakwah dan jihad hingga ke sempadan terjauh, Tours di Perancis Selatan, Kashgar di Turkistan Timur (Uyghuristan) hingga Sind dan Hind. Peristiwa perebutan Tanah Suci al-Quds tak pernah terlintas sebelumnya dalam fikiran kaum Muslim. Kafir pasukan salib atau Frank/Romawi Barat pada masa lalu berebut simpati dengan Rom Timur untuk mendekati kaum Muslim dan negaranya semasa era Khalifah Harun ar-Rasyid dan para penerusnya. Kekuasaan mereka bertahan di Syam sekitar 1 abad. Padahal pasukan, panglima perang serta para sultan dan Khalifah masih wujud dengan segala kekuatan dan kuasanya. Ini jelas bukan sekadar “musibah” bagi kehormatan, harta dan nyawa kaum Muslim, namun juga agamanya. Sayangnya pada saat ini, perkara seumpannya terjadi lagi dan bahkan lebih tragis. Yahudi yang kecil nan pengecut dengan zalim telah menguasai Tanah Suci, al-Quds asy-Syarif dan bahkan “menawan” negeri-negeri sekitarnya dari Mesir, Turki hingga Syam dan Jazirah Arab.
Pada akhirnya, Tanah Suci al-Quds dengan pertolongan Allah berjaya dibebaskan, pada masa lalu ataupun kelak masa mendatang. Usaha merebut kembali Tanah Suci al-Quds pada masa lalu tak boleh dilepaskan daripada rangkaian sinergi ulama, umara dan umat sejak era Hujjah Islam Imam al-Ghazali, Sulthan al-Auliya Imam Abdul Qadir al-Jailani, Sultan Nuruddin az-Zanki hingga Sultan Salahuddin al-Ayyubi.
Di antara penguasa dan panglima perang yang menjadi rakan seperjuangan Sultan Salahuddin al-Ayyubi ialah adik iparnya, Al-Malik al-Muzhaffar Kukuburi, penguasa Irbil-Iraq. Biografi lengkap al-Malik al-Muzhaffar dapat ditelaah dalam Sîrah Shalâhuddîn-nya Ibn Syaddad, Dzayl ar-Rawdhatayn-nya Ibn Syamah, An-Nujûm az-Zâhirah-nya Ibn Tighribirdi, Al-’Ibar-nya adz-Dzahabi, Syadzarat adz-Dzahab-nya Ibn Rajab, Mir’ah az-Zamân-nya Sibth Ibn al-Jauzi, At-Târîkh al-Bâhir-nya Ibn al-Atsir dan Wafiyât al-A’yan-nya Ibn Khalikan.
Di antara kisah masyhur tentang beliau ialah riwayat yang menyebutkan beliau sebagai tokoh pelopor dalam mengadakan Peringatan Maulid Nabi SAW dengan uslûb perayaan yang dikenali hingga hari ini. Imam Jalaluddin as-Suyuthi menyebutkan dalam karyanya, Husn al-Maqshid fî ‘Amal al-Mawlid sebagai berikut:
”Yang mengawali pelaksanaan Peringatan Maulid itu ialah penguasa Irbil, Al-Malik al-Muzhaffar Abu Sa’id Kukuburi ibn Zainuddin Ali ibn Buktikin. Dia adalah salah seorang penguasa mulia dan pembesar yang dermawan. Dia meninggalkan jejak yang baik. Dia memakmurkan Masjid Jami al-Muzhaffari di lereng/kaki Gunung Qasiyun (Damsyik). Ibn Katsir berkata dalam Târîkh-nya, dia mengadakan Maulid Syarif pada Rabi’ul Awwal dan melakukan peringatan besar-besaran. Sifatnya gagah, pemberani, kesateria, cerdas nan berilmu rahimahulLâh wa akrama matswahu.”
Memang benar, bahawa penguasa Mesir era Fatimiyah terlebih dulu mengadakan Peringatan Maulid Nabi SAW sebelum penguasa Irbil. Sebab itu adanya tuduhan bahawa Peringatan Maulid Nabi SAW adalah “jejak kesesatan” Syiah Isma’iliyah bagi sebahagian masyarakat Ahlus Sunnah. Hanya saja, hal demikian ditolak oleh Sejarawan Mesir, Dr. Abdul Mun’im Abdul Hamid Sulthan dalam karyanya, Al-Hayâh al-Ijtimâ’iyyah fî al-Ashr al-Fâthimi dengan hujah sebagai berikut:
”Peringatan Maulid Nabi SAW pada masa Daulah ‘Ubaidiyah (Fatimiyah) terhad pada pembuatan dan pembahagian manisan serta pemberian sedekah. Adapun perayaan rasmi dilaksanakan dalam bentuk perarakan yang dipimpin oleh Qadhi al-Qudhat. Saat itu dulang-dulang berisi manisan dibawa, lalu semua orang bergerak menuju Masjid Jami’ al-Azhar, kemudian ke Istana Khalifah tempat khutbah disampaikan. Setelah itu, mereka dipanggil menghadap Khalifah, lalu semuanya kembali ke tempat masing-masing. Sementara itu, perayaan yang paling mendapat perhatian besar adalah hari-hari raya Syiah.”
Adapun yang dilaksanakan oleh Al-Malik al-Muzhaffar tak jauh berbeza dengan Peringatan Maulid Nabi SAW saat ini sebagaimana disebutkan Imam as-Suyuthi:
”Sesungguhnya bentuk asal Peringatan Maulid adalah orang ramai berkumpul. Mereka membaca ayat-ayat al-Quran yang mudah dibaca, meriwayatkan khabar-khabar yang datang mengenai permulaan kehidupan Nabi SAW dan peristiwa-peristiwa yang terjadi saat kelahirannya berupa tanda-tanda. Lalu disajikan hidangan makanan yang mereka makan bersama. Lalu mereka pulang tanpa tambahan selain itu. Itu termasuk sebahagian daripada bid’ah hasanah, yang pelakunya mendapatkan pahala, kerana di dalamnya terdapat bentuk pengagungan terhadap kedudukan Nabi SAW serta perwujudan rasa gembira dan sukacita atas kelahiran baginda yang mulia.”
Sukar difahami jika Salahuddin al-Ayyubi dan pengikutnya yang terkenal tegas terhadap Syiah Ismailiyah dan negaranya di Mesir sebaliknya melestarikan kesesatan mereka, bahkan membiarkan al-Malik al-Muzhaffar menjadi penyelenggara utama syiar aliran tersebut. Perlu diketahui bahawa Imam as-Suyuthi termasuk ulama Mesir yang tentu faham dengan sejarah negerinya. Beliau bahkan menulis karya secara khusus tentang Mesir, yakni Husn al-Muhâdharah fî Akhbâr Mishr wa al-Qâhirah.
Para penulis biografi menyebutkan bahawa Peringatan Maulid Nabi SAW yang dilakukan Al-Malik al-Muzhaffar ialah menebar sedekah dan hadiah, terutama makanan-minuman serta mengundang masyarakat untuk menghadiri majlis zikir dan mendengarkan nasihat di maidan (tempat terbuka). Acara ini juga dihadiri oleh para fuqaha, kaum sufi, ahli nasihat, pakar al-Quran dan penyair dari berbagai daerah sekitar Irbil semisal Baghdad, Maushil, Sanjar, Jazirah, Nushaibin dan negeri Ajam. Apa yang lebih memungkinkan, Al-Malik al-Muzhaffar meneruskan amalan yang dibiasakan oleh Syaikh Umar al-Mula‘u, ulama kesayangan yang sangat dihormati serta ditaati oleh Sultan Nuruddin az-Zanki. Ibn Syamah dalam Dzayl ar-Rawdhatayn menyebutkan, “Setiap tahun beliau mengundang untuk memperingati hari-hari kelahiran Rasulullah SAW, yang dihadiri oleh penguasa Maushil dan para penyair. Mereka melantunkan pujian-pujian untuk Rasulullah SAW dalam peringatan tersebut.”
”Daripada peringatan itu diambil pelajaran amalan syukur kepada Allah SWT atas kurniaan yang diberikan pada hari tertentu, berupa nikmat atau dihindarkan daripada kecelakaan, serta amalan tersebut diulang pada hari tersebut setiap tahun. Syukur kepada Allah SWT boleh dilakukan dalam berbagai bentuk ibadah seperti sujud, puasa, sedekah dan tilawah. Nikmat mana yang lebih agung daripada nikmat kelahiran Nabi SAW, Nabi rahmat, pada hari tersebut?”
Inilah ta’lîl (alasan) yang disampaikan oleh para ulama setelah era Al-Malik al-Muzhaffar yang menjelaskan tujuan umum Peringatan Maulid Nabi SAW berdasarkan nukilan Imam as-Suyuthi daripada Imam Ibn Katsir mungkin difahami adanya tujuan khusus daripada amalan Peringatan Maulid Nabi SAW semasa era al-Malik al-Muzhaffar:
”Syaikh Abu al-Khatthab Ibn Dahiyah telah menulis untuknya beberapa jilid tentang Maulid Nabi dan menamainya At-Tanwîr fî Mawlid al-Basyîr an-Nazhîr, maka dia memberikan 1000 dinar atas karyanya. Sungguh panjang masanya dalam kekuasaan hinggalah ketika dia meninggal dan dia sedang mengepung Frank (pasukan Salib Eropah) di Kota ‘Akka (daerah di Palestin) tahun 630.”
Apakah amalan Maulid Nabi SAW pada masa tersebut secara khusus untuk menguatkan semangat Jihad fî Sabilillah? Kesimpulan tersebut memerlukan data dan kajian lebih lanjut. Namun, hal yang jelas ialah perintis Peringatan Maulid Nabi dari kalangan Ahlus Sunnah merupakan pahlawan umat yang “tenggelam” dalam medan Jihad fî Sabilillah hinggalah kewafatannya, terutama dalam usaha mengusir pasukan salib Eropah dari al-Quds asy-Syarif dan Syam secara umum. Justeru, sukar untuk difahami jika Peringatan Maulid Nabi SAW pada masa Sang Mujahid sama sekali tidak terkait dengan amal perjuangannya ketika dalam situasi terjadinya salah satu dari 3 (tiga) “musibah besar” yang menimpa umat. Amalan Maulid pada masa al-Malik al-Muzhaffar jelas bukan sekadar “ritual keagamaan” yang terhad pada aspek ruhiyah ataupun perayaan nan menghibur semata.
Dengan memperhatikan perjalanan umat bermula dari era Fuqaha yang kritikal terhadap Sufiyah, sehinggalah era rehlah dan karyanya Imam Abu Hamid al-Ghazali, serta madrasah dan murid Imam Abdul Qadir al-Jailani, maka dapat dikatakan bahawa Peringatan Maulid Nabi SAW pada masa Al-Malik al-Muzhaffar adalah ”puncak” dari Harakah Ishlâhiyah. Ini kerana, dalam situasi politik dan sosial sebelum, para ulama antara mazhab pemikiran atau fiqih berebut pengaruh dan kedudukan. Umara saling bersaing untuk kekuasaan hingga melemahkan Khilafah, bahkan berencana untuk menggulingkan Khalifah pada masanya. Setelah itu, keadaanya menjadi lebih baik sebagaimana yang terlihat dalam Peringatan Maulid Nabi SAW, yang terdiri daripada tilawah al-Quran, syair pujian, nasihat hingga sedekah dan ekspresi bahagia. Semua itu melibatkan sinergi ulama, umara dan umat secara umum. Peringatan diselenggarakan oleh para pahlawan Islam yang berjaya mengusir pasukan salib Eropah dan setia kepada Sang Khalifah. Inilah amalan Maulid Nabi SAW pada masa terdahulu. Bagaimana dengan masa kini?
Rujukan
- Husn al-Maqshid fî ‘Amal al-Maulid, Jalaluddin as-Suyuthi
- Tarikh al-Ihtifal bi Maulid an-Nabi, Muhammad Khalid Tsabit
Sumber: Alwaie
#MaulidNabiSAW #SejarahMaulid #CintaNabi #MuhammadSAW #ProphetMuhammad #WeLoveMuhammad #SejarahUmatIslam #KebangkitanUmat #JejakUlama