[Politik Ekonomi Islam] Gambaran Umum Politik Ekonomi yang Ideal (Bahagian 2/2)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan daripada Bahagian 1/2)
Pandangan Islam terhadap empat perkara ini merupakan asas politik ekonomi Islam.
(1) Pandangan bahawa keperluan setiap individu perlu dipenuhi.
(2) Pandangan bahawa keperluan-keperluan (basic needs) setiap manusia mesti dipenuhi secara menyeluruh, di mana setiap individu —baik Muhammad, Hana, Fatimah, atau Virginia—perlu dijamin kehidupannya.
(3) Pandangan bahawa berusaha mencari rezeki hukumnya adalah mubah/halal. Hukum ini adalah sama untuk setiap individu—baik Muhammad, Petrus, Fatimah, mahupun Juliet—sehingga terbuka luas jalan di hadapan mereka untuk memperolehi kekayaan yang diinginkannya. Dengan demikian, mereka akan bekerja dengan bersungguh-sungguh demi mencapai kemakmuran hidup.
(4) Pandangan bahawa nilai-nilai murni hendaklah mendominasi setiap interaksi yang berlaku di antara individu dalam masyarakat.
Menurut kenyataan di atas, dapatlah dihuraikan bahawa politik ekonomi Islam bukanlah sekadar meningkatkan taraf hidup dalam sesebuah negara. Ini adalah kerana politik ekonomi Islam tidak menjadikan pertumbuhan pendapatan negara sebagai asasnya. Ia juga tidak menumpukan kepada penghasilan barangan dan perkhidmatan semata-mata bagi menjamin kemakmuran hidup manusia. Sebaliknya, ia juga tidak membiarkan individu bebas memperolehinya mengikut kadar kemampuan masing-masing, tetapi memberikan kebebasan kepada mereka untuk memiliki dan bekerja.
Politik ekonomi Islam tidak lain merupakan penyelesaian kepada pelbagai persoalan individu dalam kapasiti mereka sebagai seorang manusia. Ia juga memberi peluang kepada setiap individu untuk meningkatkan taraf hidup dan merealisasikan kesejahteraan diri secara peribadi. Hal ini sama bagi Muhammad yang menginginkan perhiasan kehidupan dunia mahupun Khalid yang tidak gemar akan kemewahan. Masing-masing diberikan kemudahan untuk mencapai kemakmuran dan dibiarkan meraih kesejahteraan dengan memanfaatkan peluang yang ada.
Dengan kata lain, politik ekonomi Islam menjadikan nilai-nilai murni mendominasi setiap interaksi yang berlaku antara individu-individu dalam masyarakat. Inilah politik ekonomi Islam. Berdasarkan asas inilah hukum-hukum ekonomi dibentuk.
Oleh yang demikian, politik ekonomi yang perlu dilaksanakan oleh negeri-negeri Islam bukanlah bertujuan untuk meningkatkan pendapatan negara dan mewujudkan keadilan sosial. Ia juga bukan untuk meningkatkan pendapatan negara serta merealisasikan sosialisme negara, sosialisme palsu (pseudo-sosialisme), mahupun sosialisme sejati. Sasaran politik ekonomi Islam seharusnya menjamin kearah pengagihan kekayaan negara kepada setiap orang dalam masyarakat secara individu, sama ada di dalam mahupun di luar negara. Dengan itu, pemenuhan keperluan-keperluan asas (basic needs) kepada setiap individu dapat dijamin secara menyeluruh. Hal ini juga bertujuan untuk memastikan setiap individu dapat memenuhi semua keperluan sekundernya mengikut kadar kemampuannya.
Ini bermakna, asas yang dibentuk oleh hukum-hukum dan kaedah-kaedah ekonomi bagi merealisasikan politik ekonomi Islam bukanlah untuk meningkatkan kekayaan atau menambah kuantitinya. Namun, asasnya adalah pengagihan kekayaan melalui suatu mekanisme yang dapat menjamin sepenuhnya kesemua keperluan asas (basic needs) secara menyeluruh bagi setiap rakyat. Hal ini juga menjamin adanya peluang bagi setiap orang untuk memenuhi keperluan-keperluan sekundernya. Maka, dasar politik ekonomi Islam adalah pengagihan kekayaan, bukan pertumbuhan kekayaan.
Namun begitu, pengagihan kekayaan yang dimaksudkan adalah menghuraikan mekanisme penguasaan kekayaan daripada sumber-sumbernya. Oleh itu, pertumbuhan kekayaan akan berlaku secara semula jadi melalui mekanisme penguasaan ini. Mekanisme penguasaan tanah, sebagai contoh, secara semula jadi akan mendorong kepada pengurusan, pemanfaatan, dan seterusnya.
Oleh itu, menjadikan pengagihan kekayaan sebagai asas politik ekonomi—dan bukan pertumbuhan pendapatan negara—tidak bermakna menafikan atau mengabaikan pertumbuhan kekayaan. Ini kerana pengagihan kekayaan secara automatik akan mendorong kepada pertumbuhan kekayaan. Malah, pertumbuhan kekayaan sememangnya merupakan perkara yang sangat penting bagi setiap individu, bangsa, dan mana-mana umat yang lain.
Namun begitu, pertumbuhan kekayaan ini tidak ditentukan oleh hukum-hukum ekonomi, Ianya tidak berkait secara langsung dengan pengagihan, malah bukan ditentukan oleh negara atau individu tertentu. Pertumbuhan kekayaan pada awalnya bermula daripada mekanisme penguasaan kekayaan. Seterusnya, ia dipacu oleh peluang untuk meningkatkan pendapatan dalam negeri berdasarkan ilmu ekonomi, bukan berdasarkan hukum-hukum (sistem) ekonomi. Ilmu ekonomi ini boleh diambil dari mana-mana sahaja tanpa sebarang batasan—mungkin diambil daripada golongan komunis, kapitalis, ataupun selain daripada mereka.
Hal ini kerana ilmu ekonomi—yang hanya menjurus ke arah pengeluaran serta peningkatan kuantiti dan kualitinya—adalah bersifat universal dan tidak terikat dengan mana-mana pandangan hidup (ideologi) tertentu. Oleh yang demikian, ilmu ekonomi di Rusia adalah sama seperti ilmu ekonomi di Amerika. Negara dan individu bebas mengambilnya bila-bila masa dan dari mana-mana sumber yang mereka kehendaki. Namun, segala aktiviti dalam pengembangan kekayaan ini, seperti juga dalam urusan lain, mestilah dilaksanakan selaras dengan hukum-hukum Islam.
Berdasarkan perkara ini, penyelesaian terhadap masalah ekonomi di negeri-negeri Islam terbahagi kepada dua bahagian. Kedua-duanya terpisah dan tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain, iaitu,
- Politik ekonomi
- Peningkatan harta kekayaan atau pertumbuhan ekonomi.
Penyelesaian kepada politik ekonomi di negeri-negeri Islam juga ada dua perkara:
- Garis panduan umum tentang sumber-sumber ekonomi.
- Garis panduan umum tentang jaminan pemenuhan keperluan-keperluan asas.
Penyelesaian bagi menangani peningkatan kekayaan (baca: pertumbuhan ekonomi) merupakan topik yang berbeza, iaitu bagaimana untuk meningkatkan jumlah kekayaan, bukan penyelesaian yang berkaitan dengan masalah manusia. Oleh itu, permasalahannya sudah tentu berbeza-beza mengikut keadaan sesebuah negara.
Dengan kata lain, penyelesaian bagi meningkatkan kekayaan di Syria tidak sama dengan di Indonesia, Turki, atau Yaman. Oleh itu, penyelesaian yang di buat adalah berdasarkan tuntutan keadaan di negara masing-masing. Misalnya, di Syria, Mesir, Iraq, atau Turki, penyelesaian terhadap masalah pembangunan ekonomi dilaksanakan melalui peningkatan pengeluaran sektor pertanian yang disertai dengan revolusi dalam pengeluaran industri— sekiranya ingin memperkukuh sektor perindustrian.
Dengan demikian, industri merupakan tulang belakang kepada pertumbuhan ekonomi. Bagi isu ini, penyelesaiannya berkait dengan empat bidang kajian:
- Politik pertanian.
- Politik perindustrian.
- Pembiayaan projek.
- Pembukaan pasaran luar negara bagi produk keluaran negara.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #Kapitalisme #Sosialisme