[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi – Pertanian (Bahagian 2/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 1/46)
- Pertanian
Asas pertanian adalah tanah. Adapun tenaga dan keahlian manusia beserta alat-alat pertanian hanyalah sarananya, bukan asas pertanian. Benar bahawa tenaga manusia berpengaruh dalam pelbagai jenis pengeluaran mahupun peningkatan kapasiti pengeluarannya. Namun, tenaga manusia tetap bukanlah asas pengeluaran. Benar, bahawa keahlian (skill) berpengaruh dalam pelbagai jenis pengeluaran dan peningkatan kapasiti pengeluarannya. Namun, keahlian tetap bukan pula faktor utama dalam pengeluaran.
Benar pula bahawa alat-alat pertanian juga berpengaruh dalam pelbagai jenis pengeluaran dan peningkatan kapasiti pengeluarannya, bahkan kadang-kadang lebih besar pengaruhnya daripada tenaga manusia. Namun demikian, alat-alat pertanian tetap bukan pula merupakan faktor pengeluaran yang asli. Ini kerana jika tanahnya tidak ada, tentu tenaga dan keahlian manusia berserta alat-alat pertanian secara pasti tidak akan mampu menghasilkan pengeluaran pertanian.
Sebaliknya pada saat yang sama, ketika tenaga dan keahlian serta alat-alat pertanian tidak ada, tanah tetap dapat mengeluarkan hasil meskipun hasil pengeluarannya hanya untuk makanan binatang. Ertinya, dalam keadaan apa pun tanah tetap mengeluarkan hasil. Hal ini menunjukkan dengan jelas bahawa faktor pengeluaran pertanian yang asli adalah tanah.
Tentu keliru jika dikatakan bahawa tenaga dan keahlian manusia serta alat-alat pertanian merupakan kekuatan pengeluaran. Juga keliru jika dinyatakan bahawa hubungan antara manusia yang bercucuk tanam atau menghasilkan membentuk aspek lain dalam konteks pengeluaran yang dinamakan dengan hubungan pengeluaran. Keliru pula jika dikatakan bahawa teknik pengeluaran ditentukan oleh kedua-duanya secara bersamaan, iaitu oleh kekuatan pengeluaran dan hubungan pengeluaran.
Kelihatan sekali kesalahan pendapat di atas dalam konteks pertanian. Ini kerana sesungguhnya faktor pengeluaran pertanian adalah tanah meskipun tidak dikelola oleh seseorang. Sementara itu, tata cara penguasaan tanah dan pengelolaannya, itulah yang menentukan bentuk pengeluaran, iaitu bersifat individu atau kolektif. Adapun hubungan antara petani tidak berpengaruh terhadap cara menghasilkan atau mengeluarkan. Jika penguasaan tanah itu boleh secara individu, tentu penguasaannya juga bersifat individu.
Jika penguasaannya individu, pengelolaannya dan pengeluarannya pun bersifat individu. Dengan begitu, bentuk pengeluarannya pun bersifat individu. Jika penguasaan tanah dilarang dan statusnya menjadi milik umum di antara anggota masyarakat, bentuk pengeluarannya bersifat kolektif. Namun dengan syarat, jika pengelolaan dan pengeluarannya bersifat kolektif. Jika tanah milik umum di antara anggota masyarakat, tetapi pengelolaannya bersifat individu, iaitu siapa pun boleh mengambilnya asalkan mampu mengelolanya, pengeluarannya berkonsekuensi pada penguasaan tanah itu secara individual.
Meskipun hal itu hanya berlangsung satu musim, iaitu satu tahun, bentuk pengeluarannya bersifat individu. Dengan demikian, yang menentukan bentuk pengeluarannya adalah tata cara penguasaan tanah dan pengelolaannya, bukan tenaga dan keahlian manusia, alat-alat pertanian, mahupun hubungan pengeluarannya. Untuk itu, kajian dalam pertanian mesti difokuskan kepada tanah, iaitu terkait dengan tata cara kepemilikan tanah dan tata cara pengelolaannya.
Dalam konteks pertanian (sebagai salah satu sumber ekonomi), tidak perlu ada kajian tentang tenaga dan keahlian manusia, alat-alat pertanian, mahupun hubungan pengeluaran. Tenaga manusia adalah sumber ekonomi yang terpisah dan memiliki hukum-hukum sendiri. Sebagai bahagian dari industri, alat-alat pengeluaran juga merupakan sumber ekonomi yang terpisah dari pertanian dan memiliki hukum-hukum sendiri.
Kepakaran manusia dan hubungan pengeluaran juga jelas tidak ada hubungannya dengan pertanian sama sekali. Walhasil, jelaslah bahawa kajian tentang pertanian terbatas pada hukum-hukum pertanahan sahaja, tidak terkait dengan yang lainnya.
Dalam mengkaji solusi-solusi pertanahan yang terkait dengan tata cara kepemilikan dan pengelolaannya, perlu diperhatikan bahawa konteksnya adalah kepemilikan tanah sebagai faktor pengeluaran pertanian, bukan persamaan di antara manusia dalam hal kepemilikan tanah. Konteksnya juga adalah keberlangsungan pengeluaran dan peningkatannya, bukan banyak atau sedikitnya tanah yang dimiliki.
Oleh kerana itu, dalam konteks kepemilikan tanah dan pengelolaannya, yang mesti diperhatikan adalah pengeluaran pertanian sekaligus keberlangsungan dan peningkatannya. Ini tidak ada hubungannya dengan kajian apa pun selainnya. Ertinya, konteksnya bukanlah pengagihan tanah di antara manusia secara sama atau berbeza-beza. Demikian pula secara pasti konteksnya bukanlah apa yang dinamakan orang saat ini sebagai feudalisme, iaitu kepemilikan tanah secara luas.
Oleh kerana itu, sangat salah jika kajian dalam konteks apa yang mereka namakan reformasi pertanian (land reform)—iaitu mengatur kembali pengagihan kepemilikan tanah di antara manusia—ada kebijakan untuk mengambil tanah dari mereka yang memiliki tanah luas, lalu diberikan kepada mereka yang tidak memiliki tanah sama sekali atau kepada mereka yang memiliki tanah sedikit.
Ini disebabkan oleh, dalam solusi masalah tanah, konteksnya bukanlah pengagihannya di tengah manusia atau kesamaan pengagihannya di antara manusia. Akan tetapi, konteksnya terbatas pada satu perkara, iaitu pengeluaran, kesinambungan pengeluaran, dan peningkatan pengeluaran. Ini kerana, masalah kepemilikan tanah tidak sama dengan kepemilikan barang-barang yang lain, seperti real estate, barang dagangan, wang, binatang ternak, dan sebagainya.
Masalah kepemilikan tanah adalah untuk pengeluaran, bukan semata-mata kepemilikan sahaja. Masalah kepemilikan tanah juga bukan kepemilikan untuk memuaskan keperluan primer, sekunder, dan tertier. Ini kerana, memiliki tanah itu dimaksudkan untuk pengeluaran, bukan untuk pemuas keperluan atau untuk kepenggunaan.
Pengeluaran dalam kepemilikan tanah adalah bahagian yang tidak terpisah dari adanya tanah. Ertinya, hasil pengeluaran tanah adalah bahagian yang tidak terpisah dari kepemilikannya. Tanah tidak sama dengan kilang kerana pengeluaran kilang bukan merupakan bahagian dari keberadaannya. Juga tidak sama dengan rumah. Bahkan berbeza dengan setiap komoditi yang ada di dunia kerana tidak ada barang di dunia yang menghasilkan pengeluaran sendiri tanpa campur tangan seorang pun dalam pengeluarannya, kecuali tanah.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#SistemEkonomi #PolitikEkonomiIslam #Kapitalisme #Sosialisme