Menjadi Manusia Bermanfaat Asas Pemerkasaan Muslimah
Oleh: Rahmah
Aktivis Muslimah, Dr Aslam Diyana menegaskan bahawa pemerkasaan wanita Muslim bukan diukur melalui status atau pencapaian material semata-mata, sebaliknya melalui sejauh mana seseorang itu mampu memberi manfaat kepada orang lain.
“Nak jadi muslimah empowered, kita mesti menjadi manusia yang bermanfaat,” katanya ketika menyampaikan slot Bicara Muslimah Online: Pemerkasaan Wanita – Antara Perspektif Kapitalis dan Islam, Sabtu (3/1/2026).
Menurut Dr Aslam, masyarakat sering memahami peranan utama wanita sebagai ummu wa rabbatul bait (ibu dan pengurus rumah tangga). Namun, beliau menegaskan bahawa Islam turut meletakkan satu peranan besar kepada wanita sebagai ummu ajyal atau ibu kepada generasi.
“Wanita bukan sekadar pengurus rumah tangga. Dalam konteks yang menyeluruh, dia juga adalah ummu ajyal yang memainkan peranan penting menyumbang kepada pembentukan masyarakat,” jelasnya.
Beliau berkata, Muslimah perlu mempunyai cita-cita untuk terlibat dalam usaha membangunkan generasi kerana sumbangan tersebut memberi impak besar kepada umat Islam secara keseluruhan.
“Muslimah ada tanggungjawab dan peranan yang perlu dipikul. Dia perlu ke hadapan dan kekal relevan dengan nilai serta identiti Islam dalam usaha membangunkan generasi,” katanya.
Mengulas contoh praktikal, beliau merujuk ketabahan wanita Muslimah di Palestin yang tetap memahami dan melaksanakan peranan mereka walaupun berdepan kesan peperangan yang dahsyat.
“Kita dapat lihat bagaimana kecekalan wanita Muslimah di Palestin, khususnya dalam kalangan pelarian Gaza. Mereka benar-benar memahami peranan sebenar mereka sebagai wanita,” ujarnya.
Menurut beliau, Muslimah Palestin wajar dijadikan contoh dalam konteks pemerkasaan wanita kerana kekuatan karakter dan keperibadian Islam yang dizahirkan dalam kehidupan seharian.
“Kalau kita bercakap tentang pemerkasaan wanita dalam Islam, gambaran itu jelas dapat dilihat dalam masyarakat Palestin,” katanya.
Beliau turut mengkritik kefahaman pemerkasaan wanita yang lazim dalam masyarakat Malaysia, yang sering mengukur kejayaan wanita berdasarkan jawatan, kekayaan dan kedudukan material.
“Dalam persekitaran kita, wanita dianggap berjaya apabila memegang jawatan tinggi, menjadi pemimpin organisasi, kaya dan memiliki kemewahan. Persoalannya, siapa sebenarnya wanita Muslim yang benar-benar empowered?” katanya.
Dr Aslam turut memetik hadis riwayat Ahmad, al-Tabrani dan ad-Daruqutni yang bermaksud sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat kepada manusia lain, sebagai sandaran utama konsep pemerkasaan dalam Islam.
Menurutnya, hadis tersebut menjadi penguat kepada Muslimah untuk yakin dan melaksanakan setiap peranan yang diamanahkan sebagai sebahagian daripada ketaatan kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW.
“Seorang muslimah empowered ialah wanita yang mampu menjalankan setiap dimensi kehidupannya untuk tujuan Islam, serta memiliki cita-cita besar demi kemuliaan umat Muhammad SAW,” katanya menutup bicara
Sumber: https://www.facebook.com/share/v/1BHCS1BtG2/
#WomenEmpowerment #MuslimahEpowerment #PemerkasaanMuslimah