Ustazah Aisyah: Masyarakat Sejahtera dalam Semua Aspek dengan Wahyu dari Allah SWT
Oleh: Rahmah
Aktivis Muslimah, Ustazah Aisyah Rahmat menyatakan bahawa masyarakat yang sejahtera dalam semua aspek mesti lahir daripada wahyu Allah SWT.
“Masyarakat sejahtera mesti lahir dari wahyu Allah di mana al-Quran dijadikan sebagai dustur, pasti masyarakat akan sejahtera di semua aspek,” ujarnya dalam Roundtable Discussion Surah An-Nur : Wahyu Sebagai Lentera Pembinaan Masyarakat, Sabtu (24/1/2026) di Putrajaya.
Berdasarkan ayat 35 daripada surah an-Nur, beliau menjelaskan bahawa Allah SWT sebagai nur (cahaya langit dan bumi) mestilah difahami daripada aspek metaforanya iaitu sebagai petunjuk dan ilmu Allah SWT.
“Harus kita fahami bahawasanya Allah ini sebagai nur, munawwir iaitu cahaya langit dan bumi bukan difahami dari makna cahaya fizikal tetapi metaforanya iaitu petunjuk dan ilmu Allah untuk diterapkan di muka bumi ini,” terangnya.
Beliau turut menekankan kehidupan di dunia haruslah berpandukan wahyu Allah SWT iaitu menjadikan al-Quran sebagai petunjuk dan dustur (undang-undang).
“Jadi dari sini kita memahami segala bentuk peraturan, kejelasan nilai, keharmonian hidup berpunca daripada wahyu yang menerangi kita. Ketika kita hendak menjalani kehidupan di dunia ini kita harus berpandu pada wahyu Allah SWT,” jelasnya.
Melihat realiti dan situasi masyarakat, beliau menzahirkan kekecewaan kerana banyaknya konflik yang terjadi bukanlah kerana tiadanya panduan namun berpalingnya umat Islam daripada wahyu itu sendiri iaitu al-Quran sebagai peraturan hidup.
“Jadi banyak konflik yang berlaku berpunca bukanlah dari kekurangan maklumat, tetapi daripada ketiadaan petunjuk yang benar kerana tidak mengambil al-Quran sebagai dustur, sebagai undang-undang untuk menjalani kehidupan pada hari ini,” terangnya.
Menurutnya lagi, akibat tidak menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup, maka manusia akan cenderung mengikut hawa nafsu dan emosi.
“Apabila cahaya, nur Allah (wahyu) ini diketepikan, manusia akan menggantikan wahyu dengan hawa nafsu, persepsi dan emosi massa,” ujarnya.
Dengan nada kesal, beliau menyatakan bahawa dalam kehidupan hari ini, hukum dan syariat Islam diperlakukan semahunya dalam sistem kapitalis sekular.
“Realitinya bila kita hidup dalam sistem kapitalisme pada hari ini, perkara yang halal jadi haram dan perkara yang haram menjadi halal, Naudzubillahi min dzalik. Jadi itulah krisis moral yang berlaku”, ungkapnya.
Beliau berkongsi peranan sebenar cahaya wahyu (al-Quran) iaitu sebagai jalan penyelesaian kepada kekeliruan yang berlaku untuk membimbing interaksi dan sosial masyarakat agar mendapat keredhaan Allah SWT.
“Wahyu itu bukan sekadar pemberi hukum tetapi sebagai jalan dan penyelesaian kepada kekeliruan yang berlaku dalam kehidupan manusia pada hari ini iaitu sebagai lentera yang membimbing cara manusia berinteraksi dalam sistem sosial,” tegasnya.
Beliau mengakhiri sesi pembentangan dengan seruan agar pada hadirin dapat mendidik masyarakat menjadi generasi al-Quran yang akan menerapkan Islam secara kaffah.
“Kita sebagai figura yang mendidik dan membina. Jadilah kita yang mendidik generasi kita agar menjadi generasi al-Quran yang bergerak, yang menerapkan al-Quran secara kaffah,” katanya menutup bicara.
#SurahAnNur #WahyuLenteraPeradaban #AlQuranCahayaKehidupan