Cahaya Wahyu Terpinggir Punca Krisis Sosial, Tegas Ustazah Husna Suriani
Oleh : Safiyah
Aktivis Muslimah, Ustazah Husna Suriani menegaskan bahawa peminggiran cahaya wahyu dalam kehidupan sosial dikenal pasti sebagai punca utama berlakunya pelbagai krisis yang melanda masyarakat Malaysia hari ini.
“Apabila cahaya wahyu semakin terpinggir dalam kehidupan sosial dan masyarakat, agama sekadar menjadi rutin dan tidak dihayati, maka pelbagai krisis mula menzahirkan diri secara nyata,” kata beliau ketika menjadi panel dalam Roundtable Discussion Surah An-Nur : Wahyu Sebagai Lentera Pembinaan Masyarakat, 24/01/2026 (Sabtu) di Putrajaya.
Menurut beliau, surah an-Nur ayat 35 meletakkan konsep cahaya sebagai asas kehidupan manusia dan masyarakat. Allah SWT, katanya, bukan dimaksudkan sebagai cahaya secara zat, sebaliknya sebagai Munawwir iaitu pemberi cahaya dan sumber pencerahan serta petunjuk kehidupan.
“Apabila Allah menyatakan bahawa Dia adalah cahaya langit dan bumi, ia membawa maksud bahawa segala peraturan alam, kejelasan nilai serta keharmonian hidup bersumber daripada petunjuk wahyu,” jelas beliau.
Beliau menegaskan bahawa cahaya wahyu bukan sekadar panduan ibadah individu, malah berfungsi sebagai lentera dalam membimbing cara manusia berfikir, berinteraksi dan membina sistem sosial.
Krisis Keluarga Semakin Membimbangkan
Ustazah Husna turut menyorot krisis institusi kekeluargaan yang semakin ketara.
“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), sebanyak 60,450 kes penceraian direkodkan bagi tempoh 2020 hingga 2024, meningkat 4.1 peratus berbanding tahun 2023,” katanya.
Beliau juga menyatakan, antara faktor utama yang dikenal pasti adalah konflik keluarga berpanjangan, kegagalan komunikasi dalam isi rumah serta pengabaian tanggungjawab, khususnya peranan ketua keluarga dan ibu bapa, akibat pengaruh gaya hidup sekular dan kapitalisme.
“Perkahwinan masih wujud secara struktur, tetapi nilai wahyu yang sepatutnya membimbing hubungan suami isteri semakin terhakis. Bangunan keluarga masih ada, tetapi rohnya tiada,” katanya.
Kebajikan Kanak-kanak dan Keruntuhan Adab Sosial
Dalam masa yang sama, beliau turut menyentuh krisis kebajikan kanak-kanak apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merekodkan lebih 70,000 kes konflik keluarga dan kebajikan kanak-kanak pada tahun 2022, termasuk kes pengabaian dan penderaan emosi.
“Kanak-kanak yang membesar dalam keluarga rapuh berdepan risiko lebih tinggi terhadap masalah disiplin, keciciran pendidikan dan tekanan emosi berpanjangan,” katanya.
Daripada sudut sosial pula, beliau menyatakan bahawa keruntuhan adab dan etika komunikasi semakin ketara, khususnya di ruang digital. Statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menunjukkan peningkatan aduan berkaitan penyalahgunaan media sosial melibatkan fitnah, penyebaran maklumat palsu dan kandungan tidak beretika dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Inilah realiti yang telah lama diperingatkan dalam surat An-Nur, penyebaran kata-kata tanpa tabayun, tanpa penyelidikan, tanpa dikenalpasti kebenarannya, walaupun dianggap remeh, boleh membawa kerosakan besar kepada keharmonian masyarakat,” jelasnya ketika mengaitkan realiti hari ini dengan surah an-Nur.
Selain itu, Ustazah Husna menegaskan bahawa isu kesihatan mental menjadi indikator penting kepada krisis sosial. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 melaporkan 1 daripada 20 kanak-kanak berusia 5 hingga 9 tahun dan 1daripada 8 remaja berusia 10 hingga 19 tahun mengalami gangguan mental,
“Anak-anak sukar ditangani apabila mereka tantrum, tidak dapat mainan akan tantrum, tidak dapat gajet akan tantrum, ini merupakan petunjuk gangguan mental,” katanya.
Prinsip Ta‘awun Asas Pembinaan Masyarakat
Menurut beliau, kemajuan material tanpa panduan wahyu tidak menjamin kesejahteraan jiwa dan masyarakat.
“Cahaya wahyu mencerahkan pemikiran manusia seperti segemerlapan cahaya pohon zaitun yang menerangi alam. Tanpanya, masyarakat mudah terperangkap antara kebebasan dan batas, serta antara hak individu dan tanggungjawab sosial,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pembinaan masyarakat berwahyu hanya dapat direalisasikan apabila nilai wahyu difahami dan diamalkan secara kolektif melalui prinsip تَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى (saling tolong-menolong dalam kebaikan dan ketakwaan).
“Nilai yang jelas daripada cahaya Allah membolehkan masyarakat membuat keputusan secara berprinsip, menjaga maruah manusia, menolak fitnah dan mengurus perbezaan pandangan secara matang,” katanya.
Mengakhiri bicara, beliau menegaskan bahawa pembinaan masyarakat berteraskan surah an-Nur bukan sekadar aspirasi ideal, sebaliknya satu keperluan mendesak dalam realiti Malaysia hari ini.
“Cahaya wahyu perlu kembali menjadi asas pembentukan nilai, adab dan hubungan sosial agar masyarakat dapat keluar daripada kekeliruan dan membina kehidupan bersama yang bermaruah serta sejahtera,” tutupnya.
#SurahAnNur #WahyuLenteraPeradaban #WahyuPetunjukKebenaran #CahayaIslam