Fitnah: Ancaman Terbesar Terhadap Keharmonian Sosial
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivis Muslimah, Ustazah Nazirah Abdul Rahman, menyatakan bahawa antara ancaman paling besar terhadap keharmonian sosial adalah budaya fitnah.
“Fitnah bukan sekadar dosa peribadi atau kesalahan lisan, tetapi satu penyakit sosial yang mampu meruntuhkan kepercayaan, memecah-belahkan masyarakat dan mencemarkan kemuliaan insan,” ujarnya dalam Roundtable Discussion Surah An-Nur : Wahyu Sebagai Lentera Pembinaan Masyarakat, Sabtu (24/01/2026) di Putrajaya.
Beliau menjelaskan bahawa budaya fitnah ini sama seperti orang-orang yang menuduh atau memfitnah wanita yang baik dan terpelihara kehormatannya tanpa bukti yang sah, maka mereka telah melakukan satu dosa besar, sebagaimana firman Allah SWT dalam surah an-Nur ayat 4,
“Dan orang-orang yang menuduh perempuan-perempuan yang baik berbuat zina, dan mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka deralah mereka (yang menuduh) 80 kali. Dan janganlah kamu terima kesaksian mereka untuk selama-lamanya. Mereka itulah orang-orang yang fasik”.
Tambahnya lagi, ayat ini juga dikatakan sebagai panduan untuk membina masyarakat yang bermaruah kerana mesejnya jelas iaitu kehormatan manusia tidak boleh dijadikan bahan percakapan, sangkaan atau sensasi awam.
“Ayat ini dikatakan sebagai panduan untuk mendidik masyarakat agar tidak mudah menuduh atau menyebarkan apa-apa yang tidak sahih. Dan apabila ayat ini ditadabbur dalam konteks masyarakat hari ini, kita boleh nampak ayat ini ialah berkaitan ancaman fitnah. Jadi kita tidak boleh suka-suka cerita tentang peribadi atau maruah orang lain semata-semata untuk mendapat sensasi,” tambahnya.
Beliau menerangkan bahawa realiti hari ini menunjukkan fitnah semakin ketara, khususnya melalui media sosial dan platform digital.
“Menurut statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) terdapat ribuan aduan yang telah dibuat berkaitan penyalahgunaan media sosial direkodkan setiap tahun, melibatkan penyebaran berita palsu, fitnah dan kandungan mengelirukan. Media sosial itulah tempatnya, platform untuk menyebarkan sesuatu. Kalau kita memilih untuk menyebarkan, bukan saja menyebarkan fitnah atau apa sahaja perkara-perkara, benda itu sebenarnya memberikan impak kepada orang-orang terlibat,” terangnya.
Lanjutnya lagi, ini menunjukkan bahawa budaya fitnah, menuduh dan menghukum tanpa bukti semakin dinormalisasikan.
“Dengan hanya satu tangkap layar atau video pendek tanpa kita melalui proses menyelidiki, maka dekat situ terbentuk satu persepsi awam yang akhirnya akan menjejaskan maruah seseorang,” tambahnya.
Beliau menegaskan, Islam telah mengajarkan, apabila berdepan dengan perkara fitnah, maka perlu untuk melakukan tabayyun.
“Tabayyun bukan sekadar kita menyelidiki suatu fakta, tetapi kena timbulkan persoalan-persoalan, betul tidak berita ini, sebelum jari atau lisan kita ini menyebarkan fitnah. Sebab anggota zahir yang dikurniakan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah SWT,” tegasnya.
Beliau menyimpulkan, kemuliaan masyarakat terletak pada keupayaan mengawal diri dan memahami bahawa menjaga maruah orang lain merupakan sebahagian daripada menjaga maruah diri dan komuniti.
“Bila kita jaga maruah orang lain, umpama kita menjaga maruah kita dan maruah komuniti. Maka surah an-Nur ayat 4 ini juga memberi kita panduan yang jelas dan kita boleh katakan bahawa masyarakat dibina dengan kebenaran, dipelihara dengan adab dan masyarakat akan dimuliakan apabila maruah itu jaga,” simpulnya.
#SurahAnNur #WahyuLenteraPeradaban #CahayaIslam #CahayaPetunjukUmmah