Kita Mesti Membuang Tuhan-Tuhan Palsu Nasionalisme dan Kesukuan yang Menjijikkan ke Dalam Tong Sampah Sejarah!
Disebabkan oleh nasionalisme, kesukuan serta pembentukan negara-bangsa dan sempadannya di tanah-tanah Islam, identiti umat Islam telah menjadi cacat dan berpecah-belah. Umat Islam yang suatu ketika dahulu bersatu sebagai satu persaudaraan dan berada di bawah satu Negara Islam, akhirnya terpecah kepada lebih 50 buah negara-bangsa dan identiti kebangsaan berikutan pemusnahan Khilafah pada 28 Rejab 1342H, di tangan Mustafa Kamal, “bapa kehinaan”.
Ini berlaku walaupun nasionalisme dan kesukuan sebenarnya dibenci dan tercela dalam Islam, sedangkan kesatuan dalam apa jua bentuk wajib berada di bawah satu kepimpinan Islam bagi umat Islam.
Diriwayatkan oleh Abu Dawud bahawa Rasulullah SAW bersabda,
«لَيْسَ مِنَّا مَنْ دَعَا إِلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ قَاتَلَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ، وَلَيْسَ مِنَّا مَنْ مَاتَ عَلَى عَصَبِيَّةٍ»
“Bukan daripada kalangan kami orang yang menyeru kepada ‘asabiyyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang berperang atas dasar ‘asabiyyah, dan bukan daripada kalangan kami orang yang mati atas dasar ‘asabiyyah.”
Dalam redaksi hadis lain, Rasulullah SAW menyebut:
. فَقَالَ: دَعُوهَا فَإِنَّهَا مُنْتِنَة
“Tinggalkan itu, sebab hal itu muntinah (tercela, menjijikkan dan berbahaya).”
Ibn Ishaq meriwayatkan bahawa dalam khutbahnya, Abu Bakar (ra) berkata,
“وَإِنَّهُ لَا يَحِلُّ أَنْ يَكُونَ لِلْمُسْلِمِينَ أَمِيرَانِ؛ فَإِنَّهُ مَهْمَا يَكُنْ ذَلِكَ يَخْتَلِفْ أَمْرُهُمْ، وَأَحْكَامُهُمْ، وَتَتَفَرَّقْ جَمَاعَتُهُمْ، وَيَتَنَازَعُوا فِيمَا بَيْنَهُمْ، هُنَالِكَ تُتْرَكُ السُّنَّةُ، وَتَظْهَرُ الْبِدْعَةُ، وَتَعْظُمُ الْفِتْنَةُ، وَلَيْسَ لِأَحَدٍ عَلَى ذَلِكَ صَلَاحٌ
“Sesungguhnya tidak dibenarkan bagi kaum Muslimin mempunyai dua orang amir. Jika itu berlaku, nescaya akan timbul perselisihan dalam urusan dan hukum-hukum mereka, jamaah umat Islam akan berpecah-belah dan mereka akan saling bertelagah. Akibatnya, Sunnah akan ditinggalkan, bidaah akan muncul, perselisihan faham (fitnah) akan berleluasa, sedangkan tidak ada kebaikan bagi sesiapa pun dalam semua (keadaan) itu.”
Malangnya, kita menyaksikan keadaan dunia Islam hari ini seperti keadaan Al-Aus dan Al-Khazraj pada era kesukuan dan ketiadaan pemerintahan Islam. Sehingga kita melihat idea negara-bangsa, nasionalisme dan kesukuan disembah sebagai berhala-berhala kontemporari; pengorbanan dilakukan untuknya, lelaki dan wanita mati dan dibunuh kerananya, dan peperangan dilancarkan demi mempertahankannya. Hari ini, kita menyaksikan konflik nasional dalam kalangan umat Islam di negara-negara seperti Yaman, Pakistan–Afghanistan, Pakistan–Bangladesh dan di dalam Sudan. Sempadan nasional yang digariskan oleh penjajah menjadi garis pemisah antara masyarakat Islam, sementara bendera-bendera kebangsaan berkibar sebagai simbol kejahilan di atas tubuh ummah yang hancur.
Akibatnya, umat Islam tidak lagi saling membantu kerana sempadan-sempadan negara ini, sebaliknya mengambil pendirian yang melumpuhkan iaitu tidak campur tangan. Sehingga pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Gaza oleh penjajah haram Zionis, penyeksaan umat Islam Uyghur di kem-kem tahanan oleh Kerajaan China di Xinjiang, atau pengusiran dan pembunuhan umat Islam Rohingya di Myanmar, semua ini tidak dapat dicegah atau dihentikan disebabkan sempadan negara-bangsa tersebut.
Bukan sahaja salah untuk memuliakan ‘berhala-berhala’ kontemporari ini, bahkan menjadi suatu kewajipan untuk memusnahkan dan menghancurkannya dari muka bumi.
[أَتَتَّخِذُ أَصْنَامًا آلِهَةً إِنِّي أَرَاكَ وَقَوْمَكَ فِي ضَلاَلٍ مُّبِينٍ]
“Patutkah ayah menjadikan berhala-berhala sebagai tuhan-tuhan? Sesungguhnya aku melihatmu dan kaummu dalam kesesatan yang nyata”. [TMQ Al-An‘am (6): 74].
Nabi SAW berdiri teguh menentang berhala-berhala dan kepercayaan jahiliah pada zamannya, tanpa pernah berundur. Ketika para pemimpin musyrikin Quraisy merayu agar baginda berhenti menghina tuhan-tuhan mereka dan meninggalkan dakwahnya, Rasulullah SAW menyatakan,
«لَوْ وَضَعُوا الشَّمْسَ فِي يَمِينِي وَالْقَمَرَ فِي شِمَالِي عَلَى أَنْ أَتْرُكَ هَذَا الْأَمْرَ حَتَّى يُظْهِرَهُ اللَّهُ أَوْ أَهْلِكَ فِيهِ مَا تَرَكْتُهُ»
“Demi Allah, seandainya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan bulan di tangan kiriku supaya aku meninggalkan urusan ini, aku tidak akan meninggalkannya sehingga Allah memenangkan agama ini atau aku binasa kerananya.”
Oleh itu, hanya setelah Al-Aus dan Al-Khazraj meninggalkan kesukuan dan menyokong pemerintahan Islam, barulah mereka menjadi satu kekuatan menentang kekuatan kufur. Dalam era Khilafah Rasyidah, umat Islam menewaskan kuasa-kuasa besar, Rom dan Parsi, lalu menjadi negara terkemuka dunia. Semua ini menanti umat Islam sekiranya mereka meninggalkan nasionalisme dan kesukuan, serta melantik seorang Khalifah Rasyid (khalifah yang soleh) yang tunggal untuk seluruh umat Islam, dari Indonesia hingga Maghribi.
Rasulullah SAW bersabda,
«ثُمَّ تَكُونُ خِلَافَةً عَلَى مِنْهَاجِ النُّبُوَّةِ»
“…Kemudian akan ada Khilafah menurut manhaj kenabian.”
[HR Ahmad].
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Tsurroyya Amal Yasna
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
#nasionalisme #asabiyyah #kesatuanumatislam