Jadilah Sahabat, Bukan Ibu bapa Toksik
Oleh: Nabila Zidane
Ibu bapa toksik lahir bukan daripada watak peribadi semata, tetapi daripada kerosakan cara pandang. Mereka adalah produk pola pengasuhan yang berpangkal pada logik kekuasaan, bukan logik amanah.
Anak diperlakukan sebagai objek kawalan, harta keluarga, bahkan simbol prestij sosial. Rumah berubah menjadi tirani kecil, penuh teriakan, manipulasi emosi, pembungkaman dan ketakutan psikologi yang dibungkus dalih “demi kebaikanmu.”
Di luar, mereka kelihatan beragama, tapi di dalam, anak-anak hidup tercekik oleh rasa takut. Kesannya tidak ringan, iaitu lahir generasi cemas (anxiety), rendah diri, penuh luka batin, kehilangan kepercayaan dan berpotensi melahirkan kezaliman yang sama. Inilah bahaya tersembunyi akibat pola pengasuhan toksik terhadap peradaban.
Islam memandang anak bukan milik ibu bapa, melainkan amanah Allah dan benih peradaban. Manusia diciptakan sebagai khalifah, maka anak perlu dibesarkan untuk memikul peranan tersebut, bukan untuk tunduk pada ego ibu bapanya.
Pendidikan dalam Islam bukanlah projek pencitraan keluarga, tetapi misi keimanan yang strategik. Sebab itu, pengasuhan tidak boleh berdiri di atas doktrin buta, teriakan, atau ancaman, tetapi hendaklah di atas keteladanan, kasih sayang dan akidah yang kukuh.
Anak yang tidak diberi kasih sayang hampir pasti akan memberontak, entah secara terbuka atau tersembunyi. Pemberontakan ini bukan bukti buruknya fitrah anak, melainkan buah dari kegagalan tarbiyah.
Ketika anak hanya menerima perintah tanpa dialog, larangan tanpa dalil, dan hukuman tanpa empati, mereka belajar bahawa kebenaran adalah kekuasaan dan cinta itu bersyarat. Akhirnya lahir peribadi yang dingin, penuh dendam atau rapuh dan mudah dimanipulasi oleh idea-idea rosak di luar rumah.
Kehadiran ibu bapa bukan sekadar hubungan biologi, tetapi ideologi dan spiritual. Hadir bukan hanya memberi makan dan sekolah, tetapi menanamkan iman, adab dan cara berfikir Islami. Anak memerlukan rumah sebagai benteng peradaban, bukan ruang trauma. Mereka perlu melihat ibu bapa sebagai pelindung dan pembimbing, sahabat dalam kebenaran, bukan pemimpin yang menakutkan.
Rasulullah SAW adalah model pendidikan yang sempurna. Baginda lembut tanpa lemah, tegas tanpa zalim. Baginda tidak mempermalukan anak, tidak menghina, tidak mendidik dengan ketakutan. Ini menunjukkan bahawa generasi beriman tidak lahir dari kekerasan, tetapi daripada rahmah yang berlandaskan syariat.
Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menegaskan bahawa tujuan pendidikan Islam adalah membentuk syakhsiyah Islamiyyah, iaitu keperibadian yang berfikir dengan akidah Islam dan berperilaku dengan syariat.
Menurut beliau, keluarga memiliki peranan penting dalam menanamkan iman sejak kecil melalui teladan, pembiasaan, dan lingkungan yang Islami, bukan melalui paksaan dan intimidasi. Kasih sayang dalam Islam bukan romantisme, tetapi kaedah tarbiyah yang efektif agar nilai-nilai Islam mengakar di hati anak.
Anak yang dibesarkan dengan cinta yang berlandaskan iman akan tumbuh stabil, berani dan berprinsip. Mereka mencintai Allah bukan kerana takut dipukul ibu bapa, tetapi kerana melihat keindahan akhlak dalam diri ibu bapanya.
Sebaliknya, pola pengasuhan toksik melahirkan ketaatan sementara, seperti soleh di depan ibu bapa, rapuh di hadapan dunia.
Ibu bapa perlu berani mengakui kesalahan. Meminta maaf kepada anak bukan meruntuhkan wibawa, tetapi menegakkan keadilan. Ketika anak melihat ibu bapanya berproses menjadi lebih baik, mereka belajar bahawa iman menuntut muhasabah, bukan kesombongan.
Rumah adalah madrasah pertama. Jika rumah dipenuhi ketakutan, lahirlah masyarakat yang luka. Jika rumah dipenuhi rahmah dan akidah, lahirlah generasi yang kukuh, beradab dan siap memikul amanah peradaban.
Pada akhirnya, ibu bapa bukan pemilik anak, tetapi penjaga amanah. Tugas mereka bukan mencetak anak sesuai ego, tetapi membimbingnya dalam koridor syariat. Jadilah sahabat yang menuntun, bukan tirani yang menakutkan. Kerana peradaban Islam lahir dari iman yang ditanam dengan cinta, bukan dipaksakan dengan kekuasaan.
#islamicparenting #tarbiyahanak #keluargamuslimideal #pendidikananak #keluargamuslim #toxicrelationships