[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 21/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 20/46)
Dalam urusan jual beli, hukum-hukum yang berkaitan dengannya adalah hukum-hukum yang ditujukan kepada pemilik harta, bukan kepada harta. Sebagai contoh, hukum ijarah, hibah, qardh dan syuf’ah adalah hukum-hukum berkaitan pemilik harta, bukan hukum-hukum berkaitan harta yang dimiliki. Perdagangan pula ialah satu bentuk jual beli, maka ia tertakluk kepada hukum-hukum jual beli.
Hukum jual beli berkaitan dengan pemilik harta, bukan dengan harta yang diperdagangkan. Oleh itu, hukum yang berkaitan dengan barang yang dijual atau dibeli sebenarnya berkaitan dengan barang tersebut hanya dari sudut ia dimiliki oleh seorang individu tertentu. Hakikatnya, hukum itu tetap kembali kepada pemilik, dan barangan sekadar mengikut hukum pemiliknya.
Sehubungan itu, hukum-hukum perdagangan luar negeri merupakan hukum-hakam yang berkaitan dengan pemilik harta, bukan dengan harta itu sendiri. Justeru, hukum perdagangan luar negeri tidak boleh disamakan dengan hukum tanah kharajiyah, kerana tanah kharajiyah tertakluk kepada hukum ke atas jenis harta, sedangkan perdagangan luar negeri tertakluk kepada hukum ke atas individu yang memilikinya.
Atas dasar itu, hukum-hakam perdagangan luar negeri berjalan berdasarkan status para pedagang, bukan berdasarkan jenis harta. Maka, hukum-hakam perdagangan luar negeri sebenarnya adalah hukum-hukum yang berkaitan dengan individu, dari sudut bagaimana syarak memandang mereka, iaitu hukum Allah yang dikenakan ke atas diri mereka.
Dengan demikian, hukum-hakam perdagangan luar negeri tidak berkaitan dengan komoditi dan tidak juga berkaitan dengan asal-usul (negara pengeluar) komoditi tersebut. Sebaliknya, hukum-hukum berkenaan ditetapkan ke atas pedagang. Ini kerana hukum-hakam itu adalah hukum ke atas penjual dan pembeli, bukan ke atas barangan yang diperdagangkan. Ia adalah hukum yang ditujukan kepada pedagang, tanpa mengira apa jenis barangan yang mereka dagangkan.
Komoditi hanyalah mengikut (menjadi turunan kepada) pedagang kerana perdagangan luar negeri tertakluk kepada hukum Dar al-Harb dan Dar al-Islam. Dalam konteks Dar al-Islam, Islam menetapkan bahawa kerakyatan ditentukan berdasarkan kewarganegaraan, bukan berdasarkan agama.
Seseorang dianggap sebagai rakyat negara apabila dia memegang kewarganegaraannya, bukan kerana dia seorang Muslim atau kerana dia berpegang kepada deologi yang diterapkan oleh negara. Sesiapa yang memiliki kewarganegaraan Negara Islam termasuk dalam rakyat Negara Islam, sama ada dia Muslim atau bukan Muslim. Dia berhak mendapat hak-hak tertentu daripada negara, dan memikul tanggungjawab tertentu terhadap negara menurut syarak.
Negara bertanggungjawab menjaga dirinya, memberikan jaminan hidup, melindunginya serta melindungi hartanya dan kehormatannya, serta menjamin keselamatan, kehidupan yang layak, kesejahteraan, keadilan dan ketenteraman baginya tanpa membezakan antara Muslim dan bukan Muslim. Semua mereka adalah warga negara, dan asas penyatuan mereka dalam kerakyatan bukan akidah Islam, tetapi kewarganegaraan (at-tabi‘iyyah).
Berkenaan dengan Darul al-Harb, sesiapa yang tidak memiliki kewarganegaraan Negara Islam dianggap sebagai orang asing, sama ada dia Muslim atau bukan Muslim. Dari sudut hukum, dia diperlakukan sebagai ahli Dar al-Harb. Bezanya, seorang Muslim tidak dihalalkan darah dan hartanya, walaupun dia berasal dari Dar al-Harb.
Namun, dari sudut hukum-hakam berkaitan harta dan seluruh hukum lain, dia diperlakukan sebagaimana bukan Muslim dari Dar al-Harb. Dia tidak berhak menerima nafkah, tidak mewarisi sesiapa pun daripada warga negara, dan tidak boleh diwarisi. Dia juga tidak boleh memasuki Negara Islam kecuali dengan izin. Dalam semua urusan muamalat, statusnya adalah status orang asing.
Rasulullah SAW memerintahkan sesiapa yang memeluk Islam agar memasuki wilayah kekuasaan Negara Islam. Jika dia masuk, baginda menganggapnya sebagai warganegara dan memberinya hak-hak sebagai warganegara. Jika dia enggan dan tetap tinggal di luar kekuasaan Negara Islam, baginda menganggapnya sebagai orang asing yang tidak mendapat hak-hak sebagaimana warga Negara Islam.
Daripada Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya, beliau berkata, “Rasulullah SAW apabila mengutus seorang panglima untuk mengetuai pasukan tentera atau ekspedisi kecil, baginda akan berpesan kepadanya secara khusus supaya bertakwa kepada Allah dan memperlakukan kaum Muslimin yang bersamanya dengan sebaik-baiknya. Kemudian baginda bersabda, “Berperanglah kamu dengan nama Allah, di jalan Allah. Perangilah orang yang kufur kepada Allah. Berperanglah, tetapi jangan berlebih-lebihan. Jangan berkhianat, jangan melakukan mutilasi, dan jangan membunuh anak-anak perempuan (wanita dan kanak-kanak). Apabila engkau bertemu musuhmu daripada golongan musyrikin, serulah mereka kepada tiga perkara. Jika mereka menerima salah satu daripadanya, terimalah dan hentikan peperangan terhadap mereka. Serulah mereka kepada Islam. Jika mereka menerimanya, terimalah dan hentikan peperangan terhadap mereka. Kemudian ajaklah mereka berpindah dari negara mereka (negara kafir) ke Dar al-Muhajirin (wilayah pusat negara Islam). Beritahu mereka bahawa jika mereka melakukan hal itu, mereka akan memperoleh hak yang sama seperti para Muhajirin dan menanggung kewajipan yang sama seperti para Muhajirin. Namun jika mereka enggan berpindah, beritahu mereka bahwa kedudukan mereka adalah seperti orang-orang Arab Muslim di pedalaman. Hukum Islam akan tetap berjalan ke atas mereka seperti Muslim yang lain, tetapi mereka tidak mendapat bahagian dalam harta fai’ dan ghanimah kecuali jika mereka berjihad bersama kaum Muslimin.” [HR Muslim dan Ahmad].
Rasulullah SAW memerintahkan agar seorang Muslim masuk di bawah kekuasaan Negara Islam. Jika dia tidak masuk, maka dia dianggap sebagai orang asing “seperti orang-orang Arab Muslim di pedalaman”. Dalam keadaan ini, dia tidak berhak terhadap harta-harta negara: fa’i, ghanimah, zakat, hasil cukai, jaminan hidup, dan apa-apa keistimewaan kewangan sama sekali. Namun, darah dan hartanya tetap terpelihara kerana dia seorang Muslim. Justeru, kerakyatan dalam Islam ditentukan berdasarkan kewarganegaraan (at-tabi‘iyyah), bukan berdasarkan keislamannya.
Perlu diperhatikan di sini bahawa Rasulullah SAW bersabda, “… Kemudian ajaklah mereka berpindah dari negara mereka (negara kafir) ke Dar al-Muhajirin. Beritahulah mereka bahawa jika mereka melakukan hal itu, mereka mempunyai hak yang sama seperti orang-orang Muhajirin (warga negara Islam) dan atas mereka kewajipan yang sama seperti kewajipan orang-orang Muhajirin. …”
Ini adalah nas yang menetapkan syarat berpindah untuk mendapatkan hak yang sama dan menanggung kewajipan yang sama, iaitu supaya mereka termasuk dalam penerapan hukum negara Islam. Maksudnya, jika mereka tidak berpindah, maka mereka tidak mempunyai hak yang sama seperti kita, dan tidak tertanggung apa yang menjadi kewajipan kita. Dengan kata lain, hukum-hukum negara Islam tidak dikenakan ke atas mereka.
Baginda kemudiannya menegaskan lagi dalam hukum-hukum berkaitan kewangan apabila baginda bersabda, “Mereka tidak mendapat bahagian dalam harta fai’ dan ghanimah kecuali jika mereka berperang bersama kaum Muslimin.” Hukum mengenai fa’i dan ghanimah itu sama seperti seluruh hukum kewangan yang lain.
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #Ekonomi #EkonomiIslam #Perdagangan