[Politik Ekonomi Islam] Sumber-Sumber Ekonomi (Bahagian 22/46)
Penulis: Abdurrahman al-Maliki
(Sambungan dari Bahagian 21/46)
Rasulullah SAW memerintahkan agar seorang Muslim masuk di bawah kekuasaan Negara Islam. Jika dia tidak masuk, maka dia dianggap sebagai orang asing “seperti orang-orang Arab Muslim di pedalaman”. Dalam keadaan ini, dia tidak berhak terhadap harta-harta negara: fa’i, ghanimah, zakat, hasil cukai, jaminan hidup, dan apa-apa keistimewaan kewangan sama sekali. Namun, darah dan hartanya tetap terpelihara kerana dia seorang Muslim. Justeru, kerakyatan dalam Islam ditentukan berdasarkan kewarganegaraan (at-tabi‘iyyah), bukan berdasarkan keislamannya.
Perlu diperhatikan di sini bahawa Rasulullah SAW bersabda, “… Kemudian ajaklah mereka berpindah dari negara mereka (negara kafir) ke Dar al-Muhajirin. Beritahulah mereka bahawa jika mereka melakukan hal itu, mereka mempunyai hak yang sama seperti orang-orang Muhajirin (warga negara Islam) dan atas mereka kewajipan yang sama seperti kewajipan orang-orang Muhajirin. …”
Ini adalah nas yang menetapkan syarat berpindah untuk mendapatkan hak yang sama dan menanggung kewajipan yang sama, iaitu supaya mereka termasuk dalam penerapan hukum negara Islam. Maksudnya, jika mereka tidak berpindah, maka mereka tidak mempunyai hak yang sama seperti kita, dan tidak tertanggung apa yang menjadi kewajipan kita. Dengan kata lain, hukum-hukum negara Islam tidak dikenakan ke atas mereka.
Baginda kemudiannya menegaskan lagi dalam hukum-hukum berkaitan kewangan apabila baginda bersabda, “Mereka tidak mendapat bahagian dalam harta fai’ dan ghanimah kecuali jika mereka berperang bersama kaum Muslimin.” Hukum mengenai fa’i dan ghanimah itu sama seperti seluruh hukum kewangan yang lain.
Nas yang pertama*, melalui mafhumnya, menunjukkan bahawa farsa “mereka tidak memiliki hak seperti hak yang dimiliki oleh warganegara Islam dan tidak menanggung kewajipan seperti kewajipan kita” bermaksud hukum-hukum Islam tidak berlaku ke atas mereka.
Nas yang kedua, melalui manthuqnya menunjukkan bahawa mereka tidak berhak ke atas harta fai’ dan ghanimah kecuali jika mereka turut berjihad. Mereka juga tidak memiliki apa-apa hak lain yang berkaitan dengan harta. Dengan demikian, hukum ini bersifat umum dan merangkumi semua jenis hukum, khususnya hukum-hukum yang berkaitan dengan harta.
Namun begitu, hukum yang umum ini telah dikhususkan oleh hadis dari Rasulullah SAW, “Aku diperintahkan untuk memerangi manusia sehingga mereka mengucapkan La ilaha illa Allah. Jika mereka telah mengucapkannya, terpeliharalah darah dan harta mereka.” [HR Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, Abu Dawud, Ibnu Majah, An-Nasa’i, Ahmad, dan Ad-Darimi]
Hadis ini mengecualikan daripada hukum umum itu bahawa jika mereka memeluk Islam atau mereka adalah individu Muslim (yang masih tinggal di negara musuh), maka mereka tidak boleh diperangi dan harta mereka tidak boleh diambil sebagai ghanimah.
Namun, pengecualian ini tidak bermaksud bahawa apabila harta mereka tidak diambil sebagai harta ghanimah, maka semua hukum lain mengenai harta turut terpakai ke atas mereka. Maksudnya hanyalah apa yang ditunjukkan oleh nas itu sahaja, iaitu harta mereka terpelihara dan tidak dianggap sebagai ghanimah.
Selebihnya, hukum-hukum lain mengenai harta tidak berlaku ke atas mereka kerana nas tersebut dengan jelas menyatakan bahawa jika mereka melakukan perkara itu (memeluk Islam), maka mereka berhak atas apa yang diberikan kepada golongan Muhajirin dan mereka juga menanggung kewajipan yang sama seperti yang ditanggung oleh golongan Muhajirin.
Syarat untuk mereka berhak menerima apa yang warga Negara Islam terima, dan menanggung kewajipan yang sama seperti yang kita tanggung, ialah mereka berpindah ke Dar al-Islam. Jika mereka tidak berhijrah, mereka tidak mendapat apa yang kita peroleh dan tidak juga dikenakan apa yang diwajibkan ke atas kita.
Berdasarkan perkara ini, para pedagang yang masuk atau keluar dari Negara Islam terbahagi kepada tiga golongan:
Pertama, rakyat Negara Islam, sama ada Muslim atau kafir zimmi;
Kedua, individu yang mempunyai perjanjian damai (kafir mu‘ahid) dengan Negara Islam;
Ketiga, individu dari negara yang bermusuhan atau berperang (kafir harbi) dengan Negara Islam.
Rakyat Negara Islam berhak menjalankan urusan perdagangan di luar negara sebagaimana mereka melakukannya di dalam negara, tanpa sebarang perbezaan. Mereka boleh mengimport apa sahaja komoditi yang mereka inginkan dari mana-mana negara, dan mengeksport apa sahaja komoditi dari negara Islam ke mana-mana negara yang mereka mahu, tanpa sebarang syarat atau sekatan.
Hal ini kerana firman Allah Ta‘ala: “Allah menghalalkan jual beli” adalah umum dan merangkumi semua bentuk jual beli, termasuklah perdagangan domestik dan perdagangan luar negeri.
Tiada satu pun nas yang melarang rakyat negara; Muslim atau kafir zimmi, daripada mengimport atau mengeksport komoditi. Maka kekallah nas yang menghalalkan (jual beli) itu pada makna umumya. Oleh itu, seorang Muslim atau kafir zimmi tidak boleh dihalang daripada mengimport atau mengeksport apa sahaja komoditi miliknya.
Setiap komoditi yang harus dimiliki oleh seorang Muslim atau kafir zimmi, maka harus pula diimport dan dieksport, tanpa memerlukan sebarang keizinan, lesen, atau apa-apa syarat yang seumpamanya.
Jika negara menetapkan apa-apa syarat terhadap import atau eksport barangan bagi rakyat yang Muslim atau kafir zimmi, maka negara itu dianggap telah mengharamkan apa yang telah dihalalkan oleh Allah. Hukumnya berdosa, dan mana-mana Muslim boleh mengemukakan tuntutan terhadapnya di Mahkamah Mazalim untuk membatalkan keputusan tersebut dan memansuhkan syarat yang telah ditetapkan itu.
Maka dengan itu, perdagangan luar negara bagi rakyat Negara Islam adalah harus secara umum tanpa lesen import dan lesen eksport. Namun, jika terdapat komoditi tertentu yang mendatangkan mudarat apabila diimport atau dieksport, maka komoditi itu sahaja yang diharamkan, sementara aktiviti import dan eksport kekal harus bagi semua komoditi lain.
Larangan itu dikenakan hanya atas komoditi tersebut berdasarkan kaedah: “Setiap bahagian daripada sesuatu perkara yang asalnya harus, jika terbukti padanya kemudaratan, maka bahagian itu sahaja yang dilarang, sedangkan perkara asalnya kekal harus.”
Hal ini bersandarkan perbuatan Nabi SAW yang melarang bala tentera daripada meminum air dari telaga kaum Thamud ketika baginda melalui kawasan itu dalam perjalanan ke Tabuk. Maka meminum air dari telaga Thamud yang telah dilarang itu menjadi haram bagi mereka, tetapi air sebagai suatu jenis benda tetap kekal harus.
Oleh itu, apa-apa komoditi yang membawa kemudaratan apabila dieksport atau diimport, maka komoditi itu sahaja yang dilarang daripada dieksport atau diimport. Begitu juga, jika sesebuah negara berada dalam keadaan perang sebenar dengan Negara Islam, rakyat Negara Islam tidak dibenarkan berdagang dengan mereka.
Hukum syarak dalam soal import dan eksport dengan negara yang berada dalam keadaan perang ialah: jika mengimport barangan dari mereka akan menguatkan kedudukan mereka, maka semua bentuk import adalah dilarang sama sekali, sama ada dilakukan oleh Muslim atau bukan Muslim. Sebabnya, hukum-hukum Dar al-Harb diterapkan ke atas kedua-duanya. Maka tidak boleh mengimport apa-apa barangan pun dari negara tersebut.
Demikian juga dengan eksport komoditi, jika mengeksportnya akan menguatkan mereka atau membantu mereka, maka aktiviti eksport itu adalah dilarang sama sekali, sama ada dilakukan oleh Muslim atau bukan Muslim. Ini kerana semuanya tetap merupakan eksport kepada negara yang berada dalam keadaan perang sebenar dengan kita, dan tindakan itu akan menguatkan negara tersebut, yakni menguatkan musuh. Dalam hal ini, hukum-hukum Dar al-Harb diterapkan ke atas semua penduduk Dar al-Harb, tanpa sebarang perbezaan antara Muslim dan bukan Muslim.
Atas sebab inilah mengimport komoditi dari Israel dan mengeksport komoditi kepadanya adalah haram. Mengimport dari mereka pasti menguatkan kedudukan mereka, malah ia menjadi salah satu faktor utama yang mengukuhkan kekuatan mereka. Bukti paling jelas ialah apa yang berlaku kepada Israel apabila pintu Teluk Aqabah dibuka untuk mereka, mereka mendapat kelonggaran dan kedudukan mereka menjadi lebih kuat walaupun sekatan ekonomi masih dikenakan.
Mengeksport barangan kepada Israel pula bererti memberikan bantuan serta menyelamatkan mereka daripada kesempitan yang mereka alami, selain turut menguatkan kedudukan mereka. Memberi bantuan kepada musuh yang sedang memerangi umat Islam, serta menyelamatkan mereka daripada kesulitan, adalah antara dosa yang paling berat. Menguatkan musuh juga adalah haram.
Oleh itu, melanggar arahan memboikot Israel, sama ada dengan mengeksport ataupun mengimport barangan adalah haram, dan sesiapa yang melakukannya berdosa. Hukum ini terpakai kepada semua umat Islam, bukan hanya kepada mereka yang bertutur dalam bahasa Arab, dan bukan pula hanya kepada mereka yang berjiran dengan Israel, tetapi kepada seluruh umat Islam.
Oleh sebab itu, orang Turki adalah berdosa, begitu juga orang Iran, kerana mereka mengimport komoditi dari Israel dan mengeksport komoditi kepadanya. Hukum yang sama terpakai kepada setiap Muslim di seluruh dunia.
Rakyat Negara Islam dibenarkan mengimport dan mengeksport barangan kecuali dalam dua keadaan. Pertama, jika terdapat komoditi tertentu yang mendatangkan kemudaratan apabila diimport atau dieksport, maka hanya komoditi itu sahaja yang dilarang. Kedua, jika aktiviti import dan eksport itu dilakukan dengan negara yang berada dalam keadaan perang sebenar (de facto) dengan Negara Islam.
Dalam situasi ini, mengimport atau mengeksport kepada mereka adalah dilarang sama sekali sekiranya terdapat walau sedikit pun unsur yang boleh menguatkan mereka, membantu rakyat mereka, atau melepaskan mereka daripada apa-apa kesusahan. Perbuatan itu adalah haram, pelakunya akan diazab oleh Allah dan dikenakan hukuman oleh Negara Islam.
*(Rujuk Siri 35/Sambungan bahagian 20)
Sumber: Abdurrahman al-Maliki, Politik Ekonomi Islam.
#PolitikEkonomiIslam #EkonomiIslam #Perdagangan