Lepaskan Penjara Nasionalisme dan Hayati Kesatuan Islam
Di tengah-tengah genosid yang berlaku di Gaza dan Sudan, pembunuhan serta penderaan terhadap saudara-saudara kita di kem Uyghur, serta pencabulan dan penyeksaan terhadap wanita, kanak-kanak bahkan warga emas, satu perkara tetap sama: umat Islam di seluruh dunia sama ada mengibarkan bendera-bendera itu (bendera negara bangsa tersebut), dan menuntut pembebasan negara-negara tersebut, atau mereka mengabaikan jeritan para syuhada kerana penderitaan itu tidak sampai kepada mereka. Tetapi bukankah mereka Muslim sebelum mereka menjadi orang Sudan, Palestin atau Uyghur? Bukankah mereka saudara-saudara kita bukan kerana bahasa yang mereka tuturkan atau warna kulit mereka, tetapi kerana mereka juga beriman kepada “La ilaha illa Allah, Muhammad Rasul Allah”?
Kita, sebagai satu ummah, telah membiarkan saudara-saudara kita menderita kerana sempadan-sempadan yang dilukis oleh para pemerintah, oleh manusia-manusia yang hanya mahu mengaut keuntungan daripada tanah-tanah kita. Kita berpegang kepada identiti yang dibentuk oleh Barat, yang direka supaya kita tidak merasai kesakitan dan penderitaan saudara-saudara kita sendiri.
Kita sebagai ummah telah lupa bahawa Islam datang untuk menyatukan dunia, dan bahawa Rasulullah SAW serta para Khulafa’ selepas baginda telah berusaha dan berjuang untuk menyatukan umat Islam. Mereka tidak berbicara tentang “negara asing”. Mereka tidak menghentikan penyebaran Islam hanya kerana penduduk sesuatu wilayah bertutur dalam bahasa yang berbeza atau memiliki warna kulit yang berbeza. Namun, walaupun ajaran baginda begitu jelas, dan walaupun al-Quran memerintahkan kita agar bersatu menentang kekufuran, masih ramai yang dengan bangga mengibarkan bendera penjajah, memakai rantai leher dengan lambang “negara mereka”, seolah-olah itu bukanlah apa yang dikehendaki oleh Barat sejak awal lagi.
Bukankah Khalifah al-Mu‘tasim Billah, yang dilahirkan di wilayah Iraq moden pada hari ini, apabila diberitahu bahawa seorang wanita telah meminta pertolongannya dari Umuriyyah (kawasan Turki hari ini), terus mengepung kota tersebut dalam masa sehari untuk menyelamatkannya? Dia melakukan demikian kerana wujudnya Khilafah — kerana Islam menyatukan seluruh umat Islam di bawah satu bendera, satu slogan, satu ideologi. Dan Allah SWT berfirman:
﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا ۚ وَاذْكُرُوا نِعْمَتَ اللَّهِ عَلَيْكُمْ إِذْ كُنتُمْ أَعْدَاءً فَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِكُمْ فَأَصْبَحْتُم بِنِعْمَتِهِ إِخْوَانًا﴾
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara.” (Surah Ali ‘Imran: 103)
Wahai saudara-saudaraku, wahai saudari-saudariku,
Sudah tiba masanya kita melepaskan identiti nasional yang dicipta oleh Barat. Telah tiba masanya kita meninggalkan slogan seperti “Palestin untuk rakyat Palestin”. Telah tiba masanya kita mengingati bahawa kita adalah sebahagian daripada satu ummah, yang disatukan di bawah panji Rasulullah SAW, dan bahawa Palestin sepatutnya diselamatkan demi ummah. Telah tiba masanya kita mengingati bahawa al-Quds mesti diselamatkan kerana kepentingannya untuk seluruh umat Islam. Telah tiba masanya kita sedar bahawa yang mati itu bukan sekadar “orang Sudan”, tetapi saudara-saudara kita sendiri yang dibunuh, dirogol dan dipukul demi sumber kekayaan yang dimiliki oleh tanah mereka.
Sudah tiba masanya untuk menamatkan genosid terhadap saudara-saudara kita ini dengan bersatu menentang penjajah dan para pemimpin yang korup. Telah tiba masanya kita melepaskan negara-negara ciptaan yang diwujudkan untuk melemahkan dan memecah-belahkan kita. Telah tiba masanya kita bersatu di bawah panji Islam, panji Rasulullah SAW yang mulia, yang telah mengalahkan orang-orang kafir. Telah tiba masanya kita mengangkat panji Khalid bin al-Walid r.a., sebagaimana beliau membebaskan saudara-saudara kita dan menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Inilah masanya untuk kita mengangkat panji itu dan menyelamatkan saudara-saudara kita daripada pembantaian yang berlaku terhadap mereka demi tanah mereka.
Jadi, saya menyeru kepada kalian, wahai saudara-saudari, berhentilah mengharapkan “negara-negara Islam” (negara bangsa) yang korup untuk bangkit, dan serulah kepada satu-satunya penyelesaian sebenar: Khilafah, yang tidak akan membelakangi ummah demi menjaga kepentingan tuan-tuan Baratnya. Telah tiba masanya kita bersatu di bawah satu negara yang akan melindungi ummah. Telah tiba masanya kita menyeru kepada Khilafah yang tidak akan berdiam diri ketika saudara-saudari kita merayu di media sosial, kepada para pemimpin yang telah menjual jiwa mereka kepada Barat demi wang. Telah tiba masanya kita menyeru kepada Khilafah yang tidak akan berpeluk tubuh ketika umat Islam terpaksa bergantung kepada laut untuk menghanyutkan bantuan makanan dan bekalan kepada saudara-saudara mereka di Palestin.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Amatullah Hechmi
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
*Diterjemah daripada laman rasmi HT CMO WS
#ItsTimetobeOneUmmah #OneUmmah #KesatuanUmat #KesatuanIslam #1Ummah1Perjuangan #Plaestin #Sudan #Khilafh #KhilafahSistemIslam #PolitikIslam #AyuhBinaKembaliPeradabanAgung